Fattah Amin di belakang tabir


Mahu terus fokus dengan apa yang diimpikannya selama ini, pelakon Fattah Amin gembira apabila hasrat bekerja di belakang tabir dapat direalisasikan.

Menerusi drama Dia Anak Jeneral terbitan A Aida Production, Fattah menggalas tugas sebagai penerbit eksekutif.

Pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang penerbitan, Fattah berkata sudah lama dia mengimpikan peluang itu.

“Syukur, Datuk A Aida sudi memberi peluang kepada saya bekerja dengannya.

“Sudah lama saya teringin bekerja di belakang tabir dan apabila diberi peluang, inilah masanya untuk membuktikan kemampuan diri.

“Saya akan gunakan semua ilmu ketika menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dulu dengan sebaik mungkin,” katanya.

Dia Anak Jeneral drama adaptasi novel yang bakal disiarkan di RTM tidak lama lagi.

Selepas dua bulan berehat, Fattah gembira apabila dapat kembali ke lokasi penggambaran.

“Agak lama juga saya berehat, namun tidak bermakna saya duduk diam kerana banyak perkara yang perlu diuruskan.

“Syukur saya dikelilingi keluarga dan pengurusan yang banyak membantu menguruskan kedai makan serta gimnasium,” katanya.

Fattah yang kini masih menjadi duta Safi Men juga gembira andai tawaran menjadi duta disambung lagi.

“Safi Men adalah produk pertama yang memilih saya menjadi duta. Selepas itu saya turut menjadi duta beberapa produk lagi dan terbaru telefon pintar Oppo.

“Alhamdulillah, selain sibuk berlakon rezeki saya dalam bidang lain juga semakin murah. Ini memberi peluang kepada saya untuk terus mencipta nama selagi diperlukan.

“Setidak-tidaknya apabila tidak lagi mendapat tempat dalam industri seni nanti, saya ada punca pendapatan lain untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post