Annyeonghaseyo! Penyanyi berbakat, Eric Nam lebih suka menjual muziknya di luar negara berbanding negara sendiri.
Ini kerana pasaran di Korea Selatan seperti lebih mementingkan kedudukan dan bukan kualiti album.
Perkara itu dikongsikannya baru-baru ini apabila pembikinan albumnya di negara sendiri ditunda disebabkan masalah penyuntingan.
Katanya, bahagian suntingan dan pemilihan lagu adalah paling susah dalam pembikinan album.
Bukan sekadar sibuk dengan album, Eric juga terbabit dengan penggambaran program berjudul We Got Married dan masanya banyak dihabiskan untuk program berkenaan.
“Saya tahu masa sangat terhad untuk pembikinan album. Hingga sekarang saya belum ada jawapan dan tak pasti bagaimana untuk menangani masalah ini.
“Di Korea Selatan, kedudukan lebih penting dan mereka yang tentukan kita bagus atau tidak. Ia berbeza di Amerika Syarikat apabila mereka tak peduli sangat mengenai kedudukan. Disebabkan itu saya lebih suka lancarkan lagu di luar negara berbanding Korea Selatan. Saya juga baru dihubungi seorang artis EDM antarabangsa.
“Bekerja dengan artis antarabangsa, mereka hanya berfikir untuk menghasilkan muzik yang bagus saja dan itu saja sudah cukup. Di Korea Selatan, saya tidak berapa selesa kerana akhirnya kedudukan juga yang diambil kira.
“Saya perasan banyak benda perlu dijaga dan perlu berhati-hati. Sukar untuk berkongsi isu begini,” katanya.
Eric berkata, dia akan melancarkan singlenya bulan ini dan akan diikuti album mini.
“Saya menulis 20 lagu dan pemilihan lagu adalah proses yang paling sukar. Penulisan lagu berkenaan turut dibantu KOLAJ, Jeff Bernat dan beberapa artis antarabangsa serta domestik yang lain. Namun, saya masih dalam dilema bagaimana untuk memuatkan semua lagu itu dalam satu album,” katanya.