ADRIANA optimis melakukan perancangan rapi dalam menentukan hala tuju masa depannya untuk bergelar usahawan.
MEMULAKAN kerjaya sebagai pengacara program televisyen Hlive!, Adriana Adnan mengorak langkah ke dunia lakonan dengan membintangi drama rantaian Suri Hati Mr. Pilot dan Urusan Hati Cik Drama Queen.
Dalam usaha mengukuhkan nama dalam industri hiburan, wanita berusia 22 tahun itu turut menggalas tanggungjawab sebagai pelajar semester tiga jurusan Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Pelakon telefilem Jula Juli Bintang Cinta itu turut mengakui tanggungjawab sebagai pelajar dan kesibukan jadual kerja menjadi antara punca kehidupan sosialnya terhad sehingga tiada ruang untuk membahagikan masa buat diri sendiri.
Bagi Adriana, rutinnya tertumpu kepada kerjaya di depan kamera dan kuliah. Pada masa sama, dia juga mula berjinak-jinak mempelajari selok-belok dunia perniagaan produk kecantikan Zarra Sinar Puteri yang diusahakan ibunya, Datin Zamzarina Zambri.
Selain menimba ilmu sebelum bersedia bergelar usahawan, Adriana memulakan langkah awal dalam bidang perniagaan dengan melibatkan diri memasarkan produk kosmetik Matte Lipstick jenama Zarra B’Joy iaitu rangkaian jenama keluaran Zarra Sinar Puteri.
KOSMO!: Tidak hanya bergelar pengacara, Adriana kini dilihat kerap muncul membintangi drama rantaian. Bagaimanakah anda mendefinisikan situasi karier yang sedang dijalani?
ADRIANA: Alhamdulillah saya berterima kasih kepada mereka yang telah menaruh kepercayaan terhadap bakat yang dimiliki.
Kedua-dua tanggungjawab tersebut memberikan saya kepuasan dan menyeronokkan meskipun menyebabkan rutin harian menjadi padat sehingga tiada masa untuk bersosial dan mencari teman lelaki (ketawa).
Antara kerjaya sebagai pengacara dan pelakon, yang mana lebih menjadi tumpuan?
Secara peribadi saya pastinya memberi tumpuan kepada kerjaya tetap iaitu pengacara di saluran televisyen Astro.
Justeru, setiap keputusan perlu mendahulukan jadual pengacaraan sebelum menerima sebarang tawaran berlakon.
Biarpun ada beberapa tawaran terpaksa ditolak tetapi saya tetap optimis melakukan satu persatu perkara agar tidak berlaku apa yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Mempunyai latar belakang perakaunan, apakah yang membuatkan anda berminat menceburi bidang komunikasi penyiaran?
Awalnya saya hanya menurut permintaan mama (nama panggilan buat ibunya, Zamzarina) yang turut mempunyai latar belakang sama iaitu perakaunan.
Setelah membuat pertimbangan, saya tidak mempunyai masalah menceburi dunia penyiaran sama seperti mama dan pada masa sama meneruskan pengajian.
Mempelajari cara menguruskan kewangan secara tidak langsung memberi pendedahan awal sebelum saya bersedia bergelar usahawan.
Menjadi anak kepada pengacara popular, tidakkah situasi tersebut seperti memberi laluan mudah buat anda mendapat tempat dalam industri hiburan tanah air?
Secara peribadi, perkara itu memang sukar disangkal. Bagaimanapun, saya tetap berusaha sendiri dan tidak terlalu mengharapkan kelebihan yang ada.
Menurut anda, mempelajari ilmu pengurusan kewangan merupakan suatu langkah persediaan bergelar usahawan. Adakah anda mula beralih ke arah bidang perniagaan?
Terus terang saya sememangnya mempunyai minat dalam bidang perniagaan sejak kecil. Pada masa sama, saya juga dapat memperkemaskan diri membantu mama menguruskan perniagaan. Saya juga baru melancarkan gincu jenama Matte Zarra B’Joy pada hujung Mac lalu.
Mempunyai hasrat untuk membantu ibu menguruskan perniagaan, adakah anda mempunyai perancangan untuk menyambung legasi perusahaan produk kecantikan tersebut?
Insya-Allah apabila masanya telah tiba saya mungkin meneruskan perniagaan tersebut. Tambahan, sebagai langkah awal sempena pelancaran produk kosmetik baharu tersebut saya diberi tanggungjawab untuk melakukan pemilihan warna gincu dan cara pembungkusan yang sesuai.
Bolehkah anda jelaskan mengenai produk berkenaan?
Gincu bibir Matte Zarra B’Joy merupakan produk kosmetik pertama sebelum disusuli dengan beberapa barangan solekan kelak.
Mempunyai tujuh jenis warna iaitu Zesty Rose, Zenia Daisy, Zazzy Verdena, Zaftig Carnation, Zealous Dahlia, Zonal Peony dan Zappy Therapy.
Pengguna boleh mendapatnya secara atas talian atau menerusi pengedar bertauliah.
Produk tersebut boleh didapati secara atas talian dengan harga RM47 menerusi laman web www.harmonymall.com.my atau menghantar pesanan menerusi aplikasi WhatsApp menggunakan talian 019-344 7788 atau 012-622 9970.