Kang Gary kembali gegar Running Man


Peminat Running Man pasti teruja apabila mendapat tahu penyanyi kegilaan ramai, Kang Gary yang telah menarik diri daripada program berkenaan bakal membuat kemunculan dalam salah sebuah episod yang bakal bersiaran pada 29 Januari ini.

Kemunculan Gary bagaimanapun bukanlah bermakna dia telah kembali dalam program berkenaan, sebaliknya hanya membuat kemunculan istimewa untuk sebuah episod khas sahaja.

Perkara tersebut turut disahkan penerbit Running Man, Lee Hwan-jin.

“Benar, Gary akan membuat kemunculan istimewa dalam sebuah episod khas. Disebabkan projek ini masih rahsia, saya tidak boleh mendedahkan butiran terperinci. Diharap penonton akan memberikan sokongan dengan menonton episod berkenaan,” kata Hwan-jin.

Terdahulu, pihak produksi Running Man mengejutkan peminat dengan pengunduran diri Gary daripada program berkenaan. Tidak lama kemudian pihak produksi mengumumkan program popular berkenaan bakal ditamatkan pada Februari depan selepas hampir tujuh tahun bersiaran.

Post a Comment

Previous Post Next Post