INILAH gambar kontroversi Zur Eda yang hangat diperkatakan netizen di laman sosial.
MINGGU ini industri hiburan sedikit kecoh apabila sekeping gambar Zur Eda yang dikatakan belum melalui proses suntingan tersebar di laman sosial. Lebih malang, apabila gambar itu turut menerima kecaman teruk daripada netizen apabila menyifatkan wajahnya kelihatan menakutkan.
Ekoran foto yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab itu, pelbagai andaian yang timbul. Ada yang mendakwa ia kesilapan teknikal sewaktu sesi fotografi, bahkan ada juga yang menyalahkan teknik solekan yang diguna pakai penyanyi yang popular dengan lagu Kelmarin itu.
Paling terkesan apabila ada pihak mendakwa penyebaran gambar tersebut seolah-olah sebagai satu bentuk sabotaj untuk memalukan penyanyi berusia 51 tahun yang juga merupakan peserta yang bakal bertanding di pentas Gegar Vaganza malam ini.
Keadaan bertambah runcing apabila jurusolek tersebut, Syafieq Ayman turut membuka mulut bagi mempertahankan dirinya apabila netizen mula mempertikaikan kredibilitinya sebagai jurusolek artis.
Bagi tuan punya badan, Zur Eda mengakui pada mulanya, dia terkejut ketika melihat dengan mata sendiri gambar dirinya yang tersebar itu.
“Sampai macam itu sekali rupanya gambar saya selepas dirakam. Saya memang terkejut. Realitinya, solekan itu kalau dilihat secara depan-depan tidaklah seteruk seperti yang dalam foto itu. Saya tahu ramai yang bercakap mengenai hal itu.
“Perkara yang negatif, memang orang suka tengok. Maklumlah zaman sekarang semua teknologi di hujung jari. Semua benda boleh tersebar sekelip mata sahaja dengan internet. Mungkin mereka berasa puas (mengutuk) tanpa fikir dosa dan pahala.
“Dosa antara Tuhan, mungkin boleh dimaafkan, tetapi kadang-kadang kita terlupa dosa sesama manusia ini lah yang perlu dipandang serius. Jika orang yang dikutuk dan dihina itu tidak memaafkan, tunggulah di akhirat sana,” katanya ketika dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.
Kata Zur Eda, biarpun ramai yang mempersendakan gambar tersebut, dia mengambil pendekatan positif. Bahkan, katanya dia tidak terasa hati dengan apa yang berlaku ke atasnya.
“Saya fikir positif sahaja. Mungkin dengan apa yang terjadi ini, secara tidak langsung ramai lagi yang semakin mengenali saya dan dapat menaikkan nama sendiri. Apatah lagi saya sekarang sedang bertanding dalam program realiti.
“Saya tidak terasa hati mahupun tertekan dengan perkara ini. Raqim (Pengurus Saluran Astro Ria) juga ada menghubungi saya dan beritahu pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung hal tersebut,” katanya yang bakal mempersembahkan lagu Lama Tak Jumpa pada konsert pembukaan Gegar Vaganza malam ini.