Sakura Band bawa hati ke Jepun


PENGALAMAN - Berada di Jepun selama hampir seminggu memberi pengalaman menarik dan cukup bermakna buat Sakura Band untuk memberikan kelainan menerusi single terbaharu mereka.

Tahun 2016 boleh disifatkan sebagai waktu puncak dalam kerjaya seni kumpulan Sakura Band apabila single, Polaroid mendapat permintaan meluas dan layak ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik 31.

Sewaktu bertanding di pentas separuh akhir, Sakura Band yang dianggotai oleh Melly Matius selaku vokalis, Ali Ezzati Musavi (gitaris utama), Muhammad Haniff Johari (gitaris kedua) dan Mohd Haikal Zainin (bass) sudah memberikan 100 peratus kudrat mereka dengan harapan, muzik yang ditebarkan memukau wangi.

Hasrat Sakura Band untuk melangkah ke AJL31 bagaimanapun tidak kesampaian. Langkah mereka terkandas pada peringkat separuh akhir sahaja.

Menurut Melly, kekecewaan yang dirasai agak perit. Mereka sudah memberikan yang terbaik dari segi konsep, vokal dan persembahan secara keseluruhan tetapi masih tidak berjaya menambat hati juri.

“Mungkin kami meletak harapan terlalu tinggi untuk terpilih ke AJL, jadi apabila kecundang, perasaan kecewa menjadi lebih menyakitkan.

“Namun, kami reda dan menganggap itu semua bukan rezeki untuk kumpulan ini bertanding pada peringkat akhir. Apa yang penting, Sakura Band tidak akan berhenti mencuba,” kata Melly ketika bertamu ke sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Di sebalik kesedihan dan kegagalan menjadi sebahagian daripada finalis AJL31, terdapat perkara positif yang dapat dizahirkan kumpulan yang sudah berusia lima tahun itu apabila berjaya menghasilkan single baharu bertajuk Yakini Ku.

Menjadikan pengalaman gagal menyertai AJL31 sebagai inspirasi dalam proses penghasilan Yakini Ku, Sakura Band menyifatkan lagu berkenaan sebagai simbolik pembakar semangat dan bukti bahawa mereka tidak putus asa untuk melakar nama cemerlang.

“Lebih baik kami melihat kegagalan tersebut dari sudut positif dan menghasilkan sesuatu yang boleh menjadikan Sakura Band berkobar-kobar memberikan muzik lebih berkualiti.

“Sakura Band juga berharap lagu Yakini Ku dapat memikat hati peminat sebagaimana Polaroid dan mampu memberikan saingan terhadap karya-karya lain di pasaran,” ujar Ali mewakili sahabatnya yang lain.

Jepun

Selesai proses rakaman, antara perkara menarik lain tentang Yakini Ku ialah penggambaran klip video yang dijalankan sepenuhnya di Jepun pada 14 hingga 20 Februari lalu.

Menurut Haikal, sejak dari awal penghasilan lagi mereka semua sudah membayangkan Jepun sebagai lokasi paling tepat untuk menjalani penggambaran klip video.

Menghabiskan hampir seminggu di negara Matahari Terbit itu, Sakura Band sempat berkongsi cabaran yang terpaksa ditempuhi demi mendapatkan sudut rakaman terbaik bagi klip video berkenaan.

Bermula dengan keadaan cuaca sejuk pada paras 0 darjah Celsius, mereka juga pernah beberapa kali sesat di tengah-tengah Tokyo yang terkenal sebagai antara kota paling sibuk di dunia.

“Kami menggunakan konsep jalanan untuk klip video Yakini Ku ini, jadi kami akan menjalani penggambaran di dalam kereta api, laluan pejalan kaki dan beberapa lokasi lain.

“Kami pergi ke sana sewaktu peralihan musim sejuk ke musim panas. Sewaktu penggambaran, kami memakai pakaian nipis sehingga membuatkan orang sekeliling berasa hairan kerana tidak berbaju tebal walaupun hakikatnya kami menggigil kesejukan,” cerita Melly sambil tertawa besar.

Tambahnya lagi, budaya di Jepun juga memberikan cabaran sepanjang sesi penggambaran. Sebagai contoh, penumpang tidak dibenarkan bercakap di dalam kereta api tetapi adakalanya mereka tetap berbisik sesama sendiri.

Sifat masyarakat Jepun yang tidak gemar mengendahkan perihal orang lain bagaimanapun membuahkan kesyukuran kerana kerja mereka dapat diselesaikan tanpa banyak gangguan daripada khalayak sekeliling.

“Seingat saya, paling teruk yang mereka buat untuk menyatakan ketidakselesaan dengan kehadiran kami ialah secara menjeling tajam sambil membuat bunyi ‘sshhh’ jika kami terlalu bising.

“Itulah pengalaman paling tidak dilupakan oleh Sakura Band kerana berpeluang mencipta memori tersendiri di Jepun,” tuturnya lagi.

Seperti sudah menjadi lumrah, kebanyakan artis berkumpulan biasanya tidak akan bertahan lama dalam industri dan akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah.

Matang

Situasi tersebut diajukan kepada Sakura Band. Bagi kumpulan yang bernaung bawah pengurusan Indigital Music itu, meskipun perpecahan penyanyi berkumpulan bukanlah sesuatu yang baharu dalam industri, mereka sedaya upaya mahu mengelak daripada menerima nasib serupa.

Menyifatkan hubungan bersama ahli bukan setakat anggota sekumpulan, bahkan lebih tepat lagi sebagai sahabat, mereka juga merupakan rakan kongsi dalam perniagaan yang diusahakan bawah jenama Sakura Band.

Menurut Melly, awalnya tidak mudah untuk mereka mendapatkan keserasian, terutamanya sekitar penubuhan lima tahun lalu. Seiring waktu, kini mereka semakin matang menempuh suka duka bersama.

“Ramai juga yang bertanya, adakah sukar menjadi satu-satunya bunga dalam kumpulan yang mempunyai tiga orang lelaki. Jawapan saya tidak susah langsung kerana kami bermula sebagai kawan, jadi tiada masalah untuk bekerjasama.

“Apa yang penting ialah keikhlasan dan komitmen tinggi antara satu sama lain. Saya yakin Sakura Band tidak terfikir untuk berpecah,” katanya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post