Harapan, pertarungan sulung Aiman, Sufian


Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah yang berlaku kepada dua pucuk muda yang baru setahun jagung dalam industri muzik.

Masakan tidak, mereka berdua tidak memerlukan masa panjang untuk menarik perhatian peminat dan meledakkan kawah popular.

Aiman Tino dengan single pertama berjudul Ku Rela DiBenci dan Sufian Suhaimi bertajuk Terakhir, kedua-dua anak muda itu berjaya melayakkan diri ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) yang bakal berlangsung pada Ahad ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Berbicara mengenai kejayaan awalnya, Sufian, 25, menyifatkan pencalonan ke pentas AJL sebagai tuah dan pencapaian tertingginya sebagai anak seni dalam tempoh setahun bergelar seorang penyanyi.

Biarpun terpaksa bersaing dengan ramai penyanyi popular yang lebih senior, Sufian percaya lagu ciptaan Sirikhan dan Rin Karnaen itu mempunyai kekuatan tersendiri sehingga dipilih juri profesional untuk bertanding dalam AJL31.

“Bagi saya, finalis agak seimbang kerana terdapat penyanyi senior seperti Dayang Nurfaizah dan Misha Omar di samping orang baharu seperti saya, Aiman Tino dan Projector Band.

“Walaupun terasa diri begitu kerdil berbanding nama besar yang lain, pada akhirnya ia sebuah pertandingan lagu bukannya penyanyi. Saya percaya lagu Terakhir mempunyai jiwa dan roh tersendiri untuk bersaing dengan lagu yang lain,” kata penyanyi yang berasal dari Mersing, Johor itu.

Biarpun telah melakukan persiapan sebaik mungkin termasuk dari segi latihan vokal dan latihan persembahan secara teknikal, terdapat kebimbangan yang bersarang di hati Sufian.

Tahap kesihatannya yang jatuh merosot sejak sebulan lalu akibat jangkitan pada bahagian kerongkongnya antara perkara yang harus diberi perhatian utama.

Ujar Sufian, dia bimbang andai kesihatannya tidak pulih sepenuhnya menjelang berlangsungnya AJL31 dan akan memberi kesan pada persembahannya nanti.

“Secara teknikal saya telah bersedia tetapi cabaran paling utama adalah tahap kesihatan yang merosot sejak sebulan lalu. Doktor telah mengesahkan terdapat jangkitan pada bahagian kerongkong. Saya juga beberapa kali diserang dan batuk terutama pada waktu malam.


SAKIT. Perkara yang dibimbangkan Sufian Suhaimi adalah tahap kesihatannya menjelang AJL31 kerana disahkan doktor menghidapi jangkitan kerongkong.

“Jika kesihatan tidak baik, secara tidak langsung ia akan menjejaskan persembahan, sedangkan ini peluang pertama saya di pentas AJL. Sudah tentu saya mahu lakukan yang terbaik,” tutur Sufian sambil memberitahu terdapat perubahan pada susunan lagu Terakhir yang akan dinyanyikan pada AJL31.

Bercerita tentang AJL, kata Sufian, dia tidak pernah terlepas menonton AJL sejak 13 tahun lalu. Biarpun kini dia menyanyikan lagu bergenre balada, genre paling diminati ketika menonton AJL adalah Irama Malaysia.

Selain kemeriahan persembahan sarat penari di atas pentas, tarikan vokal penyanyi lagu Irama Malaysia sering menarik perhatiannya.

“Saya telah lama menjadi penonton setia AJL sejak lama terutama semasa lagu Irama Malaysia masih dipertandingkan mengikut kategori. Persembahan yang sering saya nantikan waktu dahulu ialah Datuk Siti Nurhaliza, Noraniza Idris dan Syura kerana mereka menyanyikan lagu Irama Malaysia.

“Sekarang kecenderungan saya terhadap AJL berubah-ubah setiap tahun bergantung pada lagu yang dipertandingkan,” ceritanya.

Sebelum mengakhiri bicara sengaja ditebak, apakah lagu pilihannya untuk bergelar juara, tanpa berfikir panjang, lagu Di Amaran Mama dendangan Hazama atau Kalah Dalam Menang (Syamsul Yusof dan Mawi) menjadi karya terbaik dalam senarainya.

“Jika bercakap tentang kehebatan lagu, semuanya bagus dan memiliki keunikan tersendiri. Namun jika diminta membuat pilihan, dua lagu berkenaan cukup kuat dan menarik.

“Apa pun semuanya terpulang pada pihak juri. Saya hanya mampu berusaha dan menjadikannya sebagai pengalaman terbaik pernah dimiliki,” kata Sufian menutup bicara.


