Azam 2017 Izreen Azminda


Izreen kembali aktif dalam bidang lakonan selepas berehat hampir enam bulan untuk bersama putera sulungnya, Adrian.

SEKITAR pertengahan tahun lalu, selepas sesi penggambaran drama bersiri Lelaki Macam Dia, pelakon Izreen Azminda mengambil keputusan untuk berehat sebentar daripada dunia lakonan.

Bukan sengaja untuk menyepikan diri tetapi menurut Izreen, tempoh enam bulan ‘hilang’ daripada radar dunia hiburan digunakan untuk berehat dan menghabiskan masa bersama putera sulungnya, Muhammad Adrian Umar yang kini berusia empat tahun.

“Hampir tiga tahun saya bekerja dan berlakon tanpa henti. Kedatangan bulan Ramadan dan Syawal juga tidak memberi kesan kepada saya kerana sibuk di lokasi penggambaran.

“Jadi, selain berehat dan menenangkan fikiran, tempoh bercuti tersebut saya gunakan sebaiknya bersama Adrian,” kata Izreen ketika ditemui pada majlis kesyukuran dan sesi ramah mesra Lurve Me by Izreen Azminda di Casa Ombak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah dramatis yang mula melakar nama menerusi drama bersiri Juvana itu, masa berkualiti bersama anak perlu biarpun sesibuk mana seseorang ibu dalam mencari rezeki.

“Bukan mudah bergelar ibu tunggal. Saya perlu bekerja keras bagi memastikan anak saya membesar dengan sempurna dan pada masa sama perlu memastikan masa bersama anak terjaga.

“Disebabkan itu, saya akan menolak tawaran berlakon di luar ibu kota atau memerlukan saya berada di lokasi penggambaran sehingga lewat pagi,” katanya yang berpisah dengan bekas suaminya, Muhamad Riza Baharuddin pada 9 Jun 2014.

Ketika ditanya sampai bilakah Izreen mahu menggalas status ibu tunggal tersebut, wanita berusia 32 tahun itu hanya tersenyum.

“Perkahwinan ini percaturannya sukar ditebak. Kekal atau tidak, pada penghujungnya, saya tidak akan rugi apa-apa.

“Buat masa ini, saya masih solo. Jika ada yang berkemampuan dan sudi menjaga saya dan anak, saya mungkin akan pertimbangkan,” katanya.

Dalam perkembangan terkini, Izreen telah kembali ke set penggambaran bagi drama Yes Bos pada 20 Januari lalu.

“Selepas lama berehat, saya mahu kembali aktif dalam bidang lakonan.

“Selain Yes Bos, saya juga akan kembali ke set penggambaran bagi drama rantaian mini khas Aidilfitri Pergilah Air Mata,” katanya yang turut terlibat dalam sebuah rancangan realiti Perang Bibir yang bakal bersiaran di TV9 pada Mac depan.

Dalam pada itu, Izreen yang pernah menyertai pertandingan nyanyian Gempak Superstar pada tahun lalu turut terlibat dengan rangka promosi jenama minyak wanginya Lurve Me by Izreen Azminda.

“Agak meletihkan kerana terdapat satu lagi cabang tugas yang perlu dilaksanakan selain berlakon.

“Namun, saya bertuah kerana dibantu oleh rakan kongsi dan yakin dapat membahagikan masa dengan baik kelak,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post