Sissy Iman Jatuh cinta dengan Anuar Zain


Lagunya lebih dulu dikenali dan diterima kerana menjadi runut bunyi drama. Bagaimanapun, Sissy Iman, 21, tidak pernah terkilan dengan keadaan itu. Dia selesa bergerak perlahan agar dapat mengorak langkah supaya tidak terpalit dengan kontroversi.

Mula dikenali melalui lagu Entah Apa Rasa, kini Mungkin Kamu yang menjadi lagu tema drama Eksperiman Cinta mengukuhkan lagi namanya.

Berkongsi penyanyi idolanya, Sissy amat meminati penyanyi terkenal, Anuar Zain. Sejak kecil lagi dia meminati figura yang mempunyai suara gemersik itu.

Katanya, dia mula kenal dan ‘jatuh cinta’ dengan penyanyi itu ketika usianya tujuh tahun. Mungkin kerana ibu bapanya meminati Anuar membuatkan dia juga terikut dengan rentak mereka.

“Saya membesar dengan lagu nyanyian Anuar kerana ibu bapa saya meminati penyanyi itu. Setiap hari lagu yang berkumandang di rumah lagu penyanyi hebat itu.

“Mungkin pengaruh persekitaran membuatkan saya juga minat dengannya. Dalam simpanan kami ada album Anuar daripada yang pertama hinggalah yang terbaru.

“Semuanya original. Itu tanda sokongan saya dan keluarga kepada penyanyi yang kami minati itu,” katanya.

Kata Sissy, masih segar dalam ingatannya kali pertama bertemu dengan Anuar ketika usianya lapan tahun. Ketika itu dia dibawa keluarganya ke majlis pelancaran album Anuar di pusat beli-belah Sungei Wang, Kuala Lumpur.

“Saya juga antara peminatnya naik pentas untuk mendapatkan tanda tangan. Dalam keadaan agak sesak dengan peminat tetapi saya berjaya naik. Saya masih ingat lagi Anuar sempat mengusik bertanya sama ada saya ada teman lelaki di sekolah atau tidak.

“Sambil menurunkan tanda tangan, dia sempat cakap ‘cantiklah awak ni. Kat sekolah ada boyfriend tak?’ Walaupun hanya sekadar usikan dan saya masih kecil ketika itu, sehingga kini saya tidak dapat melupakan detik manis itu. Selepas bergelar anak seni, saya belum berkesempatan bertemu dengannya,” katanya.

Kini Sissy atau Sissy Imann Mohammad Kamil mengikut jejak Anuar jadi penyanyi dan dia sangat mengagumi bakat besar yang dimiliki Anuar. Bukan hanya pada suara, karakter penyanyi itu turut memberi inspirasi buat Sissy agar terus mempertahankan muzik yang dibawanya.

Sebagai penyanyi, Sissy akui menanam impian untuk berjaya seperti Anuar. Dia juga mahu berada pada tahap hanya mendengar lagu saja umum sudah tahu karya itu miliknya.

“Anuar ada satu ‘signature’ yang hanya dengan mendengar lagu dan suara pun kita sudah tahu itu dia. Saya juga memasang impian untuk menjadi seperti itu. Saya juga mahu berjaya seperti idola saya.

“Disebabkan terlalu minat dengan Anuar, saya meminta ayah menggunting rambut sama seperti Anuar. Saya juga memujuknya supaya tidak memotong rambut pendek. Walaupun wajah ayah saya jauh beza dengan Anuar, saya puas kerana ‘style’ rambut mereka sama,” katanya.

Sissy juga akui menyukai semua lagu Anuar, tiada satu pun lagu yang tidak disukainya. Semuanya memberikan rasa berbeza apabila mendengarnya.

“Setiap karya ada keistimewaannya. Berilah dia lagu apa pun, mungkin dengan genre berbeza tetapi asalkan dia yang nyanyi, saya akan tetap suka. Saya terlalu mengaguminya dan dia adalah idola saya dalam bidang muzik,” katanya.

Sebagai peminat Anuar, apabila ada netizen yang meninggalkan komen kurang menyenangkan di laman sosial, Sissy akui sangat geram dan marah.

Bagaimanapun, dia memahami kerjaya anak seni yang menjadi tatapan umum. Walaupun geram, Sissy tidak mahu terlalu mengikut perasaan hingga tidak mampu berfikir dengan waras.

“Saya sendiri terbabit dengan dunia seni. Sudah pasti saya faham keadaan selebriti itu. Mereka menjadi tatapan umum dan sering menjadi kritikan netizen. Sekarang lebih menakutkan kerana mereka sesuka hati komen tanpa memikirkan baik buruknya.

“Normal apabila kita meminati seseorang kita geram apabila ada orang lain cakap buruk mengenai idola kita tetapi saya tidak mengikut emosi. Saya masih waras untuk bertindak bodoh,” katanya.

Sissy kini tampil dengan single baru, Keliru hasil ciptaannya bersama Ag Coco. Lagu itu dipinjamkan untuk program Idola Kecil 6 yang dinyanyikan di pentas akhir pada 2013. Sissy menyanyikan lagu itu semula dengan cara sendiri bukannya mengikut ‘score’ asal.

Dia juga kini mengendalikan program Joox Singgah Sat yang bersiaran menerusi aplikasi Joox.

Post a Comment

Previous Post Next Post