
DEMI menjaga mutu suara, penyanyi, Ziana Zain mengakui tidak mengambil minuman berais.
Selebriti berusia 48 tahun ini berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah untuk lebih berhati-hati dalam aspek penjagaan kesihatan dan vokal.
"Sejak dahulu, saya memang elakkan ais kerana ingin menjaga kesihatan dan vokal terutamanya ketika hendak melakukan persembahan.
"Kalau terlampau haus, saya akan membuang ais dalam minuman dan hanya akan minum airnya," katanya ketika ditemui selepas sidang media Konsert High Note 2016, baru-baru ini.
Pada masa sama, pemilik nama penuh Siti Roziana Zain ini juga mengakui kualiti vokal turut mengalami perubahan sejajar dengan peningkatan usianya.
Oleh itu, pelantun lagu Putus Terpaksa ini berharap agar peminat tidak meletakkan harapan tinggi ke atas kualiti vokalnya seperti mana zaman kegemilangannya 20 tahun lalu.
"Masih ada yang merasakan vokal saya seperti dahulu selain mampu menyanyi dengan nada tinggi macam zaman anak dara.
"Hakikatnya, kini, saya hanya menyanyi mengikut keselesaan dan bersesuaian dengan tahap usia saya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ziana bakal bergandingan dengan dua penyanyi bersuara lantang iaitu Jaclyn Victor dan Azlan Typewritter menerusi Konsert High Note 2016.
Teruja dengan kolaborasi tersebut, pelantun lagu Anggapanmu ini turut berharap agar konsert itu dapat mengubati kerinduan peminat yang menantikan persembahan berskala besar.
"Insya-ALLAH, konsert itu akan berlangsung selama dua jam. Saya akan menyampaikan 10 lagu selain bakal menampilkan beberapa kejutan istimewa.
"Jujur, saya merindui untuk membuat persembahan dalam skala besar seperti ini.
"Tetapi, di dalam konsert ini, kita bergerak sebagai satu pasukan dan semuanya mempunyai kelebihan masing-masing,” katanya.
Konsert High Note 2016 yang mendapat sentuhan daripada pengarah muzik, Rudi Mohammad turut melakukan penggubahan semula lagu yang bakal dipersembahkan.
Tiket untuk menyaksikan konsert berkenaan dijual pada harga serendah RM142 sehingga RM506 manakala tempahan boleh dibuat menerusi www.ticketpro.com.my.