Yusry Kehamilan kedua, Lisa lebih tenang


YUSRY bersama Lisa dan anak sulung mereka, Yahaira Leanne yang kini berusia setahun empat bulan.

Rezeki Allah tiada siapa yang boleh menduga. Biarpun cahaya mata pertama pasangan Yusry Abdul Halim dan Lisa Surihani baru sahaja menginjak usia setahun empat bulan, namun tidak lama lagi, mereka bakal dikurniakan seorang lagi ahli keluarga apabila Lisa kini hamil enam bulan.

Bertemu Yusry, 44, wajah bapa kepada Yahaira Leanne itu bersinar gembira apabila kisah kehamilan isterinya yang bakal melahirkan anak kedua tidak lama lagi diselit dalam perbualan.

Mengakui masih basah dalam ingatannya segala kenangan indah sewaktu kehamilan dan kelahiran anak pertama, Yusri yang ditemui dalam majlis doa selamat sempena pelancaran filem Badang di Intekma Resort & Convention Centre, Shah Alam baru-baru ini tidak lokek berkongsi khabar bahagia keadaan Lisa yang disifatkan lebih tenang berbanding kehamilan sebelum ini.

Terdahulu, Yusry bekerjasama dengan pengarah Datuk Prof. Dr. A. Razak Mohaideen bagi menghasilkan teknik pengimejan berkomputer (CGI) untuk filem Badang.

KOSMO!: Mungkin Yusry boleh kongsi keadaan kehamilan kedua Lisa sekarang?

YUSRY: Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan usia kandungan isteri saya kini sudah hampir enam bulan. Lisa kini lebih berkeyakinan dan memahami keadaan badannya berbanding kehamilan pertama.

Dahulu, kami sering berada dalam keadaan tidak pasti sehinggakan tarikh untuk berjumpa doktor pun boleh keliru dibuatnya.

Sepatutnya, temu janji setiap empat minggu sekali tetapi disebabkan risau, Lisa memilih untuk berjumpa doktor setiap minggu.

Adakah anda sudah tahu jantina bayi dan tarikh Lisa dijangka bersalin?

Ya, kami sudah tahu jantina bayi tetapi molek ia dirahsiakan terlebih dahulu. Insya-Allah, jika tiada sebarang masalah, Lisa dijangka bersalin pada hujung April nanti.

Sebagai ayah yang masih mempunyai anak kecil dan tidak lama lagi bakal mendapat seorang lagi cahaya mata, bagaimana perasaan anda?

Semestinya saya dan Lisa teruja dengan rezeki ini kerana kami menunggu selama tiga tahun untuk mendapat anak pertama.

Tanpa diduga kami dikurniakan rezeki untuk anak kedua pula. Disebabkan jarak antara Yahaira Leanne dan bakal anak kedua nanti sangat dekat, jadi kami masih ingat lagi bagaimana penjagaan yang perlu dilakukan sepanjang kehamilan dan kelahiran.

Adakah Lisa bercuti sepanjang kehamilan ini?

Tidak juga. Dia banyak menjayakan penggambaran iklan yang memerlukan masa lebih pendek. Bagaimanapun, tawaran lakonan terpaksa dilepaskan kerana kekangan masa.


Yusry kini terlibat dalam penggambaran filem adiwira, Badang sebagai penasihat sistem janaan imej komputer (CGI).

Beralih kepada Yahaira yang baru-baru ini muncul dalam sebuah iklan komersial, mungkin selepas ini anda lebih terbuka untuk dia terlibat dengan tawaran lain?

Sebenarnya, sejak dari dahulu saya pernah beritahu tidak mahu mendedahkan dia ke bidang hiburan tetapi apabila peluang datang, sebagai ayah saya tidak boleh menidakkan rezekinya.

Namun, kami tidak akan selalu mendedahkan Yahaira dengan populariti. Jika sesekali didatangi tawaran yang boleh membawa kebaikan kepadanya, mungkin kami akan pertimbangkan.

Boleh kongsi sedikit perkembangan terkini karier seni anda?

Buat masa ini saya sedang sibuk menyiapkan sebuah filem animasi berjudul Willy. Fokus saya memang kepada filem sebegitu kerana potensinya lebih senang dibawa ke negara luar.

Macam filem Willy, walaupun belum siap sepenuhnya, namun ia sudah ada pasaran dan mempunyai pembeli.

Difahamkan, KRU kini merancang konsert sempena 25 tahun dalam industri, bagaimana dengan perkembangannya?

Pada Julai tahun lalu, KRU pernah mengadakan konsert mini di Singapura, jadi kami memang merancang mengadakan konsert berskala besar pada tahun ini di Kuala Lumpur pula sempena dengan genap 25 tahun kami berada dalam industri.

Bagaimanapun, tarikh konsert belum ditetapkan kerana masing-masing terikat dengan komitmen kerja yang banyak.

Post a Comment

Previous Post Next Post