Manifestasi kredibiliti Ayda Jebat


DONGENG FANTASI Mengakui dirinya sebagai seorang peminat setia filem Disney saat usia kanak-kanak, Ayda amat meminati karakter Cinderella.

SEbuah kembara telah menemukan seorang gadis dengan misteri yang selama ini menyelubungi Pulau Motunui. Dia rela meninggalkan keluarga tercinta dan berani berdepan dunia baharu yang selama ini tidak pernah terbayang dalam mindanya. Semangat dan ketaatan gadis bernama Moana itu secara tidak langsung meresapi Ayda Jebat.

Biarpun kelana mereka jauh berbeza tetapi kehidupan fantasi Moana itulah yang memberi aspirasi buatnya sepanjang merealisasikan Bawaku Berkelana ke tahap terbaik. Istimewanya, ia merupakan runut bunyi bagi filem terbitan Walt Disney Studios Motion Pictures bertajuk Moana.

Tidak menduga berpeluang menjadi sebahagian daripada fantasi Disney, Ayda merasakan ia sebagai satu anugerah terindah, sementelah dia juga merupakan salah seorang pengikut dongeng Walt Disney sejak kecil.

Berkongsi pengalaman menjayakan lagu Bawaku Berkelana, penyanyi berusia 24 tahun itu mengakui berdepan kesukaran saat ingin merakamkan lagu tersebut.

Peluang bekerja dengan tenaga kerja luar negara juga secara tidak langsung membuka ruang buat Ayda menembusi pasaran antarabangsa. Tambahan, lagu tersebut turut dinyanyikan oleh empat lagi penyanyi lain dari Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Menurut Ayda, demi menjaga nilai eksklusif lagu tersebut, dia tidak dibenarkan untuk mendengar melodi mahupun menghafal lirik sebelum sesi rakaman berlangsung.

Justeru, perkara tersebut menjadi tekanan buat pelantun lagu Pencuri Hati itu sehingga dia perlu mengambil masa sekitar tiga jam bagi mendapatkan momentum untuk menyampaikan Bawaku Berkelana bagi menyamai standard seperti nyanyian asal yang dinyanyikan oleh Alessia Cara bertajuk How Far I’ll Go.

Sejak dimuat naik ke dalam YouTube pada 3 November lalu, video How Far I’ll Go telah mendapat hampir 1.1 juta tontonan.

“Demi mendapatkan hasil memuaskan, saya perlu merakam baris yang sama berulang kali dan perkara tersebut secara tidak langsung memberi sedikit tekanan.

“Tidak hanya merakam lagu, saya juga perlu berlakon menunjukkan reaksi kerana rakaman video klip lagu tersebut turut dibuat pada hari yang sama,” jelas Ayda saat memulakan bicara mengenai filem Moana.

Tidak berselindung, Ayda turut memberitahu, pada bahagian akhir lagu, dia perlu menyanyikan rangkap sama sebanyak lima kali demi mendapatkan hasil yang dikehendaki.

Meskipun perih saat merakamkan lagu tersebut, Ayda berasa bangga melihat usaha kerasnya mendapat sambutan positif peminat. Tambahan, ia juga merupakan pengalaman pertama bekerjasama dengan produksi antarabangsa berkenaan.

Mahu menyimpan kemas setiap perincian kerjasama tersebut ke dalam kotak kenangan, bibir Ayda meneruskan bicara tentang pengalaman dan usaha kerasnya menjayakan lagu tema filem terbaharu Disney tersebut.

“Lagu ini turut secara tidak langsung mencabar kekuatan vokal saya terutama saat ingin menyanyikan bahagian yang bernada tinggi iaitu pada bahagian pengakhiran.

“Tambahan, ia merupakan single pertama saya yang berentak balada dan mungkin ini merupakan eksperimentasi awal untuk mendendangkan lagu genre sebegitu pada masa hadapan kelak,” tuturnya sambil melepaskan senyuman seraya menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi.

Membetulkan tempat duduk sambil menyelak rambutnya ke belakang, Ayda menyambung cerita. Dia menaruh harapan agar penglibatannya dengan filem Moana dapat meluaskan pengaruhnya, sekali gus menarik peminat baharu daripada golongan cilik.

“Saat menerima peluang ini, saya tidak hanya memikirkan strategi untuk ke pasaran antarabangsa tetapi berharap ia dapat menarik perhatian kanak-kanak,” jelasnya yang tampak manis menggayakan busana berona tanah saat muncul pada majlis pelancaran filem Moana di Marina Bay Sands Convention Centre, Singapura minggu lalu.

Alih suara

Menyelak lembaran terdahulu saat menjayakan rakaman alih suara watak Tessa Yeagar lakonan Nicola Anne Peltz menerusi filem Transformers: Age of Extinction tahun lalu, Ayda menarik nafas dalam-dalam.

Pengalaman tersebut secara tidak langsung membekalkan bintang drama rantaian Awak Sangat Nakal itu sedikit pendedahan mengenai tugas alih suara.

“Ketika menjayakan alih suara bagi filem Transformers: Age of Extinction, saya terpaksa melakukan banyak pergerakan agar suara kedengaran sama dengan situasi pelakon.

“Ia agak sukar untuk dilakukan tetapi memberikan pengalaman yang menyeronokkan. Sekarang baru saya faham bahawa kerjaya pelakon alih suara bukan satu tugas mudah,” ujarnya seraya melepaskan ketawa kecil selain tidak sabar menantikan tarikh tayangan filem tersebut di Malaysia pada 1 Disember depan.

Pencuri Hati

Bersesuaian dengan judul popular, Pencuri Hati yang mengangkat nama di pentas muzik tanah air, ternyata banyak hati peminat industri hiburan tempatan juga telah berjaya dicuri penyanyi kecil molek itu.

Berjaya menempat diri dalam Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-31, populariti bagaimanapun masih belum cukup untuk melayakkan dirinya menempah tiket ke Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-31.

Tidak terpalit emosi kesal, Ayda reda bahawa setakat itu sahaja rezeki ditentukan buat lagu tersebut. Jauh sekali berasa iri hati, penyanyi bermata galak itu juga tidak menyimpan perasaan negatif melihat lagu daripada penyanyi lain yang memenangi hati juri.

Meskipun begitu, daripada nada suaranya, Ayda menahan sekelumit rasa terkilan apabila lagu Pencuri Hati dituduh tidak layak menyertai pertandingan tersebut kerana mirip dengan sebuah lagu K-Pop berjudul Talk Talk Talk nyanyian NS Yoon Ji.

"Tidak ada apa yang perlu dipertikaikan mengenai lagu tersebut. Bahkan kita seharusnya lebih positif dan terus menyokong, berbanding daripada cuba menjatuhkan orang lain hanya kerana merasakan sesuatu karya itu tidak layak,” tegasnya mempertahankan single signaturenya.

Seperti lirik lagunya,‘Segala yang ada pada dirimu, membuatkan aku jatuh cinta’. Ayda berserah kepada takdir. Dia juga tidak menjadikan masalah kesihatan pada malam separuh akhir baru-baru ini sebagai alasan mahupun punca persembahannya kurang memukau juri, sekali gus meleyapkan impian peminat untuk melihatnya beraksi di pentas AJL31 pada 22 Januari tahun depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post