KEBIASAANNYA dalam sesebuah drama atau filem, seorang pelakon itu perlu memberi komitmen dari mula sehingga tamat.
Namun ada kalanya tidak semua yang dirancang menjadi kenyataan.
Begitu jugalah halnya yang berlaku terhadap produksi drama Sape Dari Itali yang akan menemui penonton di slot Selekta Prima, TV2, bermula 23 Mac ini.
Menurut Pengarahnya, Hazali Ramli, pengunduran Bil Azali adalah cabaran besar buatnya dan produksi.
Bahkan penulis skrip, Adza Emie terpaksa mengolah semula skrip untuk menyesuaikan jalan cerita dengan watak Bil.
"Pengunduran Bil itu bukan sengaja dan saya sendiri tidak melihat dia sebagai pelakon bermasalah. Cuma keadaan kesihatan menyebabkan dia terpaksa menarik diri.
"Saya rasa terduduk awalnya kerana penggambaran sudah berjalan hampir separuh dan Bil pula membawakan watak antagonis.
"Kalau nak shoot semula saya rasa agak mustahil kerana melibatkan masalah yang lebih besar.
"Jadi kami terpaksa olah skrip dan saya buat satu kesinambungan agar tidak nampak canggung.
"Bagaimanapun saya masih masukkan babak lakonan Bil dalam drama ini.
"Alhamdulillah segala masalah itu selesai dan saya sendiri berharap dapat bekerja dengan Bil pada masa akan datang kerana dia seorang pelakon yang bagus," katanya pada Media Hiburan.
Tidak hanya berdepan dengan cabaran pelakon, Hazali berkata, penggunaan bahasa Itali untuk beberapa babak di dalam drama ini turut menjadi cabaran.
"Dalam drama ini, pelakon utama, Nadia Bryan membawakan watak sebagai anak kacukan berdarah Melayu-Itali bernama Lisandra dan dia juga perlu berbahasa Itali.
"Jadi bagi memastikan apa yang Nadia cakap itu betul sebutan dan intonasinya, pihak produksi terpaksa mencari seseorang yang boleh berbahasa Itali.
"Alhamdulillah saya lega kerana mendapat barisan pelakon yang cukup komited," jelasnya.
Selain Nadia dan Bil, drama ini dijayakan Syafie Naswip, Beego, Sherry Merlis, Emma Akma, Sulaiman Yassin dan Liza Zain.
Idea Shabery Cheek
Bercerita lanjut mengenai drama ini, Hazali berkata, idea asal daripada penerbit Bright Network Sdn. Bhd., Saiful Adzhar dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sewaktu beliau menjadi Menteri di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Katanya, menteri itu mencadangkan penggambaran dilakukan di Kemaman, Terengganu.
"Kami juga menjalani penggambaran di Pulau Redang, Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur.
"Walaupun hampir 85 peratus di Kemaman, namun ada sebab yang membawa Lisandra ke sana.
"Kalau nak tahu kenapa, kenalah tonton drama ini dulu," katanya.
Sape Dari Itali mengisahkan Lisandra (25 tahun) yang dibesarkan di Milan oleh ibunya, Theresa semenjak lahir. 25 tahun yang lalu, Theresa yang ketika itu sedang mengandung kembali ke Milan setelah difitnah oleh bekas tunang suaminya, Suhaila.
Lisandra tidak pernah berjumpa ayahnya mempunyai bakat bermain sape, alat muzik dari Sarawak.
Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Theresa memberikan sekotak surat yang dihantar kepada suaminya tetapi dipulangkan semula kepada Lisandra. Theresa yang percaya Shahrul masih hidup, mahu Lisandra mencari bapa kandungnya.
Drama 26 episod ini akan disiarkan setiap Selasa hingga Khamis, bermula jam 9 malam, di TV2.