Syarini ingin jadi ikon fesyen


SYARINI tampil mengenakan busana rona hitam dengan perincian manik ketika membuat persembahan pada majlis pertunjukkan fesyen Ready To Solat by Vie Syanti di Kuala Lumpur baru-baru ini.

sekali menjejakkan kaki sekali ke Malaysia, penyanyi popular kelahiran Bogor, Jawa Barat, Indonesia, Syarini nyata teruja saat membuat persembahan pada majlis pertunjukan fesyen Vie Syanti, Ready To Solat di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengakui dirinya seorang pengikut setia perkembangan dunia fesyen, penyanyi berusia 34 tahun itu amat mementingkan soal penampilan diri terutama ketika berada di atas pentas.

Tambahan kata Syarini, kehidupan sebagai seorang selebriti menuntut kepekaannya terhadap perkembangan dunia fesyen agar tidak ketinggalan dibuai arus zaman.

“Tidak dinafikan saya amat mementingkan gaya dan penampilan terutama ketika ingin membuat persembahan. Saya berpendapat artis dan fesyen saling bergantungan,” tutur penyanyi bermata galak itu.

Selain menjaga perincian busana yang tersarung di badan, penyanyi berbintang Leo itu turut menitikberatkan soal solekan kerana ia merupakan simbolik imej buatnya.

Menggunakan khidmat adiknya, Aisyahrani sebagai penasihat fesyen selain merangkap pengurus peribadi, Syarini turut berkongsi rahsia bahawa dia tidak menggunakan khidmat jurusolek profesional, sebaliknya melakukan dandanan wajah secara sendiri.

“Setiap kali membuat persembahan saya akan mengenakan solekan sendiri dan hanya akan mendapatkan bantuan khidmat profesional untuk dandanan rambut,” jelas Syarini sambil melemparkan senyuman.

Selain itu, dia turut berkongsi kemunculannya pada 16 Disember lalu bukan persembahan pertama di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun terakhir ini.

Sebaliknya, pelantun Kau Tak Punya Hati itu telah beberapa kali menerima undangan nyanyian di majlis tertutup yang diadakan ibu kota.

Menurutnya, rata-rata peminat menyangka kemunculannya pada majlis pertunjukan fesyen Ready To Solat tersebut koleksi terbaharu Vie Shanti itu merupakan kali pertama di Malaysia. Ia berikutan beberapa majlis yang dihadiri sebelum ini tidak mendapat liputan media.

Tidak takbur

Jika diintai laman Instagram milik Syarini, penyanyi jelita itu cukup terkenal dengan gaya sosialit dan sering berbelanja mewah serta bercuti ke luar negara.

Mempamerkan kemewahannya di Instagram persis selebriti popular Hollywood, Kim Kardashian, Syarini bagaimanapun pantas menepis pandangan negatif mengatakan dirinya cuba menunjuk-nunjuk.

Baginya, peminat masa kini lebih bijak dalam membuat penilaian malah tahu membezakan gaya Syarini antara kehidupan sosial mahupun kerjaya seninya.

“Sebagai seorang Muslim saya tidak pernah berniat untuk menunjuk-nunjuk apatah lagi berbangga dengan rezeki yang ada,”katanya dalam nada manja.

Sementara itu, sempena kehadiran tahun 2017, bintang berusia 34 tahun itu berharap dipertemukan jodoh, sekali gus dapat menamatkan zaman bujang.

“Mohon doakan yang terbaik pada tahun 2017 agar saya dipertemukan jodoh dengan lelaki yang baik,” ujar Syarini atau nama lengkapnya Rini Fatimah Jaelani.

Dalam perkembangan lain, Syarini kini sedang sibuk menjalani sesi rakaman album terbaharunya di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Difahamkan album kelima Syarini itu bakal mengandungi sekitar lapan buah lagu. Ia juga mendapat sentuhan komposer antarabangsa.

Post a Comment

Previous Post Next Post