SHEILA Majid bersama Pengarah Eksekutif Belum Rainforest Resort, Ahmad Khalif Mustapha Kamal (dua dari kanan), menunjukkan ibu jari yang telah dilekapkan pada lukisan sebatang pokok, simbolik persembahan Sheila yang bakal berlangsung di Belum Rainforest Resort, pada sidang akhbar di Menara Mustapha Kamal, Petaling Jaya baru-baru ini.
Lebih 30 tahun berkecimpung dalam arena muzik, ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid bukan sahaja dikagumi ramai kerana bakat nyanyiannya, beliau juga seorang anak seni yang begitu prihatin terhadap apa sahaja yang berlaku di sekelilingnya.
Antara perkara yang menjadi perhatian pelantun lagu Sinaran itu adalah isu alam sekitar. Bagi Sheila, beliau perlu melakukan sesuatu dan bertindak demi menyemarakkan kesedaran dalam kalangan masyarakat berkaitan isu tersebut.
“Banyak perkara yang kita tidak tahu tentang alam sekitar. Lazimnya, orang kita selalu mengagung-agungkan keindahan negara luar sampai terlupa bahawa negara sendiri mempunyai khazanah yang tidak ternilai.
“Mereka menghabiskan wang ringgit semata-mata ingin meneroka atau bercuti di negara luar sedangkan negara sendiri miliki segala-galanya. Kita perlu lebih didedahkan tentang khazanah negara seperti Hutan Royal Belum di Gerik, Perak,” ujar Sheila.
Tegas
Menyedari isu alam sekitar sebagai suatu perkara yang perlu diambil serius oleh semua orang, Sheila atau nama sebenarnya, Shaheila Abdul Majid, 51, turut menyeru khalayak supaya tidak terlalu memikirkan keuntungan dengan membelakangi alam sekitar.
SHEILA mengajak peminat menyemarakkan misi memulihara alam sekitar menerusi sebuah persembahan istimewa bertempat di Belum Rainforest Resort, Gerik, Perak pada 29 April nanti.
“Manusia dan alam sekitar saling bergantung. Bayangkan apa akan jadi kalau semua pokok ditebang untuk tujuan pembangunan, apa akan jadi? Dari mana kita semua akan mendapat bekalan oksigen?
“Kalau benar ingin tebang pokok, tanam kembali supaya kestabilan ekosistem terus terjaga. Bukan tebang dan hanya fikir untuk buat duit semata-mata.
“Kalau bukan kita yang memulihara alam sekitar, siapa lagi? Bermula dari sekarang, orang ramai perlu ambil serius tentang hal ini supaya generasi akan datang dapat menikmati keindahan alam sekitar di Malaysia,” getus beliau.
Selari dengan misi memupuk kesedaran penjagaan alam sekitar, Sheila akan mengadakan sebuah persembahan istimewa yang akan berlangsung di Belum Rainforest Resort, Hutan Royal Belum pada 29 April nanti.
Berkongsi lanjut tentang showcase yang disebut sebagai Sheila Majid @ Belum Rainforest Resort tersebut, beliau akan mengadakan persembahan selama 45 minit selain mendendangkan beberapa buah lagu daripada album terbaharunya yang bakal dilancarkan pada 7 April.
“Saya jangkakan lebih kurang 100 orang penonton akan hadir untuk showcase ini. Ia diadakan adalah untuk tujuan amal. Sebahagian hasil keuntungan akan disumbangkan bagi membiayai usaha memulihara alam sekitar.
“Apa yang menarik, ia bukan sekadar showcase tetapi penonton boleh bercuti bersama saya di sana. Saya dan peminat yang hadir juga akan bersama-sama meneroka Hutan Royal Belum kerana akan ada banyak aktiviti telah disusun,” kongsinya.
Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, program yang dijayakannya seiring keadaan ekonomi negara yang sedikit lembab sejak akhir-akhir ini. Program yang dijayakan dengan kerjasama Belum Rainforest Resort tersebut juga sekali gus menggalakkan orang ramai termasuk keluarganya melancong di dalam negara.
“Anak-anak saya tiada masalah untuk bercuti di dalam negara, bahkan mereka menyukainya. Idea untuk mengadakan showcase di Belum Rainforest Resort tercetus selepas saya dan keluarga bercuti ke beberapa kawasan di Taiping tahun lalu,” tutur beliau.
Menyentuh tentang perkembangan album terbaharu, Sheila mendedahkan, album yang diberi nama Boneka tersebut sudah siap dirakam dan hanya menunggu waktu untuk dilancarkan.
“Terdapat 10 buah lagu dalam album tersebut. Saya akan kongsi selanjutnya pada majlis pelancarannya tidak lama lagi,” tutup beliau.