Eksklusiviti Scha Al Yahya dan Awal Ashaari


REZEKI - Tidak kisah dikatakan sebagai ‘menjual’ anak, Awal dan Scha lebih suka menganggap tawaran yang datang buat anak mereka sebagai rezeki, namun pada masa sama, masih ditapis untuk disesuaikan dengan umur Lara.

Gimik ketibaan keluarga bahagia pasangan pelakon Awal Ashaari dan Scha Al Yahya bersama anak perempuan mereka, Lara Alana untuk pelancaran minyak wangi mereka di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur dengan menaiki sebuah kereta kuda ditempah khas baru-baru ini amat menarik perhatian.

Awal yang segak berpakaian sut hitam, diiringi isterinya memadankan gaun petang mewah berambu-rambu merah serta Lara comel bergaun putih menimbulkan sedikit persoalan, adakah ia agak keterlaluan demi sebuah produk yang sudah sering dikeluarkan oleh golongan selebriti.

Namun bagi pemilik nama Ahmad Awaluddin Ashaari, dia sudah bersedia dengan kritikan sinis tentang kemewahan atur caranya, malah mengakui memang beria-ria untuk majlis tersebut.

“Memang majlis ini kelihatan seperti terlalu mahal untuk pelancaran produk tetapi saya suka kerana apa yang dibayangkan di dalam kepala menjadi kenyataan.

“Kalau orang hendak bercakap tentang majlis ini pun, silakan kerana secara tidak langsung ia menjana publisiti percuma untuk minyak wangi kami,” katanya sambil tersenyum tenang.

Walaupun menyedari trend selebriti dan pengeluaran jenama minyak wangi sendiri dianggap sudah terlalu klise, Awal dan Scha tidak merasa gentar untuk mengambil langkah serupa.

Berbekalkan asas minyak wangi terbaik dan eksklusif yang dihasilkan di Dubai, Awal yakin jenama dia dan isteri iaitu Bleu by Awal Ashaari serta Maroon by Scha Al Yahya mampu bersaing dengan jenama lain di pasaran.

Mengambil masa setahun untuk mendapatkan wangian serta keharuman yang benar-benar sesuai di hati mereka, pasangan ini hanya mengeluarkan 20,000 unit minyak wangi bagi setiap jenama bagi menjaga standard produk tersebut.

Menurut Awal, mereka memilih produk minyak wangi kerana ia sesuatu yang sering digunakan dalam kehidupan seharian dan mahu berkongsi wangian pilihan bersama peminat.

“Jika habis 20,000 botol itu, maka habislah minyak wangi Bleu by Awal Ashaari dan Maroon by Scha Al Yahya di pasaran kerana kami bukan fokus kepada kuantiti tetapi kualiti produk tersebut.

“Stokis-stokis yang dilantik juga hanya terhad kepada seorang bagi setiap negeri, malah minyak wangi kami hanya boleh dibeli secara online dan tidak dijual di kedai fizikal termasuk butik baju kami sendiri iaitu Garderobe House,” katanya yang menaruh sepenuh keyakinan minyak wanginya akan laris di pasaran.

Selain itu, pelakon filem Syurga Cinta itu juga tidak kisah berhabis wang ringgit untuk sesi penggambaran klip video kempen minyak wangi tersebut yang dilakukan di Bangkok, Thailand selama lima hari.

Tambahnya, ia sekadar untuk memuaskan rasa hati kerana dia adalah seorang yang mementingkan kesempurnaan, maka setiap apa yang dibuat perlu dilakukan sebaik mungkin.

“Apa yang penting hasilnya membuat saya berasa puas hati dan berbaloi kerana bukan selalu mendapat peluang melancarkan produk menggunakan nama sendiri seperti ini,” katanya berseloroh.

Berlakon

Beralih kisah kepada kerjaya seni, jika dibilang usia sudah hampir tiga tahun lelaki berusia 35 tahun itu tidak menampakkan kelibat di layar perak atau televisyen sebagai seorang pelakon.

