SETELAH mendirikan rumah tangga dan melahirkan cahaya mata pertama, pelakon dan pengacara, Hanis Zalikha seakan menyepi diri dari dunia seni.
Peminatnya pula hanya dapat mengikuti perkembangan menerusi media sosial kerana dia kerap berkongsi sisi kehidupan sebagai suri rumah sepenuh masa yang sibuk melayan anak dan suami.
“Pada mulanya tak rancang pun nak memperlahankan aktiviti seni sebab Hanis memang suka dengan apa yang Hanis buat ketika itu, tapi lepas kahwin dan jadi ibu, Hanis terpaksa melupakan seketika dunia seni kerana perlu menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baru.
“Ramai yang anggap Hanis dah tak berlakon atau mengacara lagi kerana suami tak bagi, hakikatnya, keputusan itu dilakukan sendiri kerana berasa pentingnya meluangkan lebih masa bersama anak yang baru lahir ketika itu,” jelasnya jujur.
Menurut Hanis lagi, kekangan masa menjadi sebab utama dia terpaksa menolak beberapa tawaran sebelum ini.
“Yusuf anak sulung kami dan ini pengalaman pertama saya bergelar ibu. Sudah pasti banyak perkara yang perlu saya pelajari untuk memastikan saya dapat menjaga dan membesarkan Yusuf sebaik mungkin.
“Saya nak jaga sendiri anak pertama ni kerana tak mahu lepaskan satu detik pun lihat perkembangan dia kerana Yusuf terlalu cepat membesar. Sedar tak sedar dia kini dah masuk 9 bulan, malah dah ramai yang mula tanya bila nak buat majlis hari jadi dia.
“Jujurnya semua benda tentang Yusuf, kami uruskan sendiri kerana mahu merasai pengalaman manis ini bersama. Bagusnya, daripada tidak tahu apa-apa tentang anak sehinggalah masing-masing dah boleh uruskan anak,” kata heroin filem Gangster Celop ini.
Bagaimanapun, Hanis yang kali terakhir muncul menerusi drama Kutinggalkan Cinta di Okinawa mengakui rindu untuk kembali aktif dalam bidang seni terutamanya bidang pengacaraan yang cukup diminatinya sejak dulu.
“Selepas dua tahun tidak muncul depan kamera dan buat kerja di lokasi, memang tidak dinafikan perasaan rindu itu datang bawa keinginan untuk kembali aktif dalam bidang seni apatah lagi ada tawaran yang datang.
“Alhamdulillah, sekarang anak dah besar sikit jadi saya mungkin boleh mempertimbangkan tawaran itu jika sesuai dan kena pada masanya,” kata bekas pengacara Raikan Cinta ini lagi.
Anak jadi perhatian
Selain menguruskan anak di rumah, Hanis dan suaminya, Hairul Azreen juga menjalankan perniagaan bersama selepas mendirikan rumah tangga.
“Perniagaan ini diusahakan secara kecil-kecilan dengan beberapa team yang membantu saya dan suami menguruskan perniagaan tudung Cakenis, T-shirt dan stesen permainan CVR milik suami.
“Tugas saya tidaklah terlalu berat di sini, sebaliknya hanya membantu memberi idea pemasaran dan beberapa perkara yang memerlukan penglibatan saya,” ujar Hanis yang memang meminati bidang perniagaan sejak di bangku sekolah lagi.
Berkongsi tentang perkembangan Yusuf Iskandar, yang berjaya menarik perhatian ramai di laman sosial terutamanya Instagram Yusuf dengan 1.1 juta pengikut, kata Hanis, dia tidak menyangka anaknya mendapat perhatian masyarakat.
“Kami wujudkan akaun Instagram untuknya, @theyusufiskandar bagi merakamkan momen-momen dia membesar untuk kenangan bersama.
"Tapi tak sangka ramai yang mengikuti perkembangannya di situ dan jadi pengikutnya.
“Apa pun demi keselamatannya, saya ataupun suami tidak akan memuat naik fotonya di laman tersebut pada waktu sebenar kami bergambar, sebaliknya beberapa jam selepas itu ataupun pada hari lain selepas kejadian berlaku,” katanya.
Mengulas trend semasa yang kini banyak menampilkan anak selebriti muncul dalam program TV atau bergelar duta kepada produk tertentu, Hanis mengakui Yusuf tidak terkecuali mendapat tawaran seumpama itu.
“Saya dan suami kalau boleh tidak mahu terlalu dedahkan anak kepada situasi bekerja atau aktiviti yang membuatkan dia terpaksa melakukan sesuatu yang boleh memenatkan dia.
“Bagaimanapun, jika tawaran yang datang itu sekadar memerlukan dia tampil dengan aktiviti santai atau bersesuaian dengan dirinya, kami tak ada masalah untuk mempertimbangkannya, tengok keadaanlah,” kata Hanis yang mengakui banyak mendapatkan info tentang perkembangan anak menerusi pembacaan.