PROSES kehamilan itu indah dan berwarna-warni, lebih-lebih lagi buat seorang ibu muda yang pertama kali merasai kehadiran satu lagi ‘nyawa’ sedang tumbuh dan membesar di dalam rahimnya.
Banyak perkara baharu yang perlu dihadam terutama perihal pengurusan diri dan kerjaya.
Bagi dramatis Amyra Rosli, rutin hariannya sejak disahkan hamil tidak banyak yang berubah. Cuma, isteri kepada pelakon Amar Baharin itu dinasihatkan supaya tidak melakukan kerja berat selepas mengalami sakit perut yang teruk sehingga terpaksa bermalam di hospital.
“Sejak keluar dari hospital dua minggu lalu, saya hanya duduk di rumah dan berehat. Kerjaya lakonan juga terpaksa ditangguhkan buat seketika, namun saya masih menerima undangan untuk menghadiri majlis-majlis santai jika ia dijalankan dalam durasi yang singkat,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran jenama tudung dan kosmetik Umma dan Nita di Hotel Shangri La, Kuala Lumpur kelmarin.
Pemilik nama lengkap Nurul Amirah Izzati Rosli itu menambah, keadaan kesihatan yang tidak menentu sejak berbadan dua menyebabkan beberapa tawaran lakonan yang diberikan kepadanya terpaksa ditolak.
Amyra yang kini sedang hamil sembilan minggu berkata, sungguhpun tempoh berehat yang disarankan oleh doktor telah tamat, namun intuisi hatinya masih belum bersedia untuk kembali bekerja seperti sediakala.
“Saya tidak mahu menyusahkan banyak pihak terutama individu belakang tabir. Jika saya pening atau jatuh sakit, seluruh penggambaran akan terganggu.
“Sihat atau tidak, lebih baik saya menolak dan berehat di rumah,” katanya sambil tersenyum.
Keputusan pelakon drama Isteri Tuan Ihsan itu untuk ‘bertenang’ seketika dari bidang seni juga sekali gus memadamkan namanya sebagai pasangan pengacara dengan Hefny Saad dan Zooey bagi program Muzik Muzik 32.
“Selepas menilai tahap kesihatan pada awal kehamilan, saya memutuskan untuk menarik diri daripada Muzik Muzik 32. Pengurus saya telah berbincang dengan pihak produksi. Alhamdulillah, mereka memahami situasi yang saya alami.
“Sejujurnya, saya menarik diri lebih awal kerana bimbang tidak dapat melunaskan tanggungjawab sebagai pengacara dengan baik. Jika kerap sakit dan tempat saya digantikan dengan orang lain, tiada lagi nilai eksklusif pengacaraan program tersebut. Jadi, lebih baik saya undur diri,” katanya yang muncul buat kali terakhir menerusi Muzik Muzik 32 sekitar dua minggu lalu.
Selera
Menyambung bicara mengenai situasi sepanjang tempoh awal kehamilan, Amyra mengakui selera makannya susut secara total.
Jelas penyanyi lagu Ada Saja itu, simptom kurang selera makan mula dirasai sejak dia dan Amar menjalankan penggambaran Projek Theme Park dan Romantika di Australia hujung Februari lalu.
“Sejak berada di Australia, iaitu sebelum disahkan hamil, selera saya semakin berkurang. Sehingga kini, saya hanya makan dalam kuantiti yang sangat kecil.
“Saya cuba memaksa diri untuk makan tetapi bau masakan yang dimasak oleh ibu juga menyebabkan selera saya putus serta-merta,” katanya yang tidak boleh mencium bau masakan berasaskan makan laut terutama sotong.
Amyra bagaimanapun belum berhadapan rasa loya pada waktu pagi atau mengidam untuk menikmati menu makanan pelik pada tengah malam. Peliknya, penangan hamil anak sulung membuatkan suaminya pula yang dilihat seperti dijangkiti simptom perempuan mengandung.
“Amar pula yang tiba-tiba mengadu pening dan mahu makan macam-macam. Baru-baru ini, dia teringin makan ikan siakap tiga rasa. Orang lain yang hamil, orang lain pula mengidam,” katanya sambil tertawa.
Teruja
Melanjutkan perbualan mengenai Amar, Amyra sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang sangat prihatin dan mengambil berat tentang keadaannya.
Menyandang status pelakon popular bukan alasan bagi Amyra untuk menyembunyikan anaknya daripada pengetahuan umum. Ujar pelakon Tersuka Tanpa Sengaja itu, dia dan suami akan terbuka berkongsi kisah anak di media sosial asalkan tidak berlebihan dan kena pada waktunya.
“Kadangkala Amar seperti terlebih prihatin mengenai keadaan kesihatan saya. Saya ditegah untuk melakukan kerja-kerja ringan walaupun sekadar mengemas rumah.
“Saya percaya Amar hanya mahukan yang terbaik buat saya dan anak dalam kandungan,” katanya lagi.
Ditanya reaksi Amar ketika mendapat tahu tentang kehamilan pertamanya, Amyra berkata: “Dia benar-benar gembira apabila doktor mengesahkan saya hamil.
“Tambahan pula, ini merupakan kehamilan cucu pertama bagi kedua-dua keluarga saya dan Amar.
“Kami juga tidak mahu terlalu gembira dan banyak bercerita. Cukuplah sekadar perkhabaran gembira ini dapat dikongsi dengan peminat.”
Bercakap mengenai keterujaan menyambut kehadiran cahaya mata sulung yang dijangka lahir sekitar Oktober atau November nanti, wanita berusia 26 tahun itu tidak pernah meragui kematangan usianya untuk bergelar ibu dan seterusnya membina sebuah keluarga yang lengkap.
Jelas Amyra, kesediaan berumah tangga pada usia muda sudah cukup membuktikan kesungguhannya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu, sekali gus menguruskan keluarga.
“Saya tidak faham mengapa ada segelintir masyarakat menganggap umur 26 tahun sebagai usia yang masih muda. Bagi saya, ini adalah waktu yang sesuai bagi seseorang wanita untuk berkahwin dan berkeluarga,” katanya yakin.
Pada masa sama, graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang bernikah pada 11 November tahun lalu itu tidak merasakan kehamilannya juga berlaku terlalu pantas.
“Jika saya mahu merancang atau menentukan masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata, saya tidak akan berkahwin.
“Apabila saya memutuskan untuk berkahwin, bermakna saya sudah bersedia untuk melalui fasa seterusnya iaitu hamil dan insya-Allah menerima kehadiran cahaya mata tidak lama lagi,” katanya sambil tersenyum.