Syarat cinta Amira Othman


AMIRA ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya dan sibuk mempromosi single terbaharu Jaga-Jaga.

SEBELUM ini, penyanyi Amira Othman pernah menjalinkan hubungan istimewa bersama ahli kumpulan Azhael, Azhar Osman.

Hubungan yang mekar ketika mereka sama-sama terlibat dengan program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF2013) bagaimanapun hanya bertahan untuk senggang waktu yang singkat. Hubungan antara Amira dan Azhael akhirnya terlerai sekitar dua tahun lalu.

Sungguhpun telah lama putus cinta, pemilik nama lengkap Nadia Amira Othman itu dilihat begitu selesa melalui rutin hariannya tanpa teman istimewa di sisi, lebih-lebih lagi selepas namanya menjadi sebutan apbila membintangi drama bersiri Abang Bomba I Love You tahun lalu.

Sewaktu bertemu dengannya di majlis pelancaran produk kecantikan Meriel Skincare & Cosmetics di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini, Amira mengakui mahu memberi fokus kepada kerjaya seninya buat masa ini.

Tutur Amira, dia kini sedang sibuk mengukuhkan karier nyanyiannya, sekali gus ‘berehat’ sebentar daripada memikirkan soal cinta dan perkahwinan.

KOSMO!: Apa khabar Amira, boleh kongsikan perkembangan terkini anda?

AMIRA: Buat masa ini, saya sibuk dengan tawaran persembahan pentas. Pada masa sama, saya juga sedang mempromosikan single terbaharu berjudul Jaga-Jaga.

Sengaja memilih tajuk single yang seakan-akan sama dengan lagu sebelum ini, Hati-Hati?

Benar, pihak pengurusan mahukan sebuah konsistensi. Jadi, apabila mendengarkan lagu tersebut, pendengar dapat meneka ia merupakan lagu nyanyian saya.

Lagu tersebut dicipta oleh juara AF2013, Faizul Sany. Single terdahulu, Hati-Hati juga dicipta oleh Faizul dan Hael Azhael. Adakah anda masih berhubungan dengan mereka?

Sejujurnya, selepas tamat AF2013, kami sudah jarang bertemu. Namun, tidak bermakna kami terus terputus hubungan. Selain berjumpa di acara-acara hiburan, kami bertukar-tukar mesej menerusi pesanan aplikasi Whatsapp.

Bercakap mengenai hubungan, sudah mempunyai teman istimewa yang menggantikan tempat Azhar?

Belum lagi. Fokus utama adalah karier dan usaha untuk mengukuhkan pengaruh dalam kalangan peminat.

Namun, itu tidak bermakna saya terus menolak jodoh. Saya menyasarkan usia 28 tahun sebagai umur yang sesuai untuk menamatkan zaman bujang. Namun, jika telah bertemu jodoh lebih awal, saya terima dengan tangan terbuka.

Jika dipertemukan jodoh, apakah ciri-ciri lelaki idaman anda?

Kalau boleh saya mahu lelaki yang bukan dalam kalangan penggiat seni. Saya cepat cemburu, jadi lebih baik pasangan pilihan orang biasa-biasa sahaja.

Bagaimana pula dengan majlis perkahwinan idaman?

Saya mahukan sebuah majlis yang sederhana. Saya lebih utamakan perkara wajib dan kemungkinan besar tidak melakukan majlis pertunangan. Saya juga memilih untuk tidak bercinta untuk tempoh masa lama. Takut tidak jadi, rugi masa.

Bagaimana pula dengan bidang lakonan, ada menerima tawaran baharu?

Sejak membintangi drama Abang Bomba I Love You, banyak tawaran lain diterima. Namun, saya terpaksa tolak kerana bimbang tidak boleh memberikan komitmen penuh memandangkan saya juga mengacarakan rancangan Nasi Lemak Kopi O.

Post a Comment

Previous Post Next Post