Perjuangan Dayang Nurfaizah


KEBELAKANGAN ini, skala seni penyanyi yang berasal dari Bumi Kenyalang, Dayang Nurfaizah, 36, cukup membanggakan. Satu demi satu lagu-lagu nyanyiannya mendapat reaksi positif yang memberi ruang selesa buat pemilik nama lengkap, Dayang Nurfaizah Awang Dowty ini untuk terus mengembangkan kualiti muziknya.

Memenangi anugerah utama dalam edisi Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) Januari lalu menyumbang satu lagi kenangan manis, lengkap dengan melakukan ‘hat trick’ untuk terus unggul menggenggam trofi Vokal Terbaik sekali gus memberi signal positif buat Dayang.

Lalu, kejayaan tersebut juga menimbulkan persepsi baru, apakah lagi yang mahu dibuktikan Dayang selepas ini? Adakah dia kekal mahu bertanding dalam majlis anugerah atau sudah sedia berundur dan memberi peluang untuk bakat baru lain bersaing?

Ini kerana, mungkin bagi sesetengah penghibur senior, ‘kegigihan’ bertanding di AJL misalnya bukanlah sesuatu yang menjadi impian lagi.

Menjawab persoalan tersebut, bintang yang dilahirkan pada 20 Julai 1981 ini ternyata mempunyai pandangan berbeza.

Katanya, dia tidak sesekali menolak rezeki yang hadir di depan mata.

“Kalau ada rezeki untuk bertanding, kenapa saya perlu tolak? Bagi saya, kalau ada rezeki di situ, Alhamdulillah. Kalau rezeki tidak lagi datang di lain masa macam mana? Jadi selagi ada kemampuan dan kudrat untuk terus bersaing dalam seni, apa salahnya.

“Saya tidak meletakkan sebarang had dalam sesebuah pertandingan. Jika ada penyanyi lain yang mungkin mengambil keputusan berehat seketika daripada pertandingan, itu adalah hak masing-masing.

“Tentunya, mereka ada sebab tersendiri untuk mengambil langkah sedemikian.

“Cuma bagi saya, just go with the flow,” katanya yang turut memberitahu tidak gemar meletakkan kejayaan yang pernah diraihnya sebagai satu tekanan.

Tanggungjawab, bukan tekanan

Bercakap hal itu dengan lebih lanjut, Dayang jujurnya tidak senang jika mendefinisikan sesebuah kemenangan sebagai suatu tekanan untuk terus memberikan yang terbaik.

“Bila kita set dalam diri ‘kena menang’, itu yang buat kita tertekan. Saya tak gemar begitu.

“Lebih mudah, kalau kita anggap peluang yang hadir sebagai satu tanggungjawab dan sebagai pemegang amanah, kita perlu deliver dengan sehabis baik.

“Meskipun saya akui, untuk mengekalkan momentum itu. Ia bukanlah sesuatu yang mudah. Apa pun, elakkan tekanan,” akuinya.

Hadiah buat peminat

Berkongsi perihal kerjaya seninya, Dayang teruja kerana album barunya akan dipasarkan tidak lama lagi.

“Ikutkan perancangan, pelancarannya tahun ini juga. Sudah lama tidak hadir dengan album baru. Jadi kali ini saya kira inilah hadiah kerinduan buat peminat.

“Album tersebut nanti akan mengandungi 10 seleksi lagu. Tiga single saya yang terdahulu, Lelaki Teragung, Di Pintu Syurga dan Tak Pernah Menyerah turut diselitkan di dalam album berkenaan sementara bakinya adalah lagu baru.

“Antara komposer yang terlibat kali ini ialah Ajai, Omar K, Aubrey Suwito dan Hazami.

Sudah pasti saya teruja kerana sudah sekian lama tidak bekerjasama dengan mereka. Kali ini kami kembali dengan album baru,” akhiri Dayang yang kini popular dengan lagu Pejamkan Mata bersama Malique.

Post a Comment

Previous Post Next Post