JUARA. Jika diberi pilihan, Sufian memilih antara lagu DiAmaran Mama dendangan Hazama atau Kalah Dalam Menang nyanyian Syamsul Yusof dan Mawi yang dianggap layak bergelar juara.

Kejutan Aiman

Sama seperti Sufian, penyanyi Aiman Tino yang popular dengan lagu berhantunya Ku Rela DiBenci juga terkejut saat namanya diumumkan sebagai salah seorang penyanyi yang layak ke pentas akhir AJL31.

Kejayaan mendadak yang hadir dalam tempoh singkat benar-benar memberi impak kepada remaja berusia 18 tahun itu.

Luahnya yang tidak pernah bermimpi untuk menjadi seorang penyanyi, pentas AJL merupakan perkara yang berada di luar jangkaannya.

“Saya tidak pernah bercita-cita menjadi penyanyi, apatah lagi menanam impian mahu ke pentas AJL. Pencapaian ini sesuatu yang luar biasa untuk diri saya.

“Debarannya memang cukup tinggi, jika difikirkan tentang AJL yang akan berlangsung Ahad ini, saya langsung tidak boleh tidur (ketawa),” kata Aiman meluahkan perasaan yang bergelora dalam hatinya.

Sungguhpun begitu, selepas lagu ciptaan A.C.K dan Riena yang merupakan ibu bapanya sendiri itu terpilih ke AJL, Aiman telah melakukan persiapan rapi demi memberi persembahan yang bakal diingati peminat.

Baginya AJL merupakan pencapaian terbesar dan terbaik sepanjang bergelar seorang penyanyi sejak setahun lalu.

“Takut memang jangan cakaplah tetapi sebagai penyanyi saya ada tanggungjawab untuk memberi persembahan terbaik, bukan sahaja untuk peminat tetapi juga diri sendiri.

“Walaupun ia sebuah pertandingan, saya tidak lihat ia sebagai medan untuk bersaing. Sebaliknya, merupakan sebuah pentas untuk saya menimba pengalaman memandangkan saya finalis paling muda dan baharu dalam bidang nyanyian,” tutur Aiman.

Remaja dengan nama sebenarnya, Mohd. Aiman Yusri itu mengakui, walaupun agak kecewa apabila lagunya terpaksa ditukar lirik atas permintaan pihak produksi kerana didakwa mempunyai lirik ke arah kematian, dia menyahut cabaran berkenaan dan berjanji akan memberi kejutan buat peminat.

“Memang saya kecewa apabila diminta tukar lirik lagu sebab ramai peminat sudah menghafal lirik yang asal. Bagaimanapun, saya terpaksa akur dan menganggap penukaran lirik lagu sebagai cabaran.

“Alhamdulillah, sekarang sudah ramai peminat tahu tentang penukaran lirik Ku Rela Dibenci dan saya sendiri tidak ada masalah untuk menyanyikan lagu itu dengan lirik baharu,” ujar Aiman sambil mengakui lebih menyukai lirik asal lagu tersebut.


MINAT. Aiman amat meminati Hafiz Suip dan tidak sangka akhirnya dia bertanding di pentas AJL31 bersama penyanyi pujaannya itu.

Aiman sebenarnya ada kegembiraan lain menjelang hari kemuncak AJL31 nanti. Dia bersyukur kerana akhirnya dianugerahkan peluang berkongsi pentas dengan penyanyi pujaannya, Hafiz Suip yang turut layak menerusi lagu Terimaku Seadanya duet bersama Misha Omar.

Sebelum ini, Aiman sekeluarga tidak pernah gagal memberi sokongan setiap kali penyanyi lagu Awan Nano itu layak ke AJL. Tidak disangka pula, tahun ini dia sama-sama bertanding dengan Hafiz di pentas sama.

“Saya sekeluarga memang meminati Hafiz dan tidak pernah berhenti menyokongnya dalam setiap pertandingan yang disertai termasuklah AJL. Rasa seperti mimpi apabila sekarang saya dapat bertanding di atas pentas yang sama dengannya.

“Sepanjang latihan, Hafiz banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada saya. Perasaan berdebar memang tidak boleh dielakkan, namun ia suatu perkara yang baik kerana membuatkan seorang penyanyi berusaha bagi memberi persembahan terbaik.

“Jika tidak berdebar, maknanya minat menyanyi sudah hilang. Apa pun saya tetap memberi sokongan kepada Hafiz kerana sampai ke hari ini saya masih melihatnya sebagai idola, saya pula pemuja tegarnya,” luah Aiman jujur.

Post a Comment

Previous Post Next Post