Sejak kehadiran Lara di dalam hidupnya, Awal berkata, dia lebih suka andai sebahagian besar fokusnya diberi kepada si kecil itu tanpa perlu dibelahbahagikan.

Setakat ini, hanya Scha sahaja yang aktif menerima tawaran berlakon. Ia berikutan Awal berpandangan salah seorang daripada mereka perlu menemani Lara sekiranya terdapat tuntutan kerja ke luar negara.

Bagaimanapun, memandangkan kini usia Lara sudah mencecah tiga tahun dan sudah besar sedikit, Awal menyatakan kesediaan untuk kembali mewarnai bidang lakonan.

“Saya rindu sebenarnya untuk berlakon tapi sebab sudah biasa menolak tawaran orang, mungkin mereka anggap saya sudah berhenti.

“Pada tahun ini, saya melihat sebagai masa sesuai untuk aktif semula kerana Lara juga sudah besar dan sudah memahami jika saya atau Scha keluar bekerja,” terangnya lagi.

Bagi Scha pula, dia sudah mula mengambil pendekatan bersikap lebih selektif dalam menerima tawaran yang lebih bersesuaian dengan usia.

Kata wanita bernama Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir ini, jika suaminya mahu kembali aktif berlakon, ia bermakna dia pula harus memperlahankan rentak untuk berada di sisi Lara.

“Semuanya berbalik soal tolak ansur kerana sebelum ini Awal lebih suka berada di rumah melayan Lara, jadi ia membuka peluang untuk saya keluar bekerja.

“Lagipun umur saya sudah 33 tahun, kalau ditawarkan jadi budak sekolah ia akan kelihatan sangat tidak sesuai,” ujarnya sambil mengakui masih menerima tawaran seperti itu tetapi ditolak dengan baik.

Anak

Saat topik bila mahu menambah bilangan anak terpacul keluar untuk pasangan ini, Awal kelihatan sedikit termenung untuk menjawab soalan berkenaan, manakala Scha segera mengangguk setuju.

Scha dengan terbuka memberitahu, dia sudah bersedia untuk hamil sekali lagi kerana rindu momen saat mengandungkan Lara dahulu.

Namun, dia mengerti perasaan suaminya yang kadangkala merasakan belum cukup kasih sayang yang dicurahkan kepada Lara dan merasakan kehadiran anak kedua akan mengalih perhatian mereka berdua.

“Saya faham Awal adalah seorang yang akan fokus kepada satu perkara dalam satu masa, jadi setiap kali dia melihat Lara terlalu manja dengan kami, dia tidak sampai hati.

“Rancangan asal ialah untuk memberi senggang masa dua tahun tetapi pejam celik pejam celik, sudah masuk tahun ketiga,” tutur Scha sambil mengerling suami di tepi.

Awal kemudiannya menjelaskan, bukan tidak mahu tetapi seperti yang diberitahu oleh Scha, dia risau andai kasih sayang terhadap Lara akan terbahagi dua dengan kehadiran orang baharu.

Begitupun, dia menceritakan bahawa anaknya itu sudah mula menunjukkan sifat seorang kakak apabila sangat menyukai bayi dan tiada masalah bermain bersama.

“Insya-Allah, jika ada rezeki, memberi Lara seorang adik termasuk dalam rancangan keluarga kami untuk 2017. Jadi, doakanlah ia dipermudahkan.

“Saya juga lihat Lara seperti sudah bersedia kerana apabila kami hadir ke mana-mana majlis, jika dia ternampak bayi, dia akan minta untuk mendukungnya. Mungkin itu satu tanda Allah mahu memberitahu Lara sudah bersedia,” ujarnya kemas menutup bicara.

Kehidupan pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Al Yahya bersama anak perempuan mereka, Lara Alana sering menjadi buah mulut peminat tempatan tidak kira dari segi peribadi atau aktiviti seni. Terkenal dengan sifat mementingkan kesempurnaan serta menggemari sesuatu yang tampak mewah, Awal dan Scha tidak ambil pusing kata-kata orang sekeliling asalkan apa yang diimpikan diraih dengan usaha gigih kudrat sendiri.

Post a Comment

Previous Post Next Post