Ayu Raudhah idam anak perempuan


AYU RAUDHAH sekali lagi berehat daripada dunia seni sehinggalah selepas melahirkan anak ketiga kelak.

Berkongsi berita gembira tentang kehamilan anak ketiga kepada peminat melalui akaun Instagram miliknya beberapa hari lepas, aktres jelita, Ayu Raudhah ketika dihubungi Kosmo! semalam kedengaran sangat teruja.

Ayu atau nama sebenarnya, Raudhah Che Wan @ Abu Bakar, 32, berkata, usia kandungannya kini mencecah tiga bulan. Akui dramatis yang cukup dikenali menerusi drama rantaian Manjalara itu, dia mengalami alahan yang amat teruk berbanding dua kehamilan terdahulu.

Lima tahun melayari bahtera perkahwinan dengan bekas pemain kelab bola sepak JDT, Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak, Ayu mendedahkan, dia berharap dikurniakan anak perempuan selepas dua anak lelaki iaitu Muhammad Aisy Qaiser, 3, dan Muhammad Aisy Aryann, 2.

KOSMO!: Tahniah kerana hamil anak ketiga. Boleh kongsikan kegembiraan tersebut?

AYU RAUDHAH: Alhamdulillah. Terima kasih sangat-sangat. Saya sekarang hamil tiga bulan. Sebenarnya, saya sudah tahu tentang kehamilan ini dua bulan lepas. Bagaimanapun, baru beberapa hari lepas saya terdetik untuk berkongsi perkara ini menerusi Instagram. Buat masa sekarang, saya memang banyak berehat di rumah kerana kehamilan kali ini membuatkan saya mudah penat berbanding dua kehamilan terdahulu.

Adakah anda mengalami sebarang alahan yang teruk?

Ya, memang kehamilan kali ini sangat menguji kekuatan saya. Saya hanya mampu duduk di rumah dan berehat sahaja. Setiap hari saya muntah-muntah dan pening. Apa yang kelakar, suami saya (Zaquan) turut muntah-muntah dan mengalami simptom alahan seperti saya (ketawa). Saya bersyukur kerana ketika saya tidak sihat, dia banyak menemani sehingga terpaksa ponteng latihan bola sepak.


DALAM fasa awal kehamilan anak ketiga, Ayu dan suaminya, Zaquan sama-sama berkongsi alahan teruk.

Anak pertama dan kedua jantinanya lelaki, bagaimana pula dengan jantina anak ketiga nanti?

Saya berharap sangat untuk dikurniakan anak perempuan memandangkan sudah mempunyai dua anak lelaki. Saya banyak berborak dengan suami mengenai keinginan untuk memperoleh anak perempuan dan nampaknya dia pun sama seperti saya.

Bagaimanapun, apa yang paling utama buat masa sekarang agar anak saya nanti dilahirkan dengan selamat dan sempurna. Insya-Allah.

Bagaimana pula dengan Qaiser dan Aryann. Adakah mereka sudah mengerti bahawa akan mendapat seorang adik tidak lama lagi?

Qaiser sudah semakin berdikari. Dia banyak mengalah dengan Aryann. Aryann pun sama. Mereka seperti faham bahawa ibu mereka sedang sarat mengandung dan perlukan rehat yang secukupnya. Jadi, mereka pun jarang buat hal.

Baiklah, bagaimana dengan kerjaya lakonan anda selepas ini?

Saya akan berehat sehinggalah selepas habis pantang nanti. Drama terakhir lakonan saya adalah Diari Cinta Kita. Memandangkan suami saya tidak lagi bermain untuk kelab JDT dan kini bermain untuk pasukan Perak, kami sekeluarga kini menetap di Ipoh, Perak.

Post a Comment

Previous Post Next Post