Khai Bahar, Jangan Laga-Lagakan Kami


Khai Bahar tidak melatah walaupun sering dibandingkan dengan penyanyi lain.

Dakwaan sinis kononnya Khai Bahar semakin tidak senang dengan kehadiran ramai bakat baharu dalam bidang muzik tenyata mengundang rasa kurang selesa penyanyi berkenaan.

Menurut Khai, 23, dia tidak pernah mencemburui rezeki yang diterima pendatang baharu industri hiburan sebaliknya sedia bersaing secara sihat.

"Orang selalu cakap dengan kemunculan penyanyi baru ia akan mengganggu periuk nasi saya.

"Tapi itu semua merepek, mereka tak perlu laga-lagakan kami dalam bidang ini. Penyanyi lain juga ada rezeki mereka dan kami sama-sama cari makan," katanya kepada mStar Online.


Khai meneruskan langkahnya dalam bidang nyanyian menerusi single kedua berjudul Dari Jauh Saja.

Khai atau Muhamad Khairul Baharudin mengulas mengenai populariti penyanyi seangkatan dengannya seperti Sufian Suhaimi dan Aiman Tino yang kini dilihat lebih ke depan apabila semakin diterima ramai dengan single kedua masing-masing.

Dia ditemui pada majlis pelancaran program Malaysian Floor Pattern Sport Dance Competition di Istana Budaya pada Rabu.

Pertandingan tarian yang terbuka kepada penyertaan daripada pelbagai peringkat sekolah, universiti atau kumpulan profesional itu bakal berlangsung di Istana Budaya bermula 26 hingga 29 April ini.

Peringkat final pertandingan berkenaan bakal diserikan dengan persembahan istimewa daripada Khai Bahar dan penyanyi terkenal, Ziana Zain.

Tambah Khai yang bakatnya mula dikesan daripada aplikasi muzik Smule dan YouTube, dia tidak melatah sungguhpun sering dibandingkan dengan kejayaan beberapa penyanyi lain yang seangkatan dengannya.

"Apa yang ada pada mereka, tak ada pada saya dan begitu juga sebaliknya.

"Jadi saya tak perlu berkecil hati kerana orang yang cakap begitu kebanyakkan tidak mengenali saya dengan rapat.

"Selain itu kami hadir dari platform yang berbeza iaitu saya daripada Smule dan mereka selepas menghasilkan single," katanya.


Khai (tiga dari kiri) bersama Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani (tengah) pada majlis pelancaran program Malaysian Floor Pattern Sport Dance Competition.

Selain itu bercerita mengenai perkembangan kariernya, penyanyi kelahiran Perlis ini berkata dia sedang mempromosikan single keduanya berjudul Dari Jauh Saja yang dilancarkan hujung Januari lalu.

Katanya, dia berharap lagu ciptaan sepenuhnya Danny dari kumpulan Mojo itu bakal mendapat tempat di hati pendengar.

"Buat masa ini masih ada radio yang belum mainkan lagu ini, saya sendiri akan teruskan promosinya.

"Saya harap single kedua ini dapat diterima seperti lagu Bayang," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post