Juliana Evans nafi bakal berkahwin


MENGAKUI usia semakin meningkat, Juliana Evans tidak menolak bakal berkahwin tahun 2017.

Tiada angin, tiada ribut secara tiba-tiba pelakon jelita berwajah pan-Asia, Juliana Evans dikatakan bakal menamatkan zaman bujang dengan seorang kerabat Diraja Selangor yang dikenali sebagai Tengku A.

Menurut laporan satu ruangan hiburan akhbar tempatan, Juliana atau nama sebenarnya Juliana Sophie Johari Evans, 27, telah pun mengedar kain pasang untuk kedua-dua keluarga lelaki dan perempuan bagi tujuan majlis perkahwinan. Malah, pelakon filem Aliff Dalam 7 Dimensi itu turut dikatakan tidak mahu mengikat tali pertunangan sebaliknya ingin terus melangsungkan perkahwinan.

Menafikan hal tersebut kepada Kosmo! baru-baru ini, Juliana tenang menjawab desas-desus tersebut.

Kosmo!: Apabila cerita anda sedang membuat persiapan bakal berkahwin dengan Tengku A tersebar, apa reaksi anda?

Juliana Evans: Ya Allah, tidak benar sama sekali. Saya tidak tahu macam mana cerita sebegini boleh dibesarkan.

Cerita saya sudah mengedar kain pasang untuk berkahwin memang mengarut.

Lebih-lebih lagi, ia bukan datang daripada mulut saya. Saya juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan tidak akan melangsungkan majlis pertunangan sebelum berkahwin.

Kalau benar saya akan berkahwin, sudah tentu saya sendiri akan mengumumkan kepada teman media.

Tambah lagi, saya mahu soal kahwin menjadi satu yang istimewa. Kalau benar saya akan berkahwin, saya sendiri akan buka mulut.

Jadi, bagaimana cerita sebegini boleh timbul?

Saya sendiri tidak tahu. Paling kelakar apabila kenyataan tersebut mengatakan saya tidak mahu bertunang. Sudah tentu saya mahu bertunang.

Nasihat saya mudah sahaja. Selagi ia tidak keluar daripada mulut saya sendiri, usah percaya.

Baiklah, tahun depan usia anda akan menginjak 28 tahun dan pastinya soal kahwin akan terus dipersoalkan. Komen anda?

Buat masa sekarang memang tiada apa-apa perancangan untuk ke arah itu (perkahwinan). Saya tidak mahu cakap lebih-lebih kerana jodoh itu adalah kerja Tuhan.

Bagaimanapun, saya sedar saban tahun usia saya semakin meningkat. Jadi, tidak mustahil saya akan berkahwin pada 2017 atau tahun-tahun berikutnya.

Setakat ini, bagaimana pula dengan hubungan cinta anda dengan Tengku A?

Setakat ini, baik-baik sahaja. Saya tidak mahu komen lebih kerana ini adalah hal peribadi saya.

Seperti saya katakan tadi, hal kahwin saya mahu ia menjadi istimewa. Kalau saya terlalu bercerita tentang kisah cinta kepada umum, ia tidak lagi istimewa.

Bagaimana dengan perkembangan seni terbaharu?

Dua filem lakonan saya iaitu Pulang arahan Khabir Batia dan Bella & Jamie (Fairul Nizam Ablah) masih menunggu tarikh tayangan di pawagam.

Tahun 2016 bakal menutup tirai, bagi tahun hadapan apa yang anda ingin capai?

Sejujurnya, banyak lagi perkara yang ingin saya capai. Salah satu daripadanya adalah berkahwin. Dalam pada itu, saya juga mahu melakukan yang terbaik dalam apa jua bidang saya ceburi.

Post a Comment

Previous Post Next Post