Wany Hasrita mengakui ramai menyamakan vokalnya dengan penyanyi Siti Nordiana.
Pendatang baharu Wany Hasrita menjelaskan ramai pihak berpendapat vokalnya menerusi lagu Menahan Rindu mempunyai persamaan dengan penyanyi Siti Nordiana.
Kata penyanyi berusia 25 tahun ini, dia tidak menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang negatif sebaliknya itu pendapat masing-masing.
"Apabila saya baca di ruangan komen memang ramai keliru dengan mengatakan suara saya sama seperti Siti Nordiana malah ada juga menyamakan vokal saya dengan penyanyi lain.
"Itu adalah pendapat masing-masing dan saya tidak kisah pun kerana ia adalah satu bentuk publisiti untuk orang lebih mengenali saya," katanya kepada mStar Online.
Wany ditemui pada sidang media pengumuman calon lima terbaik Anugerah MeleTOP Era 2017 (AME2017) di sini, Selasa lalu.
Pemilik nama sebenar Nurshazwany Hasrita Hasbullah ini berkata, dia cuba sedaya upaya untuk mengetengahkan identitinya sendiri dan bukannya dikenali kerana mempunyai persamaan dengan penyanyi lain.
Menahan Rindu menaikkan nama Wany sebagai penyanyi.
Malah kata Wany, dia juga sedang mengikuti kelas vokal bagi memantapkan mutu nyanyian.
"Banyak yang perlu saya belajar kerana saya masih baru dan mengikuti kelas vokal adalah salah satu cara untuk saya memperbaiki diri.
"Insya-Allah masih banyak lagi ruang untuk saya memperbaiki diri dan menonjolkan identiti sebenar saya agar peminat tidak lagi keliru," jelasnya.
Dalam pada itu, Wany memberitahu dia sebenarnya sangat meminati muzik tradisional malah membesar dengan lagu-lagu dari genre itu.
Dia juga merancang untuk merakamkan sebuah single dari irama itu jika diberi peluang pada masa hadapan.
Siti Nordiana.
"Sebelum ini saya aktif menyanyi di Smule dan banyak juga saya menyanyi lagu-lagu tradisional.
"Tetapi saya cuba konsep balada untuk single pertama kerana ingin mencuba sesuatu yang baru dan Alhamdulillah ia menjadi dan mendapat sambutan baik daripada pendengar.
"Bagaimanapun saya ada perancangan untuk tampil dengan single tradisional selepas ini," ujarnya.
Bercakap lanjut mengenai Menahan Rindu, Wany berkata dia tidak menyangka lagu itu mendapat sambutan luar biasa apabila video muzik lagu itu sudah pun mencecah enam juta tontontan di YouTube sejak ia dilancarkan pada Disember tahun lalu.
"Saya memang langsung tidak menyangka ia mendapat sambutan cukup baik kerana pada awalnya takut juga kerana bimbang muzik balada 1990-an yang diketengahkan tidak kena dengan selera pendengar.
"Pun begitu saya bersyukur dan ia menjadi pemangkin semangat untuk saya terus memberikan yang lebih baik selepas ini," ujarnya.