PEMINAT penyanyi popular Indonesia, Afgan berpeluang menyaksikan persembahan, 'An Intimate Evening with Afgan and The Gandarianz' bersempena minggu setiausaha pada 27 April.
Persembahan yang berlangsung pada 8 malam di Tamingsari Grand Ballroom, The Royale Chulan, di sini menyasarkan 70 peratus pelanggan korporat dengan menawarkan pakej Bronze, Silver dan Gold masing-masing berharga RM3,000, RM5, 000 dan RM8,000.
Pengarah Urusan Loudcloud Entertainment and Event Management Sdn Bhd selaku penganjur, Najwa Mohamed Mokhtar berkata peminat juga boleh membeli tiket secara persendirian sekali gus dapat bersama-sama menyaksikan persembahan selama dua jam 30 minit itu.
Menurut Najwa, Afgan yang terkenal dengan lagu 'Jodoh Pasti Bertemu' itu akan mempersembahkan 10 lagu popularnya dengan pemuzik iringan, The Gandarianz.
"Sambutan jualan tiket amat memberangsangkan sejak mula dihebah kepada orang ramai awal Mac lalu dan 60 peratus daripada 700 tiket habis dijual dalam tempoh dua minggu, " katanya pada sidang media acara berkenaan, di sini hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang berminat boleh menghubungi 016-6400677 atau 017-3650838 untuk pembelian tiket dan maklumat lanjut.