Nazrey Johani Terharu masih ada yang ingat


Nazrey Johani

BIARPUN tidak lagi bersama kumpulan nasyid Raihan, namun bekas vokalis utamanya, Nazrey Johani tetap terharu apabila dirinya masih kekal diingati pencinta muzik dakwah tanah air.

Ia terbukti apabila undangan persembahan nasyid tetap ada, meskipun Nazrey kini menetap di Sabah.

“Undangan persembahan itu tetap ada. Jujur, saya membayangkan diri ini makin dilupai kerana dunia seni kita kini muncul ramai penyanyi baharu.

"Namun undangan itu membuktikan bahawa saya masih diingati.

Syukur Alhamdulillah,” ujar Nazrey yang merancang keluar dengan single terbaru untuk terus kekal relevan dalam industri muzik nasyid kontemporari tempatan.

“Beberapa lagu sudah pun siap, cuma belum sempurna. Saya tidak mahu terkejar-kejar mengeluarkan album atau single kerana mementingkan kualiti.

Nazrey sebelum ini pernah mengeluarkan album dan lagu zikir.

“Kali terakhir saya membuat persembahan bersama Raihan adalah pada 2005 lalu di Kanada. Ramai minta kami kembali bersama untuk membuat persembahan. Cuma masa masih tidak mengizinkan,” sambung Nazrey yang mengakui rindu untuk kembali membuat persembahan bersama kumpulan yang menjadi antara perintis kepada fenomena muzik nasyid di Malaysia.

Ditanya mengenai kehidupannya sekarang, selain memenuhi undangan, Nazrey kekal aktif dalam aktiviti kebajikan sekolah Tahfiz di Ranau Sabah.

“Biar ada cabarannya yang tersendiri, namun saya pasti ALLAH SWT itu akan membantu kita dan itulah yang menjadi kekuatan saya dan pekerja. Setakat ini, saya tidak pernah ada istilah putus asa atas apa yang saya lakukan.

“Niat saya hanyalah satu iaitu untuk menyebar dan memberi pendedahan yang lebih besar terhadap agama Islam,” impinya lagi.



Post a Comment

Previous Post Next Post