
BIARPUN sibuk menjadi pengacara, Jihan Muse mengakui kecintaannya terhadap dunia lakonan tinggi.
Atas faktor itu, selebriti berusia 33 tahun ini akan membabitkan diri dalam dunia lakonan untuk tempoh tiga bulan sekali.
“Asalnya, saya ialah pelakon teater.
“Jadi, sesibuk mana pun saya tetap berlakon,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, pengacara Gegar Vaganza 3 ini mengakui terpaksa bersikap selektif dalam menerima tawaran.
“Sebenarnya, apa-apa pun saya bergantung kepada jadual.
“Lagi pula, saya selalu menjadi pengacara untuk program yang panjang. Jadi, kalau dilihat pada jadual, saya hanya boleh buat telefilem.
“Insya-ALLAH, saya mahu berlakon drama bersiri tahun depan,” katanya.
Pelakon telefilem Salam Cinta Ustazah Husna ini juga hanya memberi sepenuh perhatian dalam setiap pekerjaannya.
“Saya suka buat satu kerja dalam satu masa supaya saya boleh fokus.
“Macam berlakon, saya tak suka main tangkap muat saja. Lagi-lagi, kalau watak itu berat, kena bersedia dari segi mental.
“Sebab itu, saya lebih suka ambil tawaran berlakon yang benar-benar mencabar kebolehan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Jihan bercadang mengambil cuti sehingga akhir tahun selepas tamat Gegar Vaganza 3.
Dalam perkembangan lain, Jihan bakal tampil menerusi telefilem istimewa, Oh My English!: Road to Jogja: Part 1.
“Saya sangat excited berlakon dalam drama ni. Lagipun, saya ni memang peminat setia Oh My English.
“Saya pegang tiga watak sekali gus benar-benar mencabar kredibiliti saya sebagai pelakon,” katanya.
Selain Jihan, drama dua bahagian itu menampilkan Elfira Loy, Randy Pangalila, Johan Raja Lawak, Mark Adam, Roax Tan, Mohd Zhafir Muzani dan Juzzthin.
Ia bakal disiarkan pada 3 Disember (Part 1) dan 11 Disember (Part 2) pada jam 9 malam di Astro TVIQ (saluran 610), Astro Prima (Saluran 105) dan Astro Maya HD (saluran 135).