Afifah Nasir optimis perjudi bakat


Wanita muda itu tidak pernah memasang angan-angan untuk menyertai dunia glamor sebagaimana kakaknya, Anzalna Nasir. Bermula dengan suka-suka membantu kakaknya melariskan produk jualan di Instagram, ia menjadi titik tolak buat Afifah Nasir selesa bergelar pelakon.

MELIHAT gerak tubuhnya yang tidak ubah seperti Anzalna Nasir, pasti membuatkan banyak mata memandang keliru.

Hakikatnya, wanita itu merupakan adik kepada pelakon jelita, Anzalna yang bernama Nur Afifah Md. Nasir.

Tampil dengan nama pentas Afifah Nasir, dia mula bertatih dalam arena lakonan tanah air menerusi drama rantaiaan Aku Bukan Bimbo yang pernah ditayangkan sekitar bulan Mac lalu. Pelakon berusia 23 tahun itu mula dilimpahi rezeki selepas memegang watak Diana dalam drama berkenaan.

Manakan tidak, selepas Aku Bukan Bimbo, dia ditawarkan bergandingan bersama Fauzi Nawawi dan Kilafairy dalam telefilem Isteri-Isteriku.

Terbaharu, Afifah bakal tampil dalam drama terbitan Creative Skill Solution Sdn. Bhd. berjudul Pengantinku Jatuh Dari Langit (PJDL).

Biarpun, masih mentah dalam dunia lakonan, Afifah sudah diberi kepercayaan memegang watak utama sebagai gadis kampung bernama Rinieta. Ditemui semasa majlis pelancaran drama tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini, Afifah mesra membuka bicara menyelak kembali kisah awal semasa melangkah masuk ke dalam dunia lakonan.

“Saya bermula apabila kakak, Anzalna berkongsi video saya di Instagram miliknya. Video itu memaparkan saya sedang mempromosikan produk jualan kakak.

“Perkongsian itu telah menimbulkan minat pihak Global Station Sdn. Bhd. untuk melamar saya berlakon. Selepas hadir sesi uji bakat, mereka terus bersetuju untuk mengambil saya berlakon,” ujarnya.

Mengakui tidak pernah menyimpan angan-angan mengikut jejak langkah kakaknya, sambil tertawa dia memberitahu, mempunyai minat dalam bidang nyanyian tanpa sebarang rasa untuk bergelar anak seni.

Bagaimanapun, tatkala rezeki lakonan datang bergolek, dia lantas mengambil keputusan untuk fokus kepada karier seni yang semakin memberi kepuasan dalam dirinya.

“Sebenarnya, saya tidak mempunyai minat mendalam menceburkan diri dalam dunia seni. Malah, minat saya juga hanya kepada nyanyian secara suka-suka dan bukan lakonan.

“Bagaimanapun, rezeki lakonan pula yang datang terlebih dahulu. Saya tidak kisah dan akan memberi fokus sepenuhnya dalam bidang ini. Soal nyanyian itu nanti dululah,” katanya dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibir.

Dibayangi kakak

Membawa gelaran adik kepada Anzalna, sudah pasti Afifah tidak boleh lari jika peminat membandingkan mutu lakonan mereka berdua.

Tersenyum saat diasak soalan tersebut, Afifah mengakui tidak mempunyai masalah dengan perbandingan tersebut, tetapi ingin mencuba meningkatkan tahap lakonannya agar tidak dibayangi Anzalna.

“Sejujurnya, saya boleh menerima jika orang membandingkan lakonan saya dengan kakak. Memang dia kakak saya, jadi tiada sebab untuk saya tidak suka. Tidak dinafikan, jika di lokasi penggambaran, ada kru tersilap dan memanggil saya sebagai Anzalna.

“Saya tidak kisah, tetapi tetap berazam melakukan yang terbaik dalam lakonan agar memberi kelainan. Saya ingin peminat mengingati saya melalui bakat lakonan yang dibawakan,” terangnya.

Diusik soal kelebihan mempunyai kakak sebagai pelakon yang boleh berkongsi ilmu tentang selok-belok bidang lakonan, Afifah bagaimanapun berkata, dia bagaimanapun tidak banyak belajar daripada Anzalna, sebaliknya menajamkan kemahiran lakonan melalui keadaan sekeliling.

“Terus terang, saya tidak belajar daripada kakak, tetapi dia pernah berpesan apabila membawakan babak menangis, saya tidak perlu terlalu memikirkan bagaimana mimik muka saya, apa yang penting saya perlu menghayati babak tersebut.

“Saya juga tidak mengambil sebarang kelas lakonan. Saya hanya belajar melalui persekitaran semasa di lokasi. Bagi saya, setiap hari merupakan hari yang penting untuk mempelajari ilmu baharu,” terangnya panjang lebar.

Terbuka

Ramah berbicara, Afifah turut diajukan perihal peribadi. Tanpa berselindung, pemegang Ijazah Sarjana Muda Psikologi dan Komunikasi dari sebuah universiti di Australia itu memberitahu, hatinya kini sudah dimiliki.

Berkenalan sejak dua tahun lalu, kongsi Afifah, teman lelakinya sangat memahami kariernya sebagai anak seni. Malah, dia dan teman lelaki berhasrat untuk menamatkan zaman bujang dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Benar, saya sudah mempunyai kekasih. Saya memang tidak akan berselindung jika orang bertanya kerana tiada sebab untuk saya berbuat demikian.

“Alhamdulillah, sepanjang perkenalan, teman lelaki sangat memahami kerjaya saya. Kami juga merancang tidak mahu bercinta terlalu lama dan tidak menolak sekiranya sudah tiba masa untuk berkahwin,” kongsinya.

Ditanya adakah dia akan mengikut jejak kakaknya yang akan memperlahankan aktiviti seni setelah berkahwin nanti, Afifah mempunyai pegangan tersendiri.

“Saya berbeza dengan Anzalna. Bagi saya, biarpun selepas kahwin, saya tetap akan meneruskan kerjaya sekarang,” terangnya ringkas seraya menggulung bicara.

Drama PJDL ditayangkan bermula 30 November lalu pada pukul 9 malam di saluran HyppSensasi (HyppTV 116).

Selain Afifah, PJDL arahan Idora Abdul Rahman itu turut menampilkan lakonan Hafreez Adam, Azhar Sulaiman, Fahad Iman, Kismah Johar dan Azam Pitt.

Post a Comment

Previous Post Next Post