PEMBABITAN selebriti tanah air, Fara Fauzana atau lebih dikenali dengan panggilan Fafau di atas pentas teater bukanlah kali pertama. Penampilan sulungnya enam tahun lalu menerusi teater Mak Dara Nyonya di Istana Budaya.
Seterusnya bintang berbakat besar ini tidak berhenti di situ saja, malah terus mewarnai pentas teater melalui teater muzikal Mak Cun pada 2015.
Selepas itu Fafau meneroka ilmu baru sebagai individu di sebalik tabir.
“Sejak berhenti sebagai penyampai radio saya banyak melibatkan diri dalam kerja-kerja yang tak pernah saya buat sebelum ini.
“Jadi sepanjang tempoh itu, saya banyak melibatkan diri di belakang tabir. Antara yang saya suka ialah pementasan teater.
“Sebelum ini saya ada dengar Zizi bakal mengadakan pementasan Throne Of Thorns. Saya pun menawarkan diri untuk terlibat dalam pementasan tersebut sebab mahu belajar bagaimana proses awal sehingga akhir dalam bidang teater ini. Saya nak tahu apa yang berlaku di sebalik pementasan tersebut.
“Dalam pada itu juga saya tahu Zizi sedang sibuk dengan teater Kerikil untuk pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana," katanya yang turut ditawarkan sebagai penampilan istimewa dalam teater itu.
Pada mulanya, kata Farah, dia menolak tetapi selepas berfikir semula, dia bersetuju untuk terlibat kerana mahu menjadi 'pemanis' dalam persembahan teater berkenaan.
Teater Kerikil arahan Dr Norzizi Zulkifli ini telah berlangsung di UiTM Shah Alam selama tiga hari dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Sebagai orang yang terlibat dalam pementasan ini, sudah pastilah Fafau turut berbangga.
Dalam perkembangan lain, Fafau kini pengacara di TV Al-Hijrah setiap hari Selasa dan Khamis jam 9 pagi.