Azharina, Elly Mazlein utamakan komitmen


Karier dan kebajikan anak merupakan keutamaan Azharina Azhar dan Elly Mazlein selepas muncul dalam program realiti Gegar Vaganza musim ketiga tahun lalu.

REZEKI itu rahsia Allah dan tidak ada sesiapa yang mampu untuk menebak aturan hidup yang telah ditetapkan oleh Maha Pencipta.

Selepas menjuarai program realiti Gegar Vaganza musim ketiga, karier nyanyian Azharina Azhar dilihat berubah secara total.

Jika dahulu penyanyi kelahiran Sabah itu mempunyai masa yang banyak untuk diri sendiri, kini Azharina terpaksa akur dengan kepercayaan diberi oleh khalayak untuk terus melihat dirinya menyambung legasi seni sebagai seorang penghibur.

“Tidak dinafikan, sebaik sahaja tamat GV3, tawaran menyanyi begitu banyak diterima. Saya berasa sangat bersyukur.

“Namun, disebabkan terlalu banyak tawaran yang diterima, ada yang terpaksa ditolak atas sebab percanggahan tarikh,” ujar Azharina ketika ditemui pada majlis pelancaran Kedai Konsep Aveda di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain memenuhi undangan nyanyian, pelantun lagu Elegi Sepi itu sedang sibuk merakamkan lagu untuk dimuatkan ke dalam album terbaharunya yang akan dipasarkan tidak lama lagi.

“Buat masa ini, hala tuju album masih belum dipastikan memandangkan ia masih dalam proses rakaman.

“Sebanyak tujuh buah lagu akan dimuatkan dan ia termasuk single terbaharu yang diterbitkan Astro bersempena dengan kemenangan saya tempoh hari,” katanya yang masih menggunakan khidmat Julfekar sebagai komposer.

Bercerita lanjut mengenai pembikinan album tersebut, Azharina menekankan aspek kualiti di samping beberapa pembaharuan yang mampu memberikan kelainan pada portfolio seninya.

“Album ini cukup istimewa kerana ia dirakam dengan elemen string yang dimainkan secara langsung.

“Pada masa sama, khidmat penggubah muzik dari Filipina dan Indonesia juga akan digunakan untuk menggubah keseluruhan muzik di dalam album saya itu nanti,” katanya yang kini sedang sibuk mempromosikan lagu Sekian Terima Kasih.

Menyambung bicara, Azharina turut berkongsi mengenai konsert sulungnya yang bakal diadakan di Lombok, Indonesia pada 26 Januari ini.

“Buat masa ini, saya sedang sibuk dengan persiapan konsert tersebut. Ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian termasuklah pemilihan lagu.

“Terlanjur berada di sana, saya juga akan merakamkan klip video bagi lagu Seribu Cinta bersama rakan duet, Rizal Badila yang merupakan penyanyi kelahiran Lombok,” katanya yang turut akan mengadakan persembahan mini di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 26 Mac depan.

Cinta

Selepas berpisah dengan suaminya, Datuk Shukri Mohamed sekitar 10 tahun lalu, kehidupan Azharina sebagai seorang janda tidak banyak berubah.

Cuma, kehadiran anak angkatnya, Rahmat Azaharin Aziz Mohamad Faizal yang kini berusia tiga tahun lebih banyak menceriakan suasana hidupnya sebagai seorang ibu tunggal.

Justeru, tidak hairanlah jika Azharina bersifat tertutup apabila diajak untuk berbicara soal lelaki.

“Kalau boleh, saya tidak mahu memikirkan tentang lelaki. Saya mahu fokus kepada kerjaya memandangkan saya baru sahaja kembali menyanyi.

“Jika ada yang benar-benar mahu mendekati, boleh berjumpa dengan keluarga saya dan berbincang,” katanya yang mencari lelaki yang bertanggungjawab dan mempunyai stabiliti dalam hidup.

Anak

Seperti bersetuju dengan Azharina, penyanyi Elly Mazlein turut berkongsi pendapat yang sama.

Bekas peserta GV3 itu berkata, selepas bercerai dengan bekas suami, Azmi Hatta dua tahun lalu, fokus utama Elly dalam hidup hanyalah kepada anaknya, Putri Sara Sefhia, 10 bulan.

“Saya mahu memberi fokus yang penuh kepada kerjaya. Kebetulan, rezeki dalam bidang nyanyian semakin bertambah selepas menyertai GV3.

“Jadi, saya memang tidak mahu fikir soal cinta dan pasangan hidup,” katanya sambil tersenyum.

Menurut Elly, tiada apa yang merugikan dirinya jika dia mengambil keputusan untuk tidak mendirikan rumah tangga.

“Saya bahagia dengan Sefhia. Apa yang saya lakukan saban hari adalah untuknya.

“Tambahan pula, saya sudah merasai sendiri kehidupan berumah tangga. Buat masa ini, biarlah saya bahagia dengan cara sendiri,” ujarnya lagi.

Perpisahan antara Elly dan Azmi berlaku dalam rantaian fasa yang agak rumit.

Bermula dengan isu pelantun lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu yang diceraikan ketika sedang hamil, dunia hiburan kemudian dikejutkan dengan kehadiran pelakon Faye Kusyairi yang dikatakan menjadi punca keretakan rumah tangga mereka.

Biarpun agak sukar untuk menerangkan perkara yang berlaku kepada anaknya kelak, namun Elly percaya bahawa Sefhia dapat memahami situasi yang terjadi antara dirinya dan Azmi.

“Sebagai seorang ibu, saya merupakan individu yang bertanggungjawab mencorakkan masa depan anak. Saya tidak mahu mengotorkan fikirannya dengan perkara-perkara negatif.

“Saya yakin, Sefhia sendiri akan nampak perkara sebenar di sebalik situasi ini. Tambahan pula, banyak cerita yang boleh dibaca tentang ayahnya di internet apabila dia sudah besar kelak,” katanya.

Karier

Berkongsi mengenai perkembangan terkini, Elly atau nama lengkapnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 36, bakal memulakan penggambaran bagi sebuah drama bersiri 40 episod tidak lama lagi.

“Saya bakal kembali ke set penggambaran tidak lama lagi.

“Biarpun agak sibuk, saya tetap menerima tawaran tersebut kerana mahu memberikan sesuatu yang baharu kepada peminat,” tutur Elly yang masih enggan berkongsi lanjut mengenai barisan pelakon lain yang terlibat dalam drama berkenaan.

Selain sibuk berlakon, penghibur yang berasal dari Slim River, Perak itu juga bakal muncul dengan single baharu.

“Lagu yang bakal dirakamkan masih sama seperti lagu-lagu terdahulu. Saya tidak boleh terlalu berinovasi kerana peminat sudah mengenali saya dengan gaya nyanyian sebegini.

“Saya berharap agar peminat menyukai buah tangan terbaharu saya nanti,” katanya yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman KRU Records.

Post a Comment

Previous Post Next Post