Separuh jiwa Jalalluddin Hassan pergi


Jalalluddin Hassan bersama Allahyarham isterinya, Hashimah. Gambar kenangan ini dirakamkan pada tahun 2014.

Berat juga jari-jemari Mizz Lahar ingin mengetuk papan kekunci untuk mencuit sedikit kisah pemergian isteri tercinta aktor hebat, Datuk Jalaluddin Hassan, Datin Hashimah Hassan. Bagaimanapun, Mizz Lahar gagahkan juga kerana mahu menukilkan sedikit salam takziah buat Jalal dan seluruh ahli keluarganya.

Apa yang Mizz Lahar mahu sentuh adalah tentang bagaimana agaknya Jalal akan menjalani kehidupannya selepas beberapa hari separuh daripada belahan jiwanya pergi. Iyalah, dalam kalangan rakan media, bukan lagi rahsia bagaimana Jalal begitu menyayangi dan berasa bangga mempunyai isteri yang begitu setia dan bertanggungjawab seperti Hashimah. Beliau juga tidak pernah segan-silu menzahirkan kasih sayangnya dengan sikap romantik dan prihatin terhadap wanita yang telah dinikahinya sejak tahun 1970-an itu lagi.

Jadi, apabila wanita yang menjadi teman susah senang dan pengubat duka laranya pulang menghadap Ilahi pada 5 November lalu akibat komplikasi pembedahan jantung, tentulah Jalal akan terasa seperti patah sebelah sayapnya. Tapi Mizz Lahar percaya, Jalal kuat dan menerima ketentuan Allah dengan tenang. Mizz Lahar juga percaya, Jalal dan lapan anaknya serta 14 cucu akan sentiasa mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat.

Buat Jalal, teruslah tersenyum dan menghiburkan peminat anda, walaupun jiwa anda barangkali sudah tidak boleh diisi dengan ketulusan cinta seorang wanita, biarpun ia kini kosong.

Post a Comment

Previous Post Next Post