Syamsul tidak serik berlakon babak aksi


KEADAAN Syamsul sewaktu mendapat rawatan di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur Isnin lalu.

BAGAI kata pepatah, malang tidak berbau. Begitulah perumpamaan sesuai buat pelakon dan pengarah popular, Syamsul Yusof yang mengalami patah bahu kiri sewaktu sesi penggambaran filem Makrifat Cinta.

Syamsul kemudian dibawa ke sebuah klinik di kawasan berhampiran sebelum mendapatkan rawatan susulan di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur pada sebelah malam hari yang sama.

Meskipun begitu, insiden yang berlaku di Putrajaya itu sama sekali tidak mematah semangat pelakon berusia 33 tahun tersebut untuk terus melakonkan babak aksi pada masa akan datang.

KOSMO!: Berdasarkan sebuah video yang dimuat naik ke laman Instagram menunjukkan Syamsul mengalami kecederaan di lokasi penggambaran. Bolehkah kongsikan mengenai insiden tersebut?

SYAMSUL: Ketika kejadian saya sedang menjalani penggambaran filem arahan Kamal G bertajuk Makrifat Cinta di Putrajaya. Sewaktu ingin melakonkan babak letupan, saya dan Nora Danish perlu melompat. Justeru, demi mengelak daripada terjatuh ke atas Nora dan terlalu mementingkan mutu lakonan, saya telah terjatuh di atas permukaan rumput.

Selepas kejadian tersebut berlaku, adakah anda mendapatkan rawatan doktor?

Saya kemudian dibawa oleh kru produksi ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, disebabkan berasa terlalu sakit pada sebelah malam hari yang sama, saya kemudian pergi ke Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur dan melakukan imbasan X-ray. Hasil keputusan X-ray mendapati bahu kiri saya retak dan patah.

Adakah insiden tersebut menjejaskan jadual penggambaran filem Makrifat Cinta?

Meskipun saya berada dalam keadaan sebegini, ia tidak mengganggu sesi penggambaran kerana kebetulan selepas babak letupan karakter yang dibawa oleh saya perlu memakai penganduh.

Selepas kejadian itu berlaku, adakah anda berasa serik untuk melakonkan babak aksi kelak?

Jika diikutkan, sebelum ini saya banyak melakonkan babak aksi tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi kali ini perkara yang tidak diduga berlaku.

Sejujurnya, sebagai anak seni kejadian sebegini tidak akan mematahkan semangat atau melahirkan perasaan takut untuk menjayakan babak aksi kelak.

Sewaktu menjayakan babak letupan tersebut, mengapakah tidak diletakkan pelapik bagi mengurangkan impak sebelum kalian berdua jatuh selepas melakukan aksi lompatan atau menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri?

Sejujurnya babak itu tidak memerlukan pelakon lagak ngeri kerana ia akan memakan kos selain terpaksa menggunakan kesan khas CGI pada bahagian muka. Justeru, saya mengambil keputusan untuk melakukannya sendiri. Mengenai pelapik, ia tidak diperlukan kerana akan menjejaskan kualiti sudut kamera.

Bagaimanakah reaksi isteri (Puteri Sarah Liyana) anda apabila menerima berita kejadian tersebut?

Dia berasa agak terkejut dan banyak menasihatkan saya agar berehat serta mengutamakan keselamatan diri berbanding perkara lain. Selain itu, saya turut memberitahu agar jangan terlalu runsing kerana dia kini sedang hamil lima bulan. Saya juga berasa sedikit ralat kerana seharusnya sebagai suami, saya perlu menjaga isteri tetapi sekarang sebaliknya pula berlaku.

Beralih kepada kisah peribadi, bolehkah anda kongsikan mengenai persiapan bakal bergelar bapa kelak?

Kami tidak membuat sebarang persiapan bayi kerana berpendapat masih terlalu awal. Hal itu kerana saya tidak ingin berasa terlalu gembira atau gopoh membuat persiapan kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku. Mungkin kami akan membuat persiapan sewaktu kandungan mencecah usia enam bulan ke atas, baru mula beli kelengkapan bayi.

Post a Comment

Previous Post Next Post