Juara Gegar Vaganza musim kedua ini akan mengambil langkah berhati-hati selepas menerima komen negatif sewaktu dia menjadi hos sebuah rancangan realiti berbentuk Islamik
SELEPAS bersiaran pada minggu pertama, program Gema Gegar Vaganza mendapat pelbagai maklum balas. Ada yang menyambut baik, bahkan ada juga yang mengkritik program tersebut yang disifatkan sebagai lari daripada format asalnya yang mahukan sebuah program muzik berbentuk Islamik.
Ada pihak mendakwa bahawa program itu tidak mengikut garis panduan dalam Islam yang sepatutnya apabila membenarkan sebahagian peserta tampil dengan imej yang tidak menepati garis panduan syariah.
Bahkan, antara yang dibangkitkan netizen juga termasuklah cara program tersebut dikendalikan. Antara yang terkena tempiasnya dalam menerima kritikan itu termasuklah pengacara program tersebut, Siti Nordiana.
Penyanyi yang popular dengan lagu Memori Berkasih itu sedar bahawa ada pihak yang mempertikaikan dirinya bergurau senda dengan peserta yang dianggap seperti tidak bersesuaian dengan imej program Islamik.
“Sebenarnya, saya memang ada terbaca komen-komen yang mempertikaikan program berkenaan. Bagaimanapun, apa yang saya boleh katakan, dalam lapan peratus sahaja yang berbentuk negatif. Cuma, ia diperbesarkan-besarkan netizen.
“Kita tak boleh nak puaskan hati semua orang. Kalau orang melihat ia dari sudut negatif, maka jadi negatiflah perkara itu. Saya rasa, cara mengendalikan program itu tidaklah melebih-lebih,” kongsinya yang lebih mesra dengan panggilan Nana.
Jelas Nana, selaku pengacara, dia perlu menghidupkan suasana dalam program itu agar tidak kelihatan suram dan hambar. Justeru, katanya, sedikit selingan berunsurkan humor juga perlu ada.
“Kalau tiada unsur humor pun, nanti bimbang penonton akan bosan. Pada pandangan saya, pendakwah pun kebiasaannya akan menyampaikan sesuatu mesej ada dengan unsur humor. Dengan cara ini, kita akan dapat tarik golongan muda untuk lebih dekat dengan program sebegitu,” kongsinya yang bergandingan dengan Achey dan Fikry sebagai hos.
Kata Nana lagi, isu antara dirinya diapit oleh dua pengacara lelaki juga dianggap bukanlah sesuatu perkara yang perlu dipertikaikan.
“Pada saya, ia bukanlah menjadi masalah kerana kami bukannya bersentuhan pun. Pada saya, apa yang penting niat kita. Lagipun, bukan setiap masa saya diapit oleh dua pengacara lelaki. Adakalanya, kami tampil secara berdua sahaja,” kongsinya.
Respons negatif yang diterima itu secara tidak langsung membuatkan Nana kini perlu lebih berhati-hati.
“Sudah pasti kita akan takut dengan apa yang orang akan katakan nanti. Ada juga orang pertikai penggunaan kata aku adalah tidak wajar dan kau seolah-olah tidak sesuai.
“Apa yang penting, saya tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya,” jelasnya.
Menurut Nana, mungkin komen negatif tersebut timbul apabila ada pihak yang masih tidak mengetahui konsep program itu.
“Ada yang kata pemilihan lagu itu tak menggambarkan imej Islamik kerana bergenre rock. Sebenarnya, bait-bait lirik lagu itu kalau diamati, ia mengisahkan ketuhanan. Tak semestinya lagu nasyid sahaja, tetapi ia termasuklah lagu-lagu berbentuk kerohanian.
“Bahkan, sewaktu mengacara pun, saya akan selitkan maklumat-maklumat berguna mengenai lagu. Sebagai contoh, lagu Sumayyah kita selitkan juga mengenai kisah-kisah pejuang Islam kepada penonton,” katanya.