A. Aida seru rumah produksi perlu rajin


A. AIDA gembira menjalani kehidupan tanpa kehadiran lelaki di sisi dan ingin menumpukan perhatian kepada anak-anak.

MINGGU lalu kecoh apabila terdapat beberapa penerbit dan pengarah tersohor tanah air menyuarakan pendapat menggesa stesen televisyen agar berlaku adil dalam pembahagian peluang menerbitkan drama.

Kebanyakan stesen televisyen kini dikatakan tidak mempedulikan karyawan senior dan hanya memberikan peluang menerbitkan drama kepada rumah produksi tertentu sahaja.

Berikutan itu, baru-baru ini sempena dengan majlis pelancaran Pendakwah Cilik di Menara Kuala Lumpur, Kosmo! berpeluang bertemu dengan pemilik rumah produksi A. Aida Production Sdn. Bhd., Datuk A. Aida untuk bertanyakan pendapat beliau mengenai isu ini.

KOSMO!: Apa pendapat Aida mengenai isu yang memperkatakan stesen televisyen kini hanya memberi peluang menerbitkan drama kepada rumah produksi tertentu sahaja?

A. Aida: Baiklah, saya ingin berkongsi sedikit pengalaman. Saya merupakan naib pengerusi kepada Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia. Apabila kami mengadakan perjumpaan bersama ahli, pasti ada yang bertanya apa saya lakukan sehingga drama terbitan rumah produksi dimiliki tidak putus-putus menjadi pilihan stesen televisyen.

Jawapan saya adalah tidak pernah berputus asa dalam menghantar kertas cadangan. Boleh dikatakan dalam sebulan, berpuluh kertas cadangan yang akan saya hantar kepada mereka. Jadi, apa yang boleh saya katakan sebagai penerbit, mereka haruslah rajin berusaha dan jangan cepat putus asa kerana saya juga menunggu selama lima tahun sebelum TV3 menerima karya saya.

Jadi, benarlah dakwaan yang mengatakan sesetengah drama terbitan rumah produksi itu telah memonopoli stesen televisyen?

Perkara itu memang tidak boleh dinafikan, cuma bagi saya stesen televisyen memang perlu adil. Bagaimanapun, sebagai pemilik rumah produksi dan penerbit, kita perlulah kerja kuat serta menghantar seberapa banyak kertas cadangan. Hal ini adalah kerana dalam 10 kertas cadangan yang kita hantar belum tentu satu daripadanya boleh diterima.

Sebagai pemilik rumah produksi, mungkin ada resipi yang anda gunakan untuk membuatkan drama terbitan dipilih dan kemudian menjadi pilihan penonton?

Resipi dan prinsip yang saya gunakan sangat mudah iaitu jangan berkira dengan pelakon. Tidak dinafikan, sesetengah rumah produksi memberikan bayaran tinggi kepada watak utama sahaja tetapi watak lain menggunakan pelakon tambahan.

Jika saya ingin menerbitkan drama, saya akan memastikan semua pelakon sama ada watak utama atau sampingan, mereka perlu terdiri daripada yang ternama.

Ia sekali gus akan memberi pakej tarikan tersendiri. Saya sentiasa meletakkan diri sebagai penonton yang ingin menonton pelakon cantik dan kacak di kaca televisyen.

Beralih ke arah kehidupan peribadi, selepas empat tahun hidup bersendirian, adakah anda pernah terfikir untuk berkahwin semula?

Sejujurnya, saya gembira dengan kehidupan sekarang tanpa kehadiran lelaki di sisi. Saya sudah penat dan tidak mahu memikirkan soal cinta. Biarlah segala kasih sayang yang ada dicurahkan kepada tiga anak saya.

Adakah gelaran yang anda sandang sekarang ini membuatkan lelaki takut untuk mendekati?

Tidak juga, tetapi pengalaman dahulu benar-benar buat saya trauma. Saya tidak kisah jika hidup begini selama-lamanya. Saya rasa cukuplah, dan kalau boleh saya tidak mahu lagi berkahwin. Kegagalan rumah tangga sebelum ini benar-benar menjadi penyuntik semangat untuk lebih berjaya dalam kerjaya dan kehidupan.

Post a Comment

Previous Post Next Post