Isu ciplak, syarikat rakaman perlu telus


Barisan artis yang dicalonkan ke AJL31 selepas Separuh Akhir Muzik Muzik di Plaza Alam Sentral Shah Alam, Jumaat lalu.

KETIKA lagu nyanyian Syamel, Hidup Dalam Mati terpilih untuk mara ke peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik ke-31, pelbagai isu mengenai pegangan hak cipta dan ketulenan karya tersebut mula diperkatakan.

Syamel yang sebelum ini memegang kredit penuh sebagai komposer dan penulis lirik didakwa menciplak melodi lagu Ku Kejar Bayangmu yang dicipta oleh vokalis kumpulan Ilusi, Ayai.

Biarpun pembahagian hak cipta telah diselesaikan beberapa bulan lalu, namun polemik yang menghimpit naib juara Akademi Fantasia 2015 itu semakin meruncing.

Pada minggu kedua Separuh Akhir Muzik Muzik ke-31 yang berlangsung di Plaza Alam Sentra, Shah Alam baru-baru ini, Syamel diumumkan menarik diri daripada program tersebut pada saat-saat akhir.

Keputusan mengejut tersebut secara tidak langsung telah memadamkan hasrat penyanyi itu mara merebut tempat buat pertama kali di pentas Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) pada tahun hadapan.

Selain itu lagu nyanyian Ayda Jebat, Pencuri Hati yang gagal ke peringkat akhir turut terjebak masalah hak cipta kerana menggunakan khidmat komposer dari Indonesia.

Mengulas mengenai kontroversi yang melanda kebanyakan lagu pada tahun ini, Penerbit Eksekutif Muzik Muzik, Nurhul Huda Khalid berkata, ketelusan sewaktu proses pencalonan perlu lebih diperhalusi agar karya-karya yang terpilih ke peringkat separuh akhir selari dengan piawaian yang telah ditetapkan.

Katanya, bagi mengelakkan sebarang isu berbangkit, syarikat rakaman dinasihatkan supaya lebih jujur sewaktu menghantar karya-karya yang ingin dipertandingkan dalam program Muzik Muzik pada masa akan datang.

“Memandangkan terlalu banyak lagu dihasilkan saban hari, kami tidak berupaya untuk memeriksa ketulenan karya yang dihantar secara terperinci.

“Justeru, saya berharap syarikat rakaman berlaku jujur dan lebih peka terhadap keaslian sesebuah lagu sebelum menghantar sebarang karya untuk dipertandingkan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pengunduran Syamel pada saat-saat akhir, Huda berkata, pihaknya menerima surat penarikan diri daripada DD Music iaitu syarikat penerbitan yang bertanggungjawab menerbitkan lagu Hidup Dalam Mati beberapa hari sebelum minggu kedua separuh akhir berlangsung.

Tambah Huda, pihak Muzik Muzik tidak mempunyai masalah dengan pengunduran tersebut dan menghormati keputusan yang dibuat oleh DD Music.

“Kami tidak mempunyai sebarang masalah apabila menerima surat tersebut.

“Bagi mengelakkan sebarang salah faham, kami akur dengan permintaan DD Music untuk menarik diri,” katanya yang tidak memanggil calon gantian kerana mengambil kira masalah kesuntukan masa dan kesediaan penyanyi yang terlibat.

Dalam pada itu, ketua juri untuk malam tersebut, Datuk Ramli MS berkata, lagu yang dihasilkan dengan menciplak karya orang lain seharusnya tidak layak dipertandingkan.

“Lagu ciplak tidak layak dipertandingkan. Sesebuah karya itu tidak lagi berkualiti jika ada beberapa bahagiannya mirip dengan karya komposer lain,” katanya yang turut dibantu AG Coco, Habsah Hassan, Yasin Sulaiman, Azlan Abu Hassan, Edrie Hashim, Johan Nawawi dan Azlan Typewriter sepanjang proses penjurian.

Lagu-yang layak bertanding pada AJL31 termasuklah Lelaki Teragung (Dayang Nurfaizah), Terakhir (Sufian Suhaimi), Sudah Ku Tahu (Projector Band), Terimaku Seadanya (Misha Omar & Hafiz Suip) dan Ku Rela Dibenci (Aiman Tino).

Turut bersaing ialah Di Amaran Mama (Hazama), Obses (Akim & The Majistret), Setia (Elizabeth Tan & Awi Rafael), Kalah Dalam Menang (Mawi & Syamsul Yusof), Hang Pi Mana (Khalifah) dan Anugerah Terindah (Black).

Post a Comment

Previous Post Next Post