Ramai pihak bimbang apabila peminat Elly Mazlein bertindak di luar batasan menghentam dan mengkritik sesiapa saja yang mempertahankan tindakan juri tetap program Gegar Vaganza musim ketiga (GV3), Datuk Ramli MS seperti yang berlaku kepada seniwati Fauziah Ahmad Daud (Ogy).
Turut menjadi mangsa, isteri Ramli, penyanyi Datin Noor Hasliah Abu Hasan atau Aliyah menerima kecaman sehingga dia membuat keputusan membuat laporan polis bagi memastikan keselamatannya terjamin, andai ada antara mereka membuat ugutan atau bertindak di luar batasan.
Dalam hal ini, Intan Sarafina mungkin turut menjadi mangsa apabila Ogy ‘memetik’ namanya dengan memuji kreadibiliti Intan kerana memberi persembahan konsisten setiap minggu.
Tambah pula, sebaik peserta GV3 diumumkan, Intan dikecam rakan artis lain kerana didakwa menjadi punca nama seorang lagi penyanyi yang dikatakan dipilih awal pihak produksi digugurkan.
Sewaktu dihubungi bagi mendapatkan pandangannya mengenai perkara ini, Intan akui terharu dan gembira apabila ada pihak nampak usaha yang dilakukannya.
Katanya, tidak sangka ada juga yang menghargai apa yang cuba diberikan lebih-lebih lagi pandangan datang daripada orang sangat berpengalaman dalam dunia seni.
“Saya bersyukur kerana kerja keras saya membuahkan hasil,” katanya.
Mengenai kemungkinan ada menyalah tafsir dengan berpendapat Ogy cuba membuat perbandingan antara dia dan Elly, tegas Intan setiap penonton berhak memberi pendapat dan komen.
Katanya, kalau itu pandangan mengenai persembahan dia dan Elly pula sebaliknya, Intan berharap mereka menghormati pandangan diberikan.
“Hendak diikutkan, baru sekarang orang nampak apa yang cuba saya lakukan sedangkan pada minggu awal persembahan GV3, pelbagai kritikan saya terima. Mereka kata saya tidak bagus dan menyanyi macam kayu.
“Bukan itu saja, pada minggu awal persembahan ada yang kata saya sepatutnya disingkirkan. Mendengarkan kritikan seperti itu memang sakit tapi saya telan semuanya,” katanya.
Intan berkata segala kritikan dan kecaman itu membuat dia lebih bersedia.
“Saya tahu ramai orang bercakap di belakang saya tetapi sekiranya saya terlalu memikirkan apa yang mereka kata, ia akan mempengaruhi tumpuan saya.
“Sebaliknya saya tumpukan kepada orang yang memberikan kata-kata semangat untuk saya terus memberi persembahan terbaik setiap minggu. Kalau ada kritikan membina, saya gunakan untuk memperbaiki corak nyanyian,” katanya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Duhai Malam itu menggunakan kritikan dan kecaman sebagai pembakar semangat untuk membuktikan dia layak berada di pentas GV3.
“Saya dipilih kerana rezeki yang sudah tertulis. Saya tidak menyertai program ini berdasarkan tuah sebaliknya gunakan peluang itu dengan menunjukkan kebolehan yang saya ada.
“Selama ini orang ramai tidak tahu dan memandang rendah dengan mendakwa saya tidak boleh menyanyi dengan baik. Saya cuba buktikan kepada mereka,” katanya.
Mengenai komen mengatakan dia tidak punya perasaan dan jarang menunjukkan emosi kepada umum, Intan menegaskan setiap manusia punya emosi dan sudah tentu dia sedih dan sebak apabila membaca komen ‘pembenci’.
Bagaimanapun katanya, dia sering meletakkan dalam fikirannya bahawa dalam hidup pasti ada orang suka dengan apa yang dilakukan dan ada yang tidak.
“Itu normal. Walaupun pada peringkat awal ada yang merendah-rendahkan kemampuan dan bakat saya, selepas minggu keempat orang yang tidak suka itu saya lihat kini mula bertukar fikiran.
“Mereka mengakui kemampuan saya. Alhamdulillah saya bersyukur dengan perkembangan itu,” katanya.
Sebagai persediaan menyertai GV3, Intan mengikuti kelas vokal bersama Shafi dan lakonan bersama Fauziah Nawi.
Katanya, pengalaman menyertai program realiti One In A Million yang pernah disiarkan 8TV sebelum ini juga banyak mengajarnya mengenai pendedahan program realiti.
“Ada antara penyokong peserta bermusuh dan memburuk-burukkan penyanyi lain. Artis yang terkeluar bergaduh dan peminat ‘berperang’ sesama sendiri. Ia bagaikan sudah menjadi satu budaya.
“Sebagai penyanyi yang bertanding, saya cuba memberikan yang terbaik dengan harapan penonton akan terhibur,” katanya.
Mendapat lagu Jika Kau Rasa Getarnya nyanyian asal kumpulan Slam untuk persembahan malam ini, Intan turut bersimpati dengan apa yang berlaku kepada Elly Mazlein.
Katanya, dia sempat memujuk penyanyi dan pelakon itu di belakang pentas supaya bersabar dan tidak membuat keputusan terburu-buru.
“Bagaimanapun, Elly sudah bulat hati dengan keputusan dibuat untuk menarik diri sebelum keputusan diumumkan,” katanya.