SELEPAS lama menyepi untuk memberi tumpuan kepada rumah tangga, penyanyi Kalis Rindu, Elyana berhasrat kembali aktif menyanyi sebagaimana ketika zaman solonya.
Kata Elyana, hasrat itu timbul bukan kerana ramai rakan seangkatannya membuat kemunculan semula, tetapi lebih kepada dorongan peminat yang mahu dia kembali menghangatkan dunia seni tanah air.
“Rasa macam baru sekejap, tetapi rupa-rupanya sudah hampir tujuh tahun saya tidak aktif menyanyi dan rasa terlalu banyak yang tertinggal.
“Bila baca banyak komen. ramai yang mahu saya kembali menyanyi, saya jadi terkejut, rupa-rupanya masih ada yang ingat saya dan nak tengok saya menyanyi.
“Sejak itu, saya mula fikirkan secara serius dan akhirnya membuat perancangan untuk menghasilkan single terbaru dan insya-ALLAH jika semuanya berjalan lancar, ia akan disusuli dengan album pula,” katanya yang cukup sinonim dengan genre Pop Rock.
Bakal tampil dengan lagu ciptaan Tam Spider sebagai pertaruhan single terbaru, Elyana mengakui sering berasakan dia tidak mempunyai ramai peminat seperti rakan artis lain biarpun namanya sering menjadi sebutan ketika zaman popularnya.
“Dulu tiada media sosial, jadi kita tidak tahu pun sejauh mana orang suka atau terima kerja-kerja kita, malah jujurnya saya sering merasakan yang tidak ada peminat ketika itu.
“Disebabkan itu jugalah saya tidak ragu-ragu buat keputusan berhenti menyanyi dan menumpukan perhatian kepada rumah tangga.
“Namun bila masa berlalu dan dengan kemunculan media sosial yang membolehkan kita berhubung secara terus dengan peminat, barulah saya tahu sebenarnya ramai yang menyokong dan mahu melihat saya terus menyanyi dan berlakon,” akuinya.
Justeru kemunculan semula penyanyi ini adalah untuk menebus kembali apa yang tidak sempat dilakukannya bersama peminat sebelum ini.
“Dulu saya tidak begitu rapat dengan peminat, malah jarang mempunyai kesempatan untuk bersama kecuali ketika membuat persembahan.
“Jadi dengan kelebihan media sosial ni, saya mahu lebih banyak berinteraksi dengan mereka dan dalam masa yang sama mendapatkan terus respons tentang hasil kerja saya selepas ini,” jelasnya yang mula dikenali menerusi lagu Niat sekitar tahun 2001.
Masih orang yang sama
Bagaimanapun, Elyana atau nama lengkapnya Erneelya Elyana Emrizal, mengakui keputusan untuk berehat seketika dalam bidang seni sebelum ini bukan disebabkan halangan suami sebaliknya kehendak diri sendiri.
“Sebenarnya suami tidak pernah menghalang saya untuk terus aktif dalam bidang seni, tetapi ketika itu saya sendiri yang seronok duduk di rumah luangkan masa dengan keluarga dan menjalani rutin harian sebagaimana orang biasa.
“Perasaan seronok itu mungkin timbul kerana saya bergelar penyanyi ketika usia 13 tahun dan semenjak itu hidup saya begitu sibuk dengan segala aktiviti seni sehingga merasakan hidup saya begitu terbatas.
“Jadi bila kahwin, saya rasa inilah masanya untuk mengurangkan aktiviti dalam bidang seni dan mula menjalani kehidupan sebagai orang biasa dengan buat apa sahaja yang saya mahu,” katanya.
Apapun, kata Elyana selepas beberapa tahun dia mula rindu untuk kembali aktif dalam bidang seni apatah lagi cahaya mata tunggalnya, Cinta Sumayyah, sudah menginjak usia enam tahun.
“Bila anak dah besar ini, senang sikit saya nak rancang kembali kerjaya seni dan suami pula memberi sokongan sepenuhnya,” akuinya.
Meski berstatus isteri dan ibu, Elyana menegaskan dia masih lagi orang yang sama yang tidak pernah merubah penampilan diri dan genre muzik yang diminati.
“Saya masih macam dulu, suka tampil ringkas dan selamba dalam apa sahaja yang dilakukan kerana itulah jiwa saya.
“Jadi saya mahu kekal dengan penampilan sebegitu kerana peminat juga mengenali saya dengan karakter itu baik dari segi imej mahupun genre muzik,” tegasnya.
Tumpu nyanyian
Ditanya tentang dunia lakonan, kata Elyana yang kali terakhir tampil menerusi drama Keluarga Karaoke sekitar dua tahun tahun lalu, buat masa ini dia hanya mahu memberi tumpuan kepada nyanyian sahaja.
“Memandangkan single terbaru akan keluar tidak lama lagi, lebih baik saya perlahankan dulu aktiviti lakonan bagi membolehkan saya memberi sepenuh perhatian kepada nyanyian.
“Dah lama tidak muncul dengan lagu baru, jadi kena buat betul-betul dan kembali ingatkan orang yang saya bermula dalam bidang seni sebagai penyanyi dan bukan pelakon,” akhiri Elyana yang kini turut mempunyai kelab peminatnya sendiri.