Teruja menanti kelahiran bayi sulung, pelakon Saharul Ridzwan tidak mahu tahu jantina kandungan isterinya.
Menyunting Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir sebagai suri hidupnya pada September tahun lalu, Saharul tidak kisah soal jantina kerana yang lebih penting baginya adalah isteri dan anaknya selamat.
“Alhamdulillah, kandungan isteri sudah hampir enam bulan. Kami sudah buat ujian imbasan jantina tetapi saya minta doktor rahsiakan dahulu.
“Mungkin kerana teruja menyambut kelahiran anak sulung maka saya mahu ia jadi kejutan buat kami.
“Sebenarnya saya dan isteri tidak kisah soal jantina, yang penting anak sihat dan selamat,” kata Saharul seraya memaklumkan isterinya dijangka bersalin pada Jun depan.
Berkongsi perkembangan Deena, Saharul bersyukur buah hatinya itu sihat sepanjang kehamilan dan tidak mengalami alahan teruk.
Malah, mereka gembira dapat mengerjakan umrah Januari lalu.
“Tak dapat saya gambarkan betapa seronoknya dapat mengerjakan umrah bersama isteri. Walaupun pergerakan Deena agak terbatas, ia pengalaman menarik buat kami berdua.
“Syukur semuanya berjalan lancar sehinggalah kami selamat pulang ke tanah air,” katanya.
Berkongsi perkembangan kerjayanya, Saharul menjayakan drama mini Chor & Chah terbitan Suhan Movies dengan kerjasama SME Corp Malaysia.
Saharul berkata ia bukan sekadar wadah hiburan tetapi turut memberi manfaat kepada masyarakat terutama mereka yang menceburi bidang perniagaan.
“Saya tertarik dengan tawaran ini kerana ia ada pengisian yang penting.
“Drama mini ini memberi panduan bagaimana mahu memulakan perniagaan dan sarat idea menarik,” katanya.
Saharul mengakui sebelum ini pernah mengalami kerugian ketika berniaga kerana tidak cukup ilmu.
Selain Saharul, drama mini Chor & Chah turut dibintangi Ummi Nazeera, Luqman Hafidz dan Hafreez Adam. Drama 12 episod ini ditayangkan di YouTube.