BAGI mereka yang membesar pada era 1990-an, siri televisyen Mighty Morphin Power Rangers bukanlah asing, malah siri yang menampilkan lima adiwira ini cukup popular dan digilai kanak-kanak zaman itu.
Meski pun lebih 20 tahun, siri ini kembali menggamit memori apabila difilemkan menerusi penampilan wajah baru yang mengisi watak ikonik, Power Rangers.
Ini adalah filem ketiga Power Rangers selepas Mighty Morphin Power Rangers: The Movie (1995) dan Turbo: A Power Rangers Movie (1997).
Kehadiran Power Rangers barangkali bukan untuk menandingi filem adiwira lain seperti Iron Man, Batman dan Spiderman tetapi boleh mengubat rindu peminat terutamanya yang membesar era itu.
Tampil dengan jalan cerita yang sama daripada siri asalnya, gaya penceritaan filem arahan Dean Israelite ini ringkas bermula plot, perkembangan watak sehingga klimaksnya.
Penonton pasti terhibur dengan aksi lima rangers iaitu Merah, Biru, Hitam, Merah Jambu dan Kuning menerusi karakter berbeza mereka yang kemudiannya bersatu menentang musuh.
Jason (Ranger Merah), seorang pelajar yang aktif bersukan, tetapi sering dikaitkan dengan masalah disiplin. Billy pula (Ranger Biru) hidup dalam dunianya sendiri selepas kehilangan bapanya.
Zack (Ranger Hitam) berdepan konflik apabila perlu menjaga ibunya yang sakit, sementara, Kimberly (Ranger Merah Jambu) seorang ahli pasukan sorak yang juga mempunyai masalahnya sendiri.
Manakala, Trini (Ranger Kuning) adalah remaja yang berdepan krisis identitinya sendiri, sehingga dilihat sebagai watak yang mencetuskan kontroversi.
Power Rangers mengisahkan lima pelajar sekolah tinggi yang terpaksa mengatasi masalah peribadi mereka terpilih menyertai pasukan rangers yang ditugaskan untuk menyelamatkan bumi.
Selepas mendapat tahu pekan kecil mereka, Angel Grove dan juga dunia bakal hancur dimusnahkan oleh makhluk asing, mereka bergabung menumpaskan Rita Repulsa dengan bertukar menjadi Power Rangers.
Secara keseluruhannya, filem ini seronok untuk ditonton. Meski tidak tampil dengan imej janaan komputer (CGI) yang hebat, ia mampu membuatkan penonton teruja menyaksikannya terutaman ketika Dinozord bergabung menjadi Megazord.
Segalanya ditampilkan dengan cukup sederhana dan mudah difahami