Mawar Rashid makin berduri


DIA bukan lagi Mawar Rashid yang menjadi peserta program Dewi Remaja lebih dua tahun sudah. Seumpama rama-rama yang memukau pesona sebaik keluar daripada kepompong jiwa, duri yang dimiliki Mawar kini semakin tajam menjentik rasa seorang primadona.

Segala-galanya ekoran penangan drama popular, Suamiku Paling Sweet yang benar-benar menterjemahkan bakat pemilik nama sebenar Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 22, atas permukaan kanvas seni layar kaca.

Antara mimpi dan sedar, menghadam setiap kritikan khalayak sememangnya tidak semudah itu untuk engkau ambil. Kendatipun namanya semakin mekar mewangi dalam kalangan peminat, hakikatnya Mawar masih lagi manusia biasa yang mendamba setiap tunjuk ajar mereka yang pakar.

“Saya akui, selepas drama Suamiku Paling Sweet, peminat dilihat semakin bertambah. Justeru, saya perlu lebih memberikan fokus termasuk lebih berhati-hati memandangkan apa juga yang dilakukan kini diperhatikan.

“Waima semakin matang dalam mempelajari sesuatu, saya tetap mahu memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik kerana tidak salah rasanya mahu belajar sampai bila-bila,” getusnya membuka rasa kepada Sensasi Bintang.

Kematangan Mawar juga tidak terhad sekadar di fikiran, tetapi juga merangkumi keterbukaan untuk berbicara soal cinta. Setiap hayunan langkahnya kini dilihat semakin optimis lantaran ditemani insan tersayang, Raf Yaakob yang tidak pernah jemu menemani di sisi.


SELAIN berbakat bermain gitar, dramatis ini juga bakal menjadi penyanyi rap tidak lama lagi.

Terbuka soal cinta

Memahat rasa kasih terhadap Raf yang juga adik pakar kulinari terkenal, Datuk Fazley Yaakob itu tidak semudah mengeja mana-mana aksara, sementelahan pula berbeza usia hampir satu dasawarsa.

Cuma, Mawar sekadar mahu jujur dengan diri sendiri, bukannya mahu mencanang seantero dunia kononnya dia sedang mabuk asmara.

“Tiada masalah untuk bersikap terbuka apabila yakin dengan seseorang kerana hanya mahu jujur dengan perasaan sendiri, buat apa mahu menyembunyikan perkara itu.

“Terus terang, saya sangat selesa kerana dia sangat memahami diri seadanya, selain lebih yakin apabila berada di sampingnya,” ungkapnya melentur tawa di bibir.

Waima keluarga masing-masing sedia maklum mengenai perhubungan mereka berdua, namun mereka menyifatkan masih awal untuk membicarakan bila masa yang sesuai untuk menyulam pelamin bahagia.

“Kami sedang mengenali hati budi masing-masing, jika sudah diseru Tuhan, insya-Allah. Buat masa ini, saya tidak mahu sia-siakan peluang terutamanya masih baharu dalam industri seni.

“Saya tidak pernah ragu dengan kesetiaan yang dipamerkan oleh Raf yang sangat romantik, kaya dengan kasih sayang serta cukup mementingkan keluarga,” getus Mawar.

Sengaja soalan ditebak kepada Raf mengenai keistimewaan Mawar di matanya dan ini jawapan jujur pemilik nama sebenar Raden Ahmad Faizal itu.

“Mawar pandai melayan anak-anak saya hingga menyebabkan hati terbuka untuk mengenalinya lebih dekat.

“Hatinya cukup bersih dan matang meskipun jauh lebih muda berbanding saya,” ceritanya lagi.

Cuma, pada masa sama, Raf juga tidak diselimuti kebimbangan seandainya Mawar semakin disimbahi percikan aura glamor selepas ini.

“Saya sudah masak dengan asam garam dunia hiburan, jadi sudah tentu saya lebih gembira jika Mawar semakin popular.


AKTRES ini enggan hipokrit tatkala membicarakan soal cinta.

“Selagi dia masih bersama saya, tiada apa yang perlu dibimbangkan termasuk jika ada yang cuba untuk ‘kacau daun’,” getusnya.

Bakal menyanyi rap

Cukup membongkar soal peribadi, Mawar kemudian rancak bercerita mengenai kemilau perjalanan seninya yang semakin menyinar sejak kebelakangan ini.

Selain sedang giat menjalani penggambaran drama Isteriku Mem Besar dan juga Hero Seorang Cinderella, teraju utama telefilem Mati itu juga dalam perancangan untuk mencabar bakatnya dalam bidang nyanyian selepas ini.

“Saya memang suka menari, jadi perlu menilai tahap kebolehan sebagai penyanyi terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Tidak mustahil saya akan menjadi penyanyi rap, mudah-mudahan segala-gala yang dirancang akan menjadi selewat-lewatnya tahun ini juga,” ujarnya menguntum senyum.

Tatkala membicarakan mengenai perihalnya yang tidak diketahui umum, Mawar sememangnya cukup obses dengan nasi dan masakan pedas.

Selain itu, Mawar juga seorang yang manja dan mudah terhibur selain senang untuk tertawa biarpun ia tidak begitu humor.

“Cuma pada masa sama, saya memang cukup fobia dengan lipas, boleh menangis dibuatnya.

“Selain boleh bermain gitar, saya juga boleh berkomunikasi dalam bahasa Thai dengan baik,” ungkapnya seraya menoktah bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post