Ella terbit album selepas 10 tahun


HADIR dengan album terbaharu selepas 10 tahun, Ella juga merancang untuk mengadakan konsert sempena 30 tahun keberadaannya dalam industri muzik tempatan.

SELEPAS 10 tahun, kini ratu rock Ella kembali dengan buah tangan terbaharu menerusi album studio yang bakal dilancarkan menjelang Julai nanti.

Kali terakhir pelantun lagu Standing in the Eyes of the World itu tampil dengan album studio adalah pada 2007 menerusi naskhah berjudul Kasih.

Menampilkan sebanyak tujuh buah lagu baharu, Ella berkata, album tersebut memberi makna istimewa bagi dirinya kerana tahun ini beliau menyambut ulang tahun ke-30 sebagai penyanyi dalam industri muzik tempatan.

Selain album, pemilik nama sebenar, Nor Zila Aminuddin itu berkongsi perancangannya yang bakal muncul dengan sebuah konsert menjelang penghujung tahun nanti.

Ikuti penjelasan daripada penyanyi berusia 51 tahun itu mengenai perkara tersebut ketika ditemui pada sidang akhbar Minggu Setiausaha 2017 Ella, Sufian Suhaimi dan Aiman Tino di Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia (MaTic), Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh kongsikan mengenai penglibatan Ella dalam Minggu Setiausaha 2017 di MaTic?

ELLA: Menerusi persembahan ini, saya digandingkan bersama dengan dua penyanyi baharu iaitu Sufian Suhaimi dan Aiman Tino. Ia berlangsung selama dua hari iaitu pada 26 dan 27 April nanti.

Memandangkan ini kali pertama MaTic mengadakan persembahan Minggu Setiausaha selepas 16 tahun ditubuhkan, jadi ia akan menjadi sebuah acara yang cukup istimewa.

Sebelum ini pun, saya banyak kali bekerjasama dengan pihak MaTic. Insya-Allah, masing-masing akan membawa empat buah lagu.

Saya bercadang hendak menyelitkan sebuah lagu baharu berjudul Ku Sedia dalam persembahan itu nanti. Ia merupakan salah sebuah lagu dalam album terbaharu saya yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi.

Boleh ceritakan dengan lanjut mengenai album tersebut?

Album ini sangat istimewa kerana kali terakhir saya mengeluarkan album adalah pada 10 tahun lalu. Insya-Allah, album tersebut akan dilancarkan menjelang bulan Julai nanti dan mengandungi sebanyak tujuh buah lagu.

Ia telah disiapkan sepenuhnya, cuma menunggu masa untuk dilancarkan. Saya sengaja memilih bulan Julai untuk pelancaran kerana ia nombor kesukaan dan bulan kelahiran saya.


ELLA bakal mempersembahkan sebuah lagu baharu berjudul Ku Sedia sempena Minggu Setiausaha 2017 di MaTic, Kuala Lumpur pada 26 dan 27 April ini.

Jadi, mungkin ada keistimewaan mengenai album tersebut?

Sudah pasti ia ada kelainan dan keistimewaan tersendiri sebab sudah lama saya tidak muncul dengan album. Saya tidak boleh berkongsi banyak mengenainya buat masa sekarang, cukup sekadar peminat tahu bahawa salah seorang komposer yang terlibat dalam album ini ialah Omar K.

Dahulu anda pernah menyuarakan perancangan untuk berduet dengan suami, Azhar Husaini Ghazali. Adakah hasrat berkenaan tertunai menerusi album berkenaan?

Kalau diikutkan, memang sudah lama saya mahu merakamkan lagu bersama suami tetapi dia sangat sibuk dan tidak boleh sesuka hati mengambil cuti.

Masanya sangat terhad, jadi agak sukar untuk kami mencari peluang merakam lagu bersama. Setakat ini, peluang untuk saya bekerjasama dalam sebuah lagu dengannya belum tercapai.

Selain album, apa lagi agenda karier anda untuk tahun ini?

Insya-Allah akan ada sebuah persembahan dengan tujuan promosi album baharu saya tidak lama lagi. Saya akan terlibat dengan sebuah persembahan besar di negara Singapura juga pada bulan Julai nanti. Ia akan diadakan selepas pelancaran album, sekali gus menjadi ruang promosi album tersebut kepada peminat di sana.

Saya turut merancang untuk mengadakan sebuah konsert pada penghujung tahun ini. Tarikh sudah ada iaitu pada 2 dan 3 Disember, cuma lokasinya masih belum dapat dikongsikan.

Penganjuran konsert itu bersempena ulang tahun ke-30 saya dalam industri dan pastinya ia memberi makna besar.

Post a Comment

Previous Post Next Post