
Kontroversi hak cipta lagu banyak mematangkan Syamel sebagai penyanyi.
Ketika peminat menjunjung harapan tinggi agar lagu Hidup Dalam Mati berjaya lolos ke Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31), pelantun dan pencipta lagu tersebut, Syamel harus akur apabila terpaksa menarik diri daripada bertanding pada peringkat separuh akhir Muzik Muzik minggu lalu berikutan terjebak polemik isu plagiat. Dia dituduh menciplak melodi asal lagu ciptaan Ayai Ilusi berjudul Ku Kejar Bayangmu.
Tidak mahu lagi memanjangkan isu tersebut, Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd. Fodzly, 24, reda dengan hakikat bahawa bukan rezeki dirinya untuk membawa lagu tersebut bertanding pada Separuh Akhir Muzik Muzik 31, sekali gus merebut tempat ke AJL31.
Sebagai pendatang baharu dalam cabang muzik tanah air, Syamel yang kini mempopularkan single terbaharu Lebih Sempurna percaya, ada peluang lebih cerah buatnya pada masa depan.
Walaupun kontroversi terbabit sedikit sebanyak memberi warna suram terhadap kerjaya nyanyian dan pencipta lagu, Syamel tidak patah semangat, sebaliknya berjanji mahu terus melahirkan karya yang lebih baik.
Dihubungi Kosmo! baru-baru ini, naib juara program realiti Akademi Fantasia 2015 (AF2015) itu memohon kemaafan terutama kepada peminat yang kecewa dengan penarikan dirinya daripada pertandingan tersebut disebabkan isu hak cipta yang menjadi pertikaian ramai.
Kosmo!: Pastinya, anda sedia maklum bahawa ramai peminat terkejut dan kecewa apabila lagu Hidup Dalam Mati menarik diri pada saat akhir pada Separuh Akhir Muzik Muzik. Apa komen anda?
Syamel: Sebenarnya, saya tidak mahu memanjangkan isu ini kerana ia telah diserahkan kepada penerbit lagu Hidup Dalam Mati iaitu DD Music dan pihak Ayai sendiri (Luncai Emas Sdn. Bhd.). Saya sendiri kecewa kerana terpaksa mengecewakan harapan ramai peminat. Sebagai orang baharu dalam industri, apa yang telah berlaku ini menjadi suatu pengajaran besar buat diri saya. Orang nak cakap apa, itu di luar bidang kuasa saya.
Disebabkan kontroversi ciplak, ramai dalam kalangan peminat khususnya di laman sosial menyalahkan Ayai yang seperti menidakkan rezeki anda melalui lagu tersebut. Apa pendapat anda?
Saya tidak mahu komen tentang hal itu kerana selepas lagu tersebut ditarik penyertaannya daripada Separuh Akhir Muzik Muzik, ia sudah selesai. Kalau orang ingin menyalahkan Ayai sebagai penyebab lagu tersebut gagal bertanding, saya rasa ia tidak adil.
Saya hormati Ayai sebagai penyanyi senior. Bagi tidak merumitkan keadaan, lebih baik isu ini tidak dibahaskan lagi untuk kebaikan kedua-dua belah pihak.
Adakah isu tersebut memberi kesan kepada anda untuk terus mencipta dan menulis lagu selepas ini?
Saya akan terus mencipta lagu dan menulis lirik. Seperti yang saya katakan tadi, isu ini menjadi pengajaran paling bermakna buat saya. Ia tidak akan menghentikan langkah saya sebagai anak seni.
Perjalanan saya masih jauh dan saya tidak akan berputus asa. Bagaimanapun, saya minta maaf kepada peminat yang meletakkan harapan besar kepada lagu ini untuk bertanding dalam Muzik Muzik dan melayakkan diri pada AJL31. Bukan rezeki saya kali ini. Insya-Allah, ada rezeki untuk saya pada lain hari.
Selepas ini anda akan lebih berhati-hati agar perkara sebegitu tidak akan berulang lagi?
Saya akui, sewaktu mula-mula keluar AF2015, memang tidak tahu apa-apa. Banyak yang telah saya belajar. Isu seperti ini membuat saya semakin matang untuk terus bergelar penyanyi. Semestinya saya akan lebih berhati-hati, malah tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana komposer untuk projek seterusnya.
Tidakkah anda khuatir disebabkan isu ini, akan ada pihak melabelkan anda sebagai penyanyi yang suka menciplak lagu?
Saya tiada kuasa untuk menutup mulut orang. Biarlah orang ingin kata apa, yang penting isu tersebut telah selesai. Saya akan meneruskan perjalanan seni sebagai penyanyi dan pencipta lagu. Saya yakin ramai peminat yang akan terus memberi sokongan. Insya-Allah.