Ummi Nazeera, Mr. I kahwin Jun depan


UMMI bersikap selektif terhadap tawaran lakonan yang diberikan kepadanya kerana sibuk sebagai pengarah eksekutif di syarikat milik keluarganya.

MENGIKAT tali pertunangan bersama seorang doktor yang dikenali sebagai

Mr. I pada 11 Disember tahun lalu, pelakon Ummi Nazeera kini berdebar menghitung hari perkahwinan mereka yang dijangka berlangsung selepas Aidilfitri nanti.

Selain sibuk membuat persiapan bagi meraikan hari bahagia yang hanya berbaki empat bulan lagi, ujar wanita berusia 27 tahun itu, fasa pertunangan yang sedang dilalui kini juga membuatkan dia lebih mengenali hati budi tunangnya dengan lebih dekat.

Ditemui semasa majlis pelancaran drama mini bersiri Chor & Chah terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. dan kerjasama SME Corp. Malaysia, dengan senyuman yang tidak lekang di wajah, Ummi tidak lokek berkongsi kisah hatinya yang sedang berbunga cinta.

KOSMO!: Boleh terangkan mengapa Ummi menerima tawaran untuk melakonkan watak Char dalam drama mini ini?

UMMI NAZEERA: Semasa saya memulakan kerjaya lakonan dahulu, Datuk Rosyam Nor merupakan orang pertama yang mendidik saya sebagai pelakon. Kemudian, apabila saya mengambil keputusan untuk berlakon semula selepas cuti belajar di Royal Melbourne Institute of Technology di Melbourne, Australia dahulu juga, drama pertama yang saya terima adalah bersama Suhan Movies. Jadi apabila mendapat tawaran ini, saya rasa tiada sebab untuk katakan tidak kepada mereka.

Memandangkan drama ini turut mendapat kerjasama daripada SME Corp, sejauh mana keyakinan anda drama mini ini boleh membantu usahawan yang ingin memulakan perniagaan?

Saya suka terlibat dengan kerja yang boleh memudahkan urusan orang ramai. Drama mini ini akan mengajar cara yang lebih mudah untuk memulakan perniagaan. Pendekatan drama berdurasi 15 minit ini merupakan peluang yang baik kepada usahawan baharu berbanding mereka membaca buku yang panjang dan selepas itu tidak faham. Tetapi menerusi drama mini ini, banyak selok-belok perniagaan divisualkan untuk tontonan umum.

Bagaimana dengan anda sendiri. Adakah anda sudah mengetahui ilmu asas dalam perniagaan?

Ya, saya sudah tahu. Tidak lama lagi saya akan melancarkan produk kosmetik sendiri. Keluarga saya juga menjalankan perniagaan sendiri dan saya memegang jawatan sebagai pengarah eksekutif. Disebabkan perkara itu, saya tidak dibenarkan menerima tawaran lakonan yang banyak, justeru saya perlu bijak merancang jadual lakonan yang diterima.

Bagaimanakah anda merancang jadual lakonan tersebut?

Seperti tahun lalu, saya cuma mengambil tiga tawaran sahaja iaitu untuk drama Patahnya Sebelah Sayap, Nahu Rindu dan filem Bisik Pada Langit. Drama mini Chor & Char merupakan projek pertama lakonan saya untuk tahun ini. Saya hanya memilih tawaran yang dirasakan sesuai dan memberi inspirasi kepada saya. Tambahan pula saya kini sibuk dengan persiapan perkahwinan, jadi saya akan menerima tawaran setakat yang termampu sahaja.

Bila tarikh perkahwinan anda dan boleh kongsikan tentang persiapan menuju hari bahagia itu?

Jika tiada halangan, saya akan berkahwin selepas Aidilfitri pada bulan Jun nanti. Pun begitu, tarikhnya belum diputuskan lagi dan saya akan umumkan kelak. Saya sudah berjumpa dengan pereka busana pengantin dan perancang perkahwinan bagi membincangkan soal tema dan pakaian yang akan dipakai nanti. Bagaimanapun, sebenarnya masih banyak lagi persiapan perkahwinan yang belum selesai.

Seperti diketahui, kalian cuma mengambil masa tiga bulan sahaja selepas berkenalan untuk mengikat tali pertunangan. Boleh ceritakan kriteria yang membuatkan anda senang bersama Mr. I?

Sebelum bertunang, saya sangka dia seorang yang serius. Tetapi selepas bertunang, baru saya sedar dia merupakan seorang lelaki yang kelakar. Saya selesa dengan sikapnya itu. Bagaimanapun, kami memang jarang berjumpa kerana tunang saya tidak berada di sini. Dia bertugas sebagai doktor di Sarawak, pun begitu dia tetap akan cuba pulang ke Kuala Lumpur sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan untuk bertemu saya.

Bagaimanakah dengan kerjaya anda selepas berkahwin nanti?

Sejujurnya, dia seorang yang sangat memahami, jadi dia tidak kisah tentang kerjaya lakonan saya. Semuanya bergantung kepada diri saya sendiri.

Post a Comment

Previous Post Next Post