Sakit tidak halang Ezad Lazim terus aktif


Ezad Lazim yang menghidap masalah usus sejak Jun lalu kini mengalami penyusutan badan yang ketara. Dia kehilangan 12 kilogram daripada berat badan asalnya.

Sejak akhir-akhir ini, keadaan kesihatan vokalis kumpulan Exists, Ezad Lazim berada pada tahap membimbangkan sehingga terpaksa keluar masuk hospital demi merawat penyakitnya secara kerap.

Penyanyi itu menghidap penyakit usus yang masih memerlukan rawatan sejak beberapa bulan lalu. Dia yang kini menanti keputusan sama ada lagu dendangannya, Demi Cinta layak atau tidak bertanding pada Anugerah Juara Lagu 31 (AJL31), bagaimanapun mengakui keadaan kesihatannya semakin menunjukkan tanda positif.

Biarpun begitu, Ezad yang kelihatan semakin kurus dan cengkung tetap mencuba pelbagai kaedah rawatan, termasuk mendapatkan rawatan secara perubatan Islam bagi memulihkan semangatnya.

Kosmo!: Bagaimanakah dengan keadaan kesihatan Ezad sekarang?

Ezad Lazim: Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya kini bertambah baik. Walaupun tidak sepenuhnya baik tapi 80 peratus kesihatan saya sudah pulih. Doktor sahkan saya menghidapi penyakit refluks gastroesofageal (GERD) atau penyakit berkaitan usus. Disebabkan penyakit itu, ia membuatkan emosi saya jadi tidak stabil kerana tertekan. Alhamdulillah, selepas mendapatkan rawatan perubatan Islam untuk memulihkan semangat, saya kini bertambah baik. Kalau sebelum ini saya sering kali mengalami gejala muntah-muntah, kini ia sudah berkurang.

Bagaimanapun, saya perlu mengawal pemakanan dan tidak boleh makan dengan kuantiti banyak dalam satu-satu masa. Makanan pedas pun saya tidak boleh makan kerana akan muntah dan perut akan sakit.

Apakah saranan doktor untuk anda kembali pulih sepenuhnya?

Saya perlu berdiet. Saya perlu makan mengikut masa dan tidak boleh membiarkan perut kosong serta tidak boleh makan terlalu banyak atau terlalu sedikit. Sebenarnya, penyakit ini menjadi semakin teruk ketika saya mendapatkan rawatan sinus tempoh hari. Saya diberikan ubat steroid yang saya rasa tidak bersesuaian dengan kondisi badan saya. Bagaimanapun, saya mohon orang ramai supaya mendoakan kesihatan saya kembali pulih sepenuhnya.

Disebabkan penyakit tersebut, adakah ia memberi kesan terhadap nyanyian anda?

Seperti yang anda lihat sekarang, berat badan saya semakin menurun. Dulu berat saya 65 kilogram (kg) sebelum sakit tetapi kini turun kepada 53kg. Dari segi nyanyian, tidak ada masalah. Namun, kadang-kadang saya akui sukar untuk bercakap dengan baik kerana selain penyakit GERD, penyakit sinus saya juga memberi kesan terhadap tahap kesihatan saya.

Beralih tentang perkembangan seni. Anda terpilih untuk bertanding pada separuh akhir Muzik-Muzik sejak kali terakhir bertanding ketika bersama Exists. Kini terlibat secara solo, bagaimana anda melihat persaingan dalam pertandingan ini?

Alhamdulillah, saya sendiri terkejut lagu ini berjaya mara ke peringkat separuh akhir dan kini sedang menanti adakah ia layak bertanding pada pentas final AJL31 pada Januari tahun hadapan. Kalau dulu saya bertanding pada Muzik Muzik atau pentas AJL bersama Exists, kini saya bertanding secara solo. Akhirnya, percubaan saya untuk bergerak solo mendapat sambutan menggalakkan.

Walaupun keadaan kesihatan tidak berapa mengizinkan, anda tetap bersemangat untuk menyanyi, mengapa?

Saya akan terus menyanyi selagi saya punya kudrat untuk berbuat demikian. Buat masa sekarang, saya masih larat untuk menyanyi. Dalam pada itu, pembedahan untuk merawat masalah sinus yang sudah lama saya hidapi terpaksa ditangguhkan pada suatu masa yang akan diberitahu nanti.

Post a Comment

Previous Post Next Post