Yuran Akademi Suara Mark Adam murah


Tenaga pengajar Suara Academy (dari kiri), Amir Jahari, Mark Adam, Adeed dan Ewal AF.

TEMPOH 16 tahun berkelana di bumi Malaysia sudah cukup membuatkan Mark Adam memahat kukuh nama dalam hati peminat. Perjalanan Mark sebagai anak seni dilihat mudah. Bakat nyanyiannya diterima ramai dan kini melangkah satu tapak lagi menjadi pelakon dan guru vokal yang disegani.

Ternyata dua tahun pengalaman mengajar vokal di negara asalnya, Filipina dan lapan tahun di sini membuktikan Mark atau nama Islamnya, Fikri Mark Adam Abdullah serius mahu melahirkan penyanyi yang mempunyai kualiti vokal yang tinggi.

Tanggal 25 Januari lalu menjadi memori indah buat lelaki berusia 38 tahun itu apabila hasratnya untuk membuka sebuah pusat latihan vokal tercapai dengan perasmian Akademi Suara yang terletak di Neo Damansara.

Beroperasi setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 9 malam, Mark yang ditemui usai perasmian memberitahu, dirinya begitu beruntung kerana proses dan usahanya merealisasikan sebuah akademi seni suara dipermudahkan Tuhan.

“Saya dipertemukan dengan pusat ini sejak bulan Disember tahun lalu oleh Hafiz Hamidun. Pertama kali melihat tempat ini saya sudah jatuh hati kerana terletak di lokasi strategik serta dilengkapi beberapa kemudahan asas seperti kerusi dan meja.

“Tidak banyak yang saya belanjakan untuk membuka pusat ini kerana dibantu oleh rakan-rakan. Pendek kata, urusan membuka Akademi Suara begitu mudah,” kongsinya gembira.

Menawarkan kelas vokal untuk kanak-kanak seawal usia tiga tahun hingga orang dewasa, yuran yang dikenakan Mark hanya serendah RM300 untuk sebulan. Sesi latihan pula berlangsung selama satu jam dalam seminggu.

Selain Mark sebagai teraju utama, dia juga dibantu oleh tiga tenaga pengajar lain iaitu Amir Jahari, Adeep Nahar dan Iqwal Hafiz atau Ewal AF.

Ditebak persoalan mengenai caj yuran yang agak murah, lelaki itu berkata, selain melahirkan penyanyi berkualiti, dia juga ingin memberi peluang kepada golongan yang tidak berkemampuan tetapi minat dalam bidang muzik untuk belajar vokal.

“Biarlah yuran yang dikenakan tidak terlalu tinggi asalkan ia cukup untuk saya membayar sewa bangunan dan gaji tenaga pengajar.

“Ketika awal pembukaan, saya memang sudah menetapkan tiga nama sebagai tenaga pengajar. Saya pilih Amir Jahari berdasarkan bakat dan minatnya yang mendalam terhadap muzik, manakala Ewal pula kerana kebolehannya menyanyi dan menari dengan baik.

“Selain itu, faktor usia yang masih muda juga karakter mereka sesuai untuk berhadapan dengan pelajar-pelajar kami, terutamanya kanak-kanak,” terangnya.

Aiman Tino jadi anak murid

Melanjut bicara, Mark memberitahu, setakat ini dia sudah menerima 12 orang pelajar antaranya penyanyi lagu Ku Rela Dibenci, Aiman Tino.

Akademi Suara juga mempunyai seorang pelajar muda yang baru berusia tiga tahun.

“Untuk kanak-kanak, kami akan mengajar mereka menyanyikan lagu-lagu nurseri terlebih dahulu. Antara perkara yang akan kami ajarkan nanti termasuklah teknik meningkatkan keyakinan diri dan kawalan vokal.

“Saya juga membuat had iaitu seramai 25 pelajar sahaja untuk seorang tenaga pengajar. Saya harap pelajar yang mendaftar di Akademi Suara nanti benar-benar berminat untuk belajar kerana saya mahu lihat negara ini mempunyai ramai penyanyi berkualiti seperti di Indonesia,” ujarnya penuh semangat.

Sebelum mengakhiri bicara, Mark sempat ditanya perkembangan lain tentang karier seninya.

“Saya baru sahaja melancarkan lagu Janjiku Padamu duet bersama Adira. Lagu tersebut sengaja dirakamkan semula untuk tayangan drama rantaian Pangako Sa’yo di Astro.

“Tidak lama lagi, saya juga akan masuk ke set penggambaran sebuah telefilem. Bagaimanapun, tajuknya belum boleh diumumkan lagi,” ujar Mark mengakhiri bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post