Aweera, Mojo sudah berdamai


Aweera bersama anggota kumpulan Mojo, Denny (kiri), Johar (kanan sekali) dan Edry (berdiri di belakang).

Kemelut dalaman kumpulan Mojo yang berlarutan sekitar 2014 pernah menjadi isu hangat industri seni apabila vokalisnya, Aweera dikatakan tidak sependapat dengan anggota lain.

Kemuncak persengketaan menyaksikan Aweera atau nama sebenarnya, Nasharul Aweera Noriyissham, 26, disingkirkan daripada bertanding pada peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) mendendangkan lagu Romancinta.

Selepas hampir tiga tahun berlalu, Aweera dan Mojo akhirnya sepakat untuk kembali menyatu dan beraksi di atas pentas sama ketika acara pembukaan majlis sidang media program Rockanova di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Aweera, itu adalah kali pertama mereka bergabung semula dalam satu persembahan selepas isu penyingkiran pada AJL29 dan mengakui, ia merupakan langkah awal untuk menjernihkan semula keadaan.

KOSMO!: Bagaimanakah anda boleh menjayakan sebuah persembahan bersama Mojo selepas tiga tahun mengisytiharkan perang dingin?

AWEERA: Sebenarnya, pihak Astro yang memberi cadangan agar persembahan pembukaan ini dijayakan oleh saya dan Mojo. Kebetulan pula jadual saya kosong, jadi apa salahnya saya menyanyi bersama mereka memandangkan vokalis Mojo sekarang iaitu Ryan berada di Indonesia. Ia ibarat satu pertemuan semula yang menarik buat kami.

Adakah ini bermakna anda dan Mojo sudah berbaik?

Apa yang boleh saya katakan, biarlah hal-hal yang sudah lepas itu tidak disebut kembali. Saya lebih suka bercakap tentang momen baik bersama Mojo kerana menerusi kumpulan inilah, nama saya dikenali.

Kalau boleh, isu perbalahan atau perselisihan faham dahulu sekadar jadi pengajaran. Kami sudah tidak mahu memanjangkan sengketa kerana industri muzik tanah air kecil sahaja, jika bukan sekarang, akan datang kami akan bertembung juga.

Apakah perasaan anda bila membuat persembahan bersama Mojo selepas tiga tahun tidak bersama?

Sebenarnya saya rindu untuk membuat persembahan dengan mereka. Jiwa saya memang bersama kumpulan, apabila bergerak solo perasaannya tidak sama. Jadi, ia seperti mengubat kerinduan menyanyi di dalam sebuah kumpulan seperti dahulu.

Maksudnya anda akan kembali semula menjadi sebahagian daripada Mojo selepas ini?

Mojo masih mempunyai vokalis mereka iaitu Ryan, jadi jika tidak timbul istilah kembali bersama Mojo buat masa sekarang tetapi jika ada peluang atau tawaran untuk berduet atau bekerjasama dengan mereka, pastinya saya tidak akan menolak.

Namun itu sekadar cadangan kerana tiada sebarang perbincangan yang dilakukan untuk apa-apa projek dalam masa terdekat.

Boleh dikatakan kerjaya seni anda agak perlahan ketika bergerak solo berbanding sewaktu bersama Mojo. Adakah anda bersetuju dengan situasi tersebut?

Karier solo saya memang agak perlahan tetapi ia terjadi disebabkan saya mempunyai komitmen lain seperti menguruskan perniagaan sebagai sumber pendapatan tambahan.

Selain itu, lagu-lagu saya jarang mendapat tempat untuk diputarkan di radio, namun itu semua bergantung pada rezeki, mungkin masa saya belum sampai.

Bagaimanapun, saya akan muncul dengan single terbaharu tidak lama menerusi lagu bertajuk Cinta Wanita Paling Agung.

Anda sekarang tampil dengan imej rambut pendek. Boleh ceritakan apa yang membuatkan anda memilih imej sebegitu?

Ramai juga menegur bahawa apabila berambut pendek, aura rock itu seolah-olah hilang daripada saya. Apa yang mahu saya jelaskan cuma, tidak kira apa sahaja imej yang ditampilkan, jika rock telah sebati dalam jiwa, maka ia tidak akan pudar.

Saya tiada niat apa-apa ketika memotong rambut, cuma mahu mencuba sesuatu yang baharu, itu sahaja.

Post a Comment

Previous Post Next Post