Pekin, Fattah, Tomok menyanyi dalam tren


DARi kiri: Pekin, Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Industri Kreatif dan Seni Persembahan UUM, Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin, Ahmad Ridhwan Mohamed Arshad dan Ketua Pegawai Eksekutif Time Reveal (M) Sdn. Bhd., Azurawaty Amar.

SERAMAI 14 orang penyanyi akan membuat kemunculan istimewa menerusi persembahan busking dalam tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) pada hari Sabtu, 21 Januari ini sempena projek amal Busking Aid On Train.

Projek anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM), kampus Kuala Lumpur dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tersebut menampilkan barisan artis popular seperti Fattah Amin, Pekin Ibrahim, Tomok, Aril Pilus, Zahid Baharuddin, Akma Abdullah, Haziq Rosebi, Ammar Drama Band, Maulana AF, PU Helmi, Kautsar Alam Band, Laika AF, Azran The Quest dan Ashraf Preety Ugly.

Projek berkenaan merupakan tugasan yang perlu dilakukan kesemua artis tersebut sebagai melengkapkan pengajian mereka di UUM dalam jurusan Sarjana Pengurusan Industri Kreatif selain bertujuan mengutip derma untuk beberapa buah rumah kebajikan.

Menurut Ketua Komunikasi KTMB, Ahmad Ridhwan Arshad, pihaknya menyambut baik penganjuran aktiviti menarik dan santai sebegini demi membudayakan masyarakat tempatan dengan program yang bersifat hiburan bermaklumat.

“Ini bukan kali pertama KTMB menjayakan projek busking di dalam tren tetapi bersama pihak UUM, ia adalah projek bersama buat julung kali.

“Sebagai syarikat pengangkutan awam pilihan nombor satu masyarakat, kami menyambut baik apabila usaha sebegini dianjurkan kerana artis boleh bertindak selaku jurucakap yang berkesan dalam menyampaikan mesej, terutamanya dalam konsep kebajikan untuk orang ramai.

“Selain berhibur, kita juga boleh mendidik masyarakat mendekati amalan kebajikan seperti menderma kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media projek berkenaan baru-baru ini.

Menjelang 21 Januari nanti, Pekin akan bergerak menggunakan tren bertolak dari KL Sentral ke aliran Sungai Buloh pada pukul 11.30 pagi, manakala Tomok pula ke aliran Bandar Tasik Selatan. Mereka kemudian akan berada di lokasi berkenan selama setengah jam untuk persembahan dan berkongsi informasi sebelum berpatah semula ke stesen KL Sentral dan berkumpul bersama Fattah Amin yang berada di stesen tersebut sejak pagi.

Sementara itu, pengarah dan pelakon, Pekin Ibrahim meluahkan rasa teruja dan tidak sabar menantikan sambutan yang bakal diterima daripada peminat.

“Ini merupakan kali pertama saya melakukan persembahan busking di dalam tren, jadi saya sangat teruja untuk merealisasikan projek ini dengan berjaya memandangkan ia belum pernah dilakukan oleh mana-mana artis di negara ini.


Sepanjang projek Busking Aid On Train nanti, Pekin turut membuka peluang kepada orang ramai yang berada di stesen Sungai Buloh untuk membuat permintaan lagu.

“Secara peribadi, saya memandang projek ini sebagai platform terbaik dan unik untuk menyampaikan mesej kebajikan kepada masyarakat selain berhibur,” ujarnya yang akan menyampaikan hampir 10 buah lagu pada hari tersebut.

Bersifat santai, namun di mata pengarah filem Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit itu, projek berkenaan tetap mempunyai cabaran tersendiri.

“Memandangkan persembahan dilakukan di dalam tren yang bergerak, saya agak khuatir tentang kestabilan sepanjang melakukan persembahan. Sistem bunyi juga menjadi cabaran kepada kami kerana keadaan di dalam tren berbeza berbanding di atas pentas dan mungkin akan memberi kesan sepanjang persembahan nanti.

“Bagaimanapun, kami tetap bersedia dengan apa jua kemungkinan dan berharap orang ramai yang berada di dalam tren dapat menikmati persembahan dan memahami objektif yang dibawa pada hari tersebut,” ujarnya yang merancang untuk menggunakan beberapa instrumen muzik sepanjang persembahan kelak.

Post a Comment

Previous Post Next Post