Kelangsungan karier Amy Mastura


BERTEMU penyanyi berusia 45 tahun itu terasa seperti sedang berbicara dengan wanita muda remaja.

Manakan tidak, dalam kematangan melontarkan kata-kata, dia pasti menyelit gelak tawa, sekali gus memecah kesunyian suasana temu bual di Studio Utusan sehingga menjadi gamat.

Ternyata penyanyi bernama Amy Mastura itu bukan sahaja dikurniakan wajah tidak dimamah usia tetapi memiliki personaliti menarik yang sentiasa ramah dan ceria.

Hadir sempena mempromosikan single baharu berjudul Kalimah, Amy memberitahu, lagu ciptaan Ardiv Jauhari itu adalah bagi memastikan kelangsungan karier seninya selepas single terakhir pada tahun 2015 berjudul Menari Ler.

“Single ini sudah dirakamkan dua tahun lalu bersama lagu Menari Ler. Begitupun, saya mengambil keputusan untuk mengeluarkan satu persatu lagu berkenaan supaya peminat menyedari kehadiran saya dalam industri.

“Biarpun tajuknya seperti keagamaan, namun Kalimah berkisar tentang seseorang yang kecewa dalam percintaan dan sukar untuk melupakan bekas kekasihnya,” terangnya mesra.

Pemegang watak utama filem Puteri Impian yang pernah popular sekitar tahun 1997 itu bukan sahaja ingin terus aktif dalam lapangan seni suara tetapi masih berpencak di pentas lakonan.

Kali terakhir, Amy muncul di depan khalayak ketika menjadi pelakon teater Zombie La La. Dia juga baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama rantaian terbitan Zeel Production.

“Saya baru sahaja tamat penggambaran drama yang berjudul Jejak Karmila bersama pelakon hebat seperti Fauziah Ahmad Daud, Mia Ahmad, Azri Iskandar dan Fauziah Nawi.

“Drama berkenaan dijangka akan ditayangkan dalam masa terdekat tetapi masih belum mengetahui tarikh siaran,” ujar Amy sambil melontar senyuman.

Menyentuh topik lebih serius, penyanyi yang memulakan karier seawal umur 22 tahun itu sengaja ditanya tentang fenomena ramai rakan seangkatannya kembali mencipta nama melalui program realiti.

Amy atau nama lengkapnya, Amy Mastura Suhaimi mengakui dia selesa dengan perjalanan kehidupannya hari ini tanpa percikan populariti.


Demi mengekalkan kelangsungan karier, Amy meletakkan strategi untuk tampil dengan sekurang-kurangnya satu single baharu dalam setahun.

Kongsi pelantun lagu Siapalah Aku itu, dia tidak mahu berdepan dengan sebarang tekanan jika menyertai program seperti itu.

“Sebagai contoh, program Gegar Vaganza yang baru selesai, kita dapat melihat peserta mengalami tekanan terhadap cabaran diberikan kepada mereka termasuk kritikan netizen.

“Justeru, buat masa ini saya tidak mahu memasuki pertandingan seperti itu sebab tidak mahu berada dalam tekanan. Kehidupan sekarang sudah cukup selesa, jadi tidak perlu mencari pasal lagi,” katanya sambil tertawa.

Begitupun, wanita itu turut meletakkan prinsip agar dirinya tidak terus berada dalam zon selesa. Dia perlu membiasakan diri dan muzik agar selari dalam arus serba moden.

“Walaupun saya memulakan kerjaya seawal tahun 1993, namun saya tidak boleh terus berada dalam gelung muzik seperti dahulu. Bagi saya, untuk mengekalkan kelestarian diri, saya perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa.

“Caranya adalah saya sentiasa menerima pendapat orang muda. Jika saya tidak tahu, saya akan bertanya kepada anak-anak. Secara tidak langsung saya akan terikut dengan peredaran zaman,” terangnya panjang lebar.


Amy pernah menyertai pertandingan Asia Bagus pada tahun 1993.

Keluarga

Beralih soal kehidupan peribadi, diam tidak diam sudah 16 tahun Amy melayari bahtera berumah tangga bersama belahan hatinya, Alvin Tham Suffian.

Melihat riak bahagia pada wajah wanita itu, Amy sengaja diusik soal resipi kebahagiaan dalam rumah tangga yang dikemudinya bersama suami.

Sambil tersenyum, kongsi Amy:

“Tuntutan kerja suami yang bekerja di pelantar minyak membuatkan saya banyak berdikari. Sebenarnya dalam hubungan, saya sering mengingatkan diri agar jangan terlalu berharap kepada suami.

“Apabila tidak berharap, maka masalah akan menjadi kurang. Kita akan lebih rasa dihargai jika pemberian suami itu datang tanpa kita mengharap apa-apa daripadanya.”

Bercakap tentang anak, pasangan sehati sejiwa itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Adriana Tham, 15, dan Adalia Tham, 11.

Teruja saat membicarakan soal dua buah hati kesayangannya, Amy berkata, dia sudah mula melihat minat anak-anaknya yang cenderung mengikut jejak langkahnya dalam dunia seni.

“Kedua-dua anak saya mempunyai minat yang berbeza, namun masih terarah dalam lapangan seni. Anak pertama, Adriana minat melakukan kerja di belakang tabir seperti memproses lagu. Pendek kata dia meminati muzik tetapi bukan menyanyi.

Adalia pula sering mengikut saya mengadakan persembahan nyanyian. Dia juga pernah berlakon drama sebanyak dua kali dan pernah berlakon dalam teater Zombie La La,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post