Rentak mahligai Amyra Rosli, Amar Baharin


Tidak meletakkan tempoh untuk mempunyai zuriat, Amyra Rosli sudah bersedia bergelar ibu jika dikurniakan rezeki oleh Allah.

Terharu

Melangsungkan detik bahagia sekitar awal November 2016, Amar dan Amyra turut dilantik wajah kempen Warnai Hidup Baru oleh Nippon Paint Malaysia.

Menerusi kempen tersebut, Amar akan membuat persediaan untuk menyambut kedatangan Amyra ke kediaman keluarganya dan menghias bilik tidur mereka rona pilihan si isteri.

Bersesuaian dengan imej Amyra yang merupakan seorang wanita lemah lembut, pelakon berusia 26 tahun itu memilih warna merah jambu sebagai pelengkap kamar beradu mereka.

Setiap kisah belakang tabir dan usaha Amar menghias sendiri biliknya mengikut pilihan warna Amyra akan dipaparkan menerusi video yang akan dimuat naik menerusi laman web Nippon Paint Malaysia, www.nipponpaint.com.my/paint-new-happiness.

Melihat kesungguhan si suami, hati isteri mana tidak terharu apabila melihat kesungguhan lelaki yang dicintai memenuhi impiannya, apatah lagi mereka masih dalam fasa bulan bulan madu.

“Pastinya saya berasa sungguh terharu. Saya tidak menyangka, walaupun tanpa khidmat profesional bilik tersebut tampak menawan.

“Saya dapat melihat sisi kreatif dalam diri Amar apabila dia mengecat sendiri bilik tersebut,” jelas Amyra sambil mengucapkan terima kasih kepada suami di sisi.'



MENYANDANG tanggungjawab sebagai seorang isteri tidak membataskan pelakon jelita Amyra Rosli meneruskan langkah dalam bidang seni.

Tidak mendapat sebarang bantahan daripada suaminya tercinta kerana kedua-duanya hidup saling berlandaskan kepercayaan antara satu sama lain.

Meskipun corak kerjaya tetap sama dengan saat sebelum berumahtangga namun, status yang dahulu bujang kini bergelar isteri orang pasti memperuntukkan dirinya untuk lebih berhati-hati dalam mengatur langkah.

Bersyukur kerana ditemukan dengan seorang lelaki yang memahami, Amyra memberitahu, Amar Baharin tidak meletakkan sebarang syarat membataskan lakonannya.

“Ketika berada dalam fasa berkawan, kami telah membincangkan tentang perjalanan kerjaya masing-masing dan saya bersyukur dia (Amar) tidak meletakkan sebarang syarat.

“Paling penting kami saling mempercayai, menghormati dan mengetahui akan batas masing-masing agar tiada hati yang terguris,” tutur Amyra lembut.

Teraju utama drama rantaian Isteri Tuan Ihsan itu sesekali dilihat melemparkan pandangan ke arah suaminya yang duduk bersebelahan dengannya.

Manis menguntum senyuman sebelum memulakan bicaranya dalam melayari bahtera perkahwinan, Amyra berkongsi ceritera mengenai sebuah insiden kecil yang berlaku dalam rumah.

Melepaskan ketawa kecil sebelum memulakan cerita, Amyra tidak dapat menyembunyikan kesan luka kecil apabila jari telunjuk tangan kanannya cedera gara-gara ingin membuka plastik sebilah pisau yang baru dibeli.

“Akibat tidak berhati-hati insiden tersebut berlaku namun mujur tiada sebarang kecederaan serius dan luka kecil sahaja,” katanya sambil tersenyum.

Selain menerima kontrak sebagai wajah kempen promosi bersama Nippon Paint, Amar dan Amyra membuat keputusan untuk menghabiskan waktu bersama-sama sebelum masing-masing masuk ke lokasi penggambaran bermula tahun depan.

Cabar diri



Selain bercerita mengenai kecederaan kecil tersebut, pemilik nama lengkap Nur Amira Izzati Rosli itu teruja berkongsi detik manis berbulan madu di Taman Tema Tokyo Disneyland.

Pastinya peluang menjejakkan kaki ke negara Matahari Terbit itu merupakan kenangan yang sukar dilupakan buat Amyra apatah lagi pengembaraan di kota fantasi tersebut ditemani suaminya tercinta.

Menerusi suaranya, jelas terpancar tempoh seminggu berkelana di Jepun bersama Amar merupakan kenangan sukar untuk dilupuskan dari kotak memorinya.

Menjadikan percutiannya lebih menarik dan mengujakan, Amyra dan Amar tidak menggunakan khidmat perantauan antarabangsa untuk mendapatkan sebarang maklumat lokasi yang ingin dituju.

Tanpa rasa ragu-ragu, pasangan itu menyahut cabaran tanpa mengharapkan bantuan internet di telefon mudah alih selama seminggu sewaktu berada di Jepun.

Mengakui ia bukan satu perkara mudah namun, pengalaman tersebut menjadikan dirinya lebih bersabar serta berdikari selain percutiannya juga lebih menarik daripada biasa.

“Bagaimanapun sebelum memulakan perjalanan, kami tetap akan menggunakan kemudahan WiFi di hotel dan mendapatkan segala maklumat yang diinginkan termasuk tempat reaksi dan makanan halal.

“Memang ia agak mencabar tetapi kami ingin merasai kehidupan dan gaya sebenarnya masyarakat setempat serta rutin mereka dengan menggunakan pengangkutan awam seperti menaiki tren,” jelasnya bersungguh-sungguh.

Post a Comment

Previous Post Next Post