Azar Azmi Hati saya pada lakonan


Selepas lima tahun menyepi, Azar Azmi nekad membuat kemunculan semula dalam bidang lakonan.

Wanita berusia 25 tahun ini mula dikenali apabila menyertai program Dewi Remaja 2010 yang turut membariskan Neelofa dan Anzalna.

“Sebelum menyertai program itu saya pernah berlakon tetapi hanya bawa watak sampingan. Pengalaman itu sedikit sebanyak membuka mata saya mengenai dunia lakonan.

“Selepas itu saya ambil keputusan berehat kerana mahu fokus berniaga,” katanya.

Menurut pelakon drama bersiri terbaru di Hypp TV, Syurgaku Tak Sempurna ini, dia sudah lama merindui kembali beraksi di hadapan kamera.

“Kalau sudah jatuh cinta mana boleh lupa. Boleh dikatakan setiap hari saya rindu untuk kembali ke set penggambaran. Hati saya memang pada dunia lakonan.

“Syukur, saya kini dapat buat apa yang saya minat,” katanya.

Ditanya sama ada dia ralat membazirkan masa bertahun-tahun lamanya sedangkan bakat yang ada itu perlu diasah dan dikembangkan, Azar berkata dia terima segala aturan hidupnya dengan hati terbuka.

“Sejujurnya, saya tak pernah rasa rugi atau ralat apabila tidak berpeluang mengembangkan bakat lakonan. Sepanjang lima tahun berehat ada kerja lain yang saya buat, bukan goyang kaki.

“Lagipun, belum terlambat untuk saya mencuba nasib sekali lagi dalam bidang lakonan. Saya tidak kisah bermula dari bawah dan percaya pada rezeki.

“Peluang ini tidak akan saya sia-siakan dan akan buat yang terbaik,” katanya.

Azar turut menzahirkan rasa syukur apabila kehadirannya mendapat perhatian ramai penerbit malah kini rancak menyusun jadual seninya.

“Alhamdulillah, saban hari jadual kerja saya semakin padat. Berada dalam bidang ini biarlah saya dikenali kerana bakat dan bukan kerana kontroversi,” katanya.

Mengulas lanjut drama Syurgaku Tak Sempurna, Azar tampil sebagai Jun.

“Saya pegang watak Jun, rakan kepada Azalia lakonan Raja Ilya. Wataknya Jun tidak telalu besar tetapi banyak konflik dan menjadi perantara kepada watak lain,” katanya.

Drama 30 episod itu turut dibintangi Shah Iskandar, Uqasha Senrose, Zaidi Omar, Didie Alias, Mustapha Kamal dan Aedy Ashraf.

Selain Syurgaku Tak Sempurna, wajah Azar juga pernah mengisi beberapa drama popular di kaca TV termasuklah Suri Hati Mr Pilot, Biar Aku Jadi Penunggu dan Mukhlis 2.

Post a Comment

Previous Post Next